Bab 10

Romance Series 21447

10

Selepas hampir empat jam, bas akhirnya tiba di Hentian TBS. Hati Edah gembira bukan kepalang. Mana tidaknya, sudah hampir lima tahun lebih dia tidak berkunjung ke KL. Dan sekarang dia sangat gembira dapat menjejaki kaki ditempat tumpah darahnya sendiri walaupun dia tahu kedua-dua ibu-bapanya sudah lama meninggal dunia. Apa yang dia perlu hadapi di bandar besar ini ialah terpaksa belajar berdikari bagi menghadapi cabaran yang mungkin terpaksa dia tempuhi nanti.

Dia tidak peduli itu semua. Janji segala keperitan hidup bersama emak dan kakak tirinya sudah berlalu. Walaupun mungkin cukup sukar hidup di KL ini, tapi demi mencari ketenangan hidup dan sesuap nasi dia mesti mencari kerja. Jika tidak bekerja, bagaimana dia mahu hidup di kota ini.

Sebaik turun, dia terus ke pondok telefon awam untuk menghubungi seorang kawannya yang sudah lama dia tidak hubungi. Wati namanya. Entah masih tinggal di situ lagi ataupun sudah berpindah, dia sendiripun tidak tahu. Tapi dia bertawakal sahaja kepada Tuhan. Agar dipermudahkan segala urusannya di bandar besar ini.

Sebaik dia mendail nombor telefon bimbit Wati, sekali lagi dia hampa. Hampa kerana nombor yang didailnya sudah ditamatkan perkhidmatannya. Ini bermakna Wati sudah tidak menggunakan nombor itu lagi.

Dia kembali buntu. Tidak tahu siapa lagi yang mahu dia hubungi kerana hanya kawannya itu sahaja yang dia kenali di KL ini. Diapun menuju duduk di sebuah bangku di dalam terminal bas di situ. Dia kagum dengan kecanggihan terminal bas ini yang dianggapnya seperti sebuah terminal lapangan terbang. Siap dengan papan kenyataan perlepasan bas lagi. Sungguh moden dan canggih.

Namun dia tidak boleh berlama di situ. Jika tidak, dia mempunyai masalah untuk bermalam nanti. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Teringatkan Zul. Seorang lelaki baik yang menghulurkan kad perniagaan kepadanya sewaktu di hentian Machap tadi. Apalagi dia mengeluarkan kad perniagaannya itu lalu lekas berlari ke telefon awam berdekatan.

Sebaik mendail nombor yang tertera pada kad itu, satu suara lelaki kedengaran. Suara Zul. Edah mula gembira.

“Hello, siapa tu?” tanya Zul di dalam corong telefon.

“Saya ni Faridah. Dah lupa ke? Abang yang beri kad kepada saya masa di hentian Machap tadi. Ingat tak?”

“Oh, ya ingat. Awak kat mana sekarang?”

“Saya masih di TBS. Boleh kita jumpa sekejap tak? Abang di mana ya sekarang?”

“Saya juga di TBS. Sedang minum di Seven Eleven. Datanglah jumpa saya di sini.”

Tanpa berlengah, Edah terus cepat-cepat pergi ke kedai serbaneka yang dimaksudkan Zul.

Sesampai di sana, mata Edah meliar-liar mencari sesusuk tubuh Zul. Dia menghampiri ke sana sebaik terlihat Zul yang sedang minum di satu pojok meja yang agak terlindung di kedai itu.

“Hai, Zul. Maaf ya bang sebab call awak dalam keadaan terkejut.” Seraya Edah mengambil duduk bertentangan dengan lelaki itu.

“Ya, ada apa awak call saya? Awak nak kerja ke?” tanya Zul tanpa berbasa-basi. Sesekali dia menghirup kopinya yang masih berbaki di dalam cawan kertasnya itu.

“Ya, memang saya nak kerja…”

“Kalau awak berminat nak kerja, awak datanglah temuduga hari Isnin nanti. Hari ini pejabat saya tutup,” terangnya lagi.

“Erm, memang saya nak kerja tapi saya ada masalah sikit bang,” jelas Edah sambil menunduk ke bawah.

“Masalah apa?” Zul semakin hairan.

“Masalah tempat tinggal,” terang Edah sependek mungkin.

“Masalah tempat tinggal? Awak tak ada saudara-mara ataupun kawan ke di KL ni?” soal Zul lagi.

“Saudara-mara tak ada tapi kawan adalah. Tapi kawan saya pulak tak dapat dihubungi. Dia dah tak guna lagi nombornya tu. Saya semakin kebingungan sekarang ni,” jelas Edah tanpa terselindung lagi.

Buat beberapa saat, Zul berfikir. Mengetap-ngetap bibirnya.

“Baiklah, macam ni. Di kilang saya nak pakai operator segara. Tapi untuk temuduga tu hanya boleh buat hari Isnin ni. Tak mengapa, awak boleh tinggal sementara di asrama dikilang saya tu dan hari Isnin awak temuduga dengan saya nanti saya akan terus ambil awak bekerja. Awak setuju?” cadang Zul.

“Baik, saya setuju. Maafkan saya kerana banyak menyusahkan awak,” jawab Edah.

“Tak mengapa,” balas Zul. “Sementara tunggu kawan saya, awak nak minum ke? Tak apa saya belanja,” pelawa Zul lagi sambil menyentuh lembut tangan Edah.

“Boleh juga,” angguk Edah, tersipu-sipu malu. Walaupun berasa agak malu dengan tindakan lelaki itu, namun dia merasakan seperti ada tunas kasih sedang berbunga di dalam hatinya.

Di dalam hatinya, dia bersyukur berpanjangan kerana Tuhan telah meringankan beban yang ada dibahunya. Pertemuan yang tidak disangka-sangka itu sebenarnya ada satu hikmah buat dirinya.

Dia kini sedar, kasih sayang yang dicari selama ini bukan diperolehi daripada ibu dan bapa kandungnya. Mahupun emak dan kakak tirinya. Tapi daripada hamba Allah yang tidak pernah dia kenali. Namun buat masa sekarang, itu sudah cukup baik bagi dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience