Completed
623
LEMAH kaki nak memanjat anak tangga. Ditarik kad yang diselit dalam
poket belakang. Dibuka dengan tangan terketar-ketar. Diselak perlahan
dengan mata terpejam. Bila matanya terbuka, dia tergelincir satu anak
tangga. Wajah Kay menyeringai menahan sakit. Rasanya kaki dia
terseliuh. Buku lali dia sakit sangat. Tapi, gelodak dalam dada
mengganas melihatkan nama yang tertera pada kad tersebut.
Tuhan... pinjamkan hamba sikit kekuatan... Kay raup tangan ke wajah.
Dia terus berlari laju menjejaki Cendana. Tak dihirau mata staff yang
memandang, dia tak kisah. Dimatanya dibayangi wajah Cendana saja. Dan,
diseberang jalan sana nampak Cendana sedang menanti teksi.
Setiap kali, dia tak pernah nampak Cendana bawa kereta sendiri.
Berhati-hati, Kay melintas jalan raya. Saat itu, mata mereka
bersabung. Cendana ukir senyum. Dia yakin Kay dah tengok nama dalam kad
tersebut yang dia tempah sebulan sudah. Nama itu tak akan berubah dan
pendampingnya juga pastilah orang yang sama.
Wajah sedih Adenan muncul dalam kepala seketika. Ya, Adenan tak
salah. Niat Adenan baik kerana tak nak susahkan dia dan dia juga tak
akan susahkan Kay sekeluarga. Jika dia batalkan majlis antara dia
dengan Kay, dia pasti melemparkan sakit yang sama pada Kay seperti mana
yang pernah dia lalui sewaktu bersama Taqyudin.
Lagipun, jika dulu Adenan rampas hak dia untuk berkongsi suka duka
lelaki itu, kenapa sekarang Adenan fikir dia mampu berkongsi dengan
lelaki yang sudah jauh daripada hatinya? Dia tak kejam pada Taqyudin,
dia cuma mengotakan janji pada Kay.
Lelaki itu berlalu dalam keluhan. Ya, bila mak tanya – sungguh dia
masih sayangkan Adenan tapi mak juga harus tahu, dia cintakan Lekir
Asyraf. Dia dah janji nak jadi makmum yang baik pada imam yang seorang
ini.
“Kenapa hinjut jalan?” soal Cendana bila Kay betul-betul depan matanya.
Berpeluh di wajah terik matahari.
“Jatuh tangga tadi...” Kay senyum.
Mata Cendana bulat. Dia nak selak seluar Kay tapi Kay menahan. “Lelaki
ini...” Dia tepuk dadanya. “...masih belum sah untuk awak sentuh,
Cendana...” Lembut dia mengingatkan Cendana.
Cendana kerut kening. Termalu sendiri. Tindakan spontan. “/Sorry/...”
Kay senyum. Tahu Cendana tak sengaja. Nampak sangat Cendana risaukan dia.
Dan risau ni tanda ambik berat dan bila ambik berat ni tandanya sayang.
“Kenapa buat /surprise/ macam ni?”
“Hukuman...”
“Sebab?”
“Awak ingat awak buat apa dekat saya hari tu?”
Kay angguk. Ya, dia terima jika itu hukumannya. Setidak-tidaknya, Cendana
tak buang dia terus. “Saya ingatkan...”
“Tak...” Cendana mencantas. “...dia masa lalu. Seperti mana saya tak nak
ambik kisah tentang masa lalu awak, saya harap awak abaikan masa lalu
saya. Masa depan nanti, kita sama-sama usaha,” ujar Cendana tersenyum.
Kay pejam mata lama. Senyuman Cendana, lebih manis berkali ganda hendak
dibandingkan dengan gelak tawa dengan Adenan hari tu.
“/Sorry/ terpeluk awak...”
“Saya dah maafkan. TER tu dah tunjukkan yang awak tak sengaja.
Lagipun, saya tahu awak cemburu...”
“Saya tak cemburu...” Laju Kay menjawab.
“Habis tu?” tanya Cendana. Telahan mak meleset rupanya. Kay tak cemburu.
“Saya /jealous/...” Kay gelak. Cendana mencebek lebar. “Lepas ni nak
peluk tak lepas dah...” Saja mengusik. Suka tengok wajah Cendana merah.
“Minggu depan, insyaALLAH...” ucap Cendana. Tak sampai hati dah nak
hampakan Kay.
Erk... dia pulak terkena. Tapi, dadanya lapang. Ya, yang sabar itu
sentiasa ada kesudahan yang baik. “Esok, boleh?” Masih tak puas mengusik.
“Awak tak cuti lagi, tak boleh nak nikahlah...” balas Cendana tenang
biarpun dada berdetak kencang.
“Alamak...” Kay tepuk dahi. “Saya dah batalkan cuti kahwin saya...”
“Itulah, tak sabar sangat...” cebek Cendana. “Saya balik dulu. Mohon
cuti. Awak kena rehat. Saya tahu kat sini...” Cendana tunjuk sisi kepala
sendiri. “... kelam-kabut...” Dia gelak.
“Eh, nak balik dengan apa?”
“Teksi...”
“Kenapa tiap kali tak bawa kereta? Kan senang...”
“Tak ada lesen...”
Leh... dia ingat Cendana saja tak nak bawa kereta. Dan lepas ni dia sudi
jadi /driver/ Cendana seumur hidup. “Hey, Tun Cendana Sultan Reza Shah...”
Cendana kalih laju. Dia jongket kening. “Tunggu Abang Lekir Ashraf ibni
Sultan Alaudin Shah datang nanti,” ujar Kay perlahan.
Buat Cendana ketap bibir. Tak tahan nak gelak. “InsyaALLAH, wajah
Laksamana Lekir. Jangan lupa bawa empat lagi saudara Laksamana Lekir,
ya?” gurau Cendana.
“Tapi, hamba hanya seorang diri tiada saudara-mara...” Dia buat muka
sedih tapi tak lama. “InsyaALLAH, bakal zuriat kita akan lima
bersaudara...” Terus dihamburkan gelak.
Wajah Cendana merah. Panas dan menahan malu. Dia terus buka pintu teksi
yang kebetulan berhenti. Dibuka pintu tapi belum sempat masuk, dia
sekali lagi berpaling pada Kay.
Ya, dia tak perlukan waktu kerana masa milik Allah. Diberi sama rata
kepada setiap manusia seluruh dunia. Terserahlah pada masing-masing
mahu menjadikan masa itu berharga atau sebaliknya. Dia dan Taqyudin,
berakhir derita tapi tak salah sesiapa. Dan, Lekir Asyraf hadir sekelip
mata dan hati mereka saling mengenal. Dan, dia tahu setelah Taqyudin,
hanya Lekir di dalam hati.
Rahsia antara dia dan Allah, biarlah kekal dalam istikarahnya setelah
pertama kali bersua empat mata dengan Kay.
Tangannya melambai. Kelopak mata Kay mengedip. “Kaki tu tunggu akad
nikah, saya urutkan...” pesan Cendana lalu dia masuk ke dalam perut kereta.
Kay ketap bibir. Dia sengih lebar. Dan, Cendana ajar dia tentang
sesuatu. Tentang halal-haram antara mereka. Tentang – akad itu tiket
untuk bersentuhan dan mengelakkan kemungkaran hubungan adam-hawa.
Tuhan... halalkan dia untuk aku.
Share this novel