Completed
623
PERSIAPAN dibuat. Sekali lagi. Moga ini yang terakhir. Moga tak
berulang lagi. Sebulan daripada sekarang, jika panjang umurnya, jika
bertemu jodohnya, jika ada restu Tuhan... mereka akan disatukan.
Lepas habis kelas tengah hari itu, Cendana menapak perlahan. Hari ni ayah
hantar. Kereta mak nak guna. Baru nak berjalan ke arah stesen bas, ada
suara menghulurkan salam. Menghentikan degap jantung sesaat. Mematikan
langkah.
“Assalamualaikum, Cendana...”
“Waalaikumusalam...”
Cendana telan liur. Dia kaget tapi dikuatkan semangat untuk berkalih. Dan
nyata, wajah itu muncul setelah sekian lama. Tidak dapat tidak, dia
ukir senyum. Memeluk beg bimbitnya kemas ke dada. “Datang jemput
siapa?” Soalan berbahasa. Dia tahu tiada saudara mara Adenan di sini.
Lelaki itu senyum. Masih tak berubah pada mata Cendana. Masih lagi
nampak tertib dan sopan. Senyuman itu masih memikat bagai dulu.
Seketika, Cendana lupa pada Kay.
“Jujurnya saya datang jenguk Cendana...”
“Saya sihat...” ujar Cendana biarpun tanpa soalan.
Adenan senyum. Setelah itu masing-masing gelak. Melihat bening mata
Cendana, rindu dia resah. Dia pergi kerana perlu. Bukan niat nak sakitkan
hati Cendana. Jauhkan sekali nak malukan Cendana sekeluarga. Dia buntu kala
itu.
“Cendana tak nak tanya kenapa saya buat macam tu dulu?” soal Adenan bila
nyata, Cendana tak ungkit langsung perkara itu.
Cendana melangkah. Dia menggeleng tipis. “Buat apa nak tanya, Din. Benda
dah jadi. Dah lepas. Bukan boleh patah balik. Lagipun, bukan salah
sesiapa. Itu ketentuan. Lantas, untuk apa saya persoalankan? Betul
tak?” Dia kerling pada Adenan yang ada di sisi. Berjarak setengah
meter dengannya.
Tak seperti Kay. Setiap kali tak lepas mengambil kesempatan mahu
berdiri rapat. Rimas dia dibuatnya.
“Cendana masih marah saya?”
Cendana geleng.
“Dah maafkan saya?”
Cendana angguk.
“Masih sayangkan saya?”
Angguk lagi tapi hanya separuh. Langkah terpaku mendengar soalan itu.
Dia pandang Adenan yang tersenyum. Tapi, tak mampu nak menggeleng.
Dia ketap bibir. Dia tak sengaja mengangguk. Dia terlanjur laku.
Wajahnya dipalingkan. Matanya terkebil-kebil. Wajah Kay menguasai
fikiran. Antara dia dan Kay tiada cinta. Hanya niat baik orang tua
buatkan mereka bersetuju diikat bersama. Tapi kini, Adenan kembali.
“Saya nak balik dulu. Petang ni saya nak keluar dengan mak...” Cendana
mohon diri tapi suara Adenan sekali lagi menahan.
“Cendana masih sayangkan saya. Samalah dengan saya. Saya masih sayangkan
Cendana...” Suaranya yakin. “...maafkan saya biarpun Cendana kata tak marah
sebab saya putuskan pertunangan kita. Saya balik ni, saya nak tebus
balik salah saya sebab mungkir janji dengan Cendana. Saya nak nikah dengan
Cendana. Tak kisah bila. Esok, lusa... semua boleh janji Cendana setuju...”
jelas dan nyata Adenan menyuarakan hasrat.
Ya, dia dah yakin. Jika sebelum ini dia perlu pergi kerana masalah yang
tak mahu dia bebankan pada Cendana tapi sekarang dia dah yakin, Cendana adalah
wanita yang mampu berkongsi segalanya dengan dia.
Cendana cuba bertenang. Tersenyum tipis. Menjauh beberapa tapak. “Masa
untuk tu dah berlalu, Yudin. Dah jauh sangat tinggalkan kita. Kerana
perkara yang paling jauh dengan kita adalah masa lalu biarpun baru
sesaat ini masa itu melepasi kita. Kita tak akan mampu capainya
kembali. Tak akan. Maaf, Yudin. Saya tak boleh terima awak. Bukan
kerana dendam atau apa-apa saja... tapi...”
“Setidak-tidaknya Cendana kena tahu apa masalah saya sebelum bagi keputusan
tu...” cantas Taqyudin. Cendana diam. Dia izinkan Adenan bersuara.
“Seminggu sebelum kita kahwin, saya buat ujian darah. Tuhan jelah tahu
bila doktor kata saya dikesan dengan tanda-tanda awal kanser. Saya tak
nak bebankan Cendana biarpun benda tu masih awal. Saya buntu dan akhirnya
saya buat keputusan moga Cendana tak rasa terbeban... saya tak nak susahkan
sesiapa lebih-lebih lagi isteri saya. Sekarang pun saya masih dalam
proses pemulihan, Cendana tapi rindu saya pada Cendana buat saya makin lemah.
Saya tahu masa tu saya tak mampu tanpa Cendana. Saya bodoh batalkan
semuanya sedangkan saya tahu Cendana mampu berkongsi dengan saya. Saya
minta maaf, Cendana...” pinta Adenan sayu.
“Kenapa awak buat keputusan sendiri?” Mendengar cerita itu, Cendana ketap
bibir sendiri. Dia terharu bila Adenan tak mahu susahkan dia. Ya,
dia sangat terharu.
“Maaf, Cendana. Saya tak hargai awak...”
“Dan sekarang bukan masa untuk awak hargai saya, Yudin...” Namun,
tangisan mak dan ayah dan sinis masyarakat tak mampu dia hilangkan
daripada kepala.
Dia berpaling nak berlalu tapi dahinya terlanggar dagu seseorang. Dia
pegang dahi dan mendongak sambil cuba melepaskan pautan pada pinggangnya.
“Seronok nampak sembang? Sampai tak sedar saya dekat belakang?” soal
Kay setelah lama dia perhatikan Cendana dengan seorang lelaki. Jika nak
dibandingkan dengannya, jauh panggang daripada api. Dia yakin, inilah
bekas tunang Cendana. Sama spesis!
“Kay, lepas...” Cendana cuba menolak tapi pautan Kay pada pinggangnya kian
erat dan makin rapat. Hingga Kay rendahkan wajah, hidung mereka hampir
menyentuh. Ditempat umum. Berhampiran sekolah. Jika ternampak oleh
kawan-kawan dan pelajar macam mana?
“Awak kenapa ni, Lekir?! Cendanas biarpun separuh berbisik.
“Boleh saya buktikan sekarang siapa saya dalam hidup awak, Cendana?” tanya
Kay dengan nafas yang turun naik laju.
“Kay, lepaskan...” Pertama kali dia panggil KAY. Jika tidak, dia akan
panggil Lekir. Cendana telan liur. Kenapa Kay jadi macam ni? Kay sebelum
ni tenang dan suka mengusik.
Melihatkan perbuatan biadap itu, Adenan terus menghampiri. Diminta
dengan baik Kay melepaskan Cendana tapi bila Kay menjeling tajam padanya
tanpa ada tanda nak lepaskan pinggang Cendana, Adenan makin hilang sabar.
“Kau jangan buat Cendana macam ni. Tolong jaga maruah dia...” bentak
Taqyudin.
“Oh... tolong jaga maruah? Habis tu kau selama ni blah macam tu je
tinggalkan dia dekat nak nikah, ada kau fikir maruah dia dan keluarga
dia?” soal Kay meninggi. Dia lepaskan pinggang Cendana dan berpaling
penuh pada Taqyudin.
“Itu hal aku dan Cendana sendiri dah maafkan. Kau siapa nak persoalkan
lagi?” soal Adenan sedikit gugup.
“Aku ni bakal suami dia...”
“Dan bakal suami tu masih haram untuk sentuh biarpun seinci kulit bakal
isterinya apatah lagi memeluknya,” sampuk Cendana dengan wajah merah dan
mata yang berair.
Dia malu di depan Taqyudin. Dia malu pada yang memandang. Dia malu
diperlakukan begitu. Dan, dia berlalu meninggalkan dua lelaki itu di
situ.
Share this novel