Completed
623
APA pun jadi, hidup perlu diteruskan. Semalam tak semestinya sama
dengan hari ini tapi hari semalam tak mungkin dilupakan biarpun hari ini
adalah hari baru. Dia giat pujuk hati. Bukan salah aku. Bukan salah
mak ayah. Bukan salah sesiapa. Ini kehendak Tuhan.
Nak tak nak, dia kena masuk kerja jugak dan seperti biasa mulut-mulut
bising sentiasa menyoal itu ini. Kenapa, mengapa, bagaimana. Tak akan
pernah lelah. Apalah daya. Dia hanya mampu senyum dan berharap
didoakan yang baik-baik saja. Tapi, manusia... yang buruk itulah yang
suka diperkatakan.
“Dengar kata, Cendana tak jadi kahwin? Sungguh ke?” Soalan tu memang
boleh buat dia bernanah telinga. Tapi, sabarlah hati.
Dia senyum tipis. Angguk sekali. “Tak ada jodoh, kak...” Mata tetap
menatap kertas di depan mata untuk diperiksa. Tugas sebagai pendidik.
Beginilah.
Cikgu Nonis tak puas hati. Mahu dikorek asbabnya. “Kenapa ni, Cendana?
Kau tak berkenan dekat dia ke?”
Sah, memang orang sedang tuding jadi pada dia. Dia yang
dipersalahkan. Cendana geleng kepala. “Kalau tak berkenan dekat dia, saya
tak tunang dah dengan dia, Kak Nonis ...” Lembut Cendana menjawab.
Masyarakat... suka sangat salahkan wanita andai apa-apa yang buruk
terjadi. Ya dia akui. Wanita ini mudah terpalit fitnah. Laluan utama
lelaki ke neraka jika tak kena gaya.
“Betul jugak tu...” Cikgu Nonis termenung seketika. “Tapi, kan...”
Masih tak puas hati rupanya. “...apa salah kau dia batalkan semua ni.
Patutnya semalam la, kan?”
Cendana angguk. Ya, semalam hari terakhir cuti persekolahan dan dia pun
dah mohon cuti untuk dua minggu tapi tak ada guna di rumah bila
segalanya tak seperti yang dirancang.
“Tak tahulah apa salah saya, kak. Adenan hantar orang tua dia. Lepas
tu, saya pun tak call dia. Itu keputusan dia. Mesti dia dah fikir baik
buruknya. Saya tak pertikaikan langsung...”
“Senangnya kau cakap, Cendana. Kalau akak, tak datang dah sekolah...
malu!” Pedih ayat Cikgu Nonis menujah telinga.
Cendana pejam mata beberapa saat. Allah... ini ujian. Ujian untuk aku
Kalahkan dan kembali dekat padanya. Berilah aku kesabaran yang tinggi. “Sebab saya bukan Kak Nonis dan Kak Nonis bukan sayalah, baru saya terima segalanya dengan hati terbuka. Saya balik dulu. Assalamualaikum...” Cendana bangkit.
Mengambil beg. Dah siap nak balik. Petang ni ada usrah lagi dengan mak
dan kawan-kawan mak yang lain. Pertama kali dia nak ikut.
Biar masanya terisi dengan perkara berfaedah. Kerana dia bimbang, takut
bersendiri terasa kesunyian dalam jiwa dan hati lantas dia persoalkan
apa yang dah jadi.
Dia tak nak!
Share this novel