BAB 9

Drama Completed 623

KATA mak, itu tanda cemburu dan cemburu ni tandanya sayang lepas dia
ceritakan segalanya tentang apa yang dah jadi. Tentang Taqyudin,
tentang Kay yang peluk dia erat-erat. Gila! Rasa nak hilang ingatan!
Tapi, betul ke cemburu tu tanda sayang dan kalau ya, sungguh ke Kay
sayangkan dia? Cendana pandang cermin. Rambut yang lepas bebas langsung
tak disikat. Dibiarkan terbang dihembus kipas yang kuat. Rasa bersalah
pada mulanya pada Kay dan kerana itu dia nak berlalu daripada situ
meninggalkan Adenan tapi entah bila Kay muncul, dia tak sedar dan
perbuatan Kay memang buat dia rasa marah.
Apatah lagi pengakuan Adenan tempoh hari. Simpati itu tumpah. Bila
mak dan ayah tahu, nampak marah pada Adenan dah reda.
“Cendana fikir apa lagi?” soal mak yang muncul di muka pintu.
Terus Cendana capai sikat dan disikat rambutnya. “Tak ada apa, mak.”
“Jangan tipu, mak...” Puan Dahlia duduk di birai katil. Menarik
tangan Cendana dan digenggam kemas. “Cendana sayangkan Adenan lagi?” Jujur
soalannya. Nampak Cendana resah gelisah setelah perkara itu.
Perlahan-lahan, Cendana angguk. “Bohong kalau tak, mak...”
“Mak tak nak paksa Cendana dalam apa-apa hal lagi. Dulu mak minta Cendana
sambung belajar sampai ke luar Negara. Mak bangga anak mak pandai.
Tapi, ada masanya mak fikir anak mak tak bahagia. Sekarang ni, kalau
betul Adenan ikhlas dan nak balik pada Cendana dan Cendana sendiri nak pada
dia, mak sanggup melutut pada Syitah sekeluarga, batalkan perkahwinan
Cendana dengan Lekir...”
Terkedu Cendana beberapa saat dengan kata-kata mak. Perlahan-lahan dia
ukir senyum. Mak sangat memahaminya. Dipaut tubuh mak. Erat! Bila
masa terpejam sesaat, bagai terasa susuk tubuh kasar Kay, lantas Cendana
leraikan pelukan. Matanya terkebil-kebil lagi. Mak senyum dan angguk.
Tahu, keputusan Cendana sekarang. Dan, dia perlu bertemu dengan keluarga
Lekir. Demi bahagia Cendana. Apa saja...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience