“Irin! Irin!”laung Aakif kuat. Irin yang sedang membasuh pinggan tersentak. Laungan Aakif kali ini lain benar bunyinya. Macam sedang marah. Terkocoh-kocoh Irin naik ke tingkat atas.
“Aaada apa?” Irin berdiri di muka pintu.
“Nampak fail warna biru atas meja ni tak?” tanya Aakif serius. Lelaki itu bercekak pinggang. Irin hanya menggeleng.
“Kalau aku tanya jawablah!” tengkik Aakif kuat. Terangkat bahu Irin dibuatnya. Kini,Irin mula terbayangkan ayah tirinya yang sedang berdiri bercekak pinggang di depannya. Irin pantas duduk sambil menutup telinga. Kepala digelengkan.
“Irin”panggil Aakif sambil cuba menghampiri Irin. Irin terus berlari turun dan masuk ke biliknya. Dia menangis semahu-mahunya. Kepala digeleng-gelengkan. Cuba menghilangkan suara tengkingan ayah tirinya yang tiba-tiba menjengah telinganya berselang seli dengan tengkingan Aakif tadi.
“Aakif jahat. Ayah jahat. Semua lelaki jahat. Irin takut. Mak.”Irin menangis sendiri. Lama kelamaan Irin tertidur dengan mata yang basah.
“Ya Allah. Kau ampunkanlah dosaku. Kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku. Kau ampunkanlah dosa suamiku dan dosa muslimin muslimat yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Ya Allah,Kau bantulah hambaMu ini untuk keluar dari segala ketakutan. Kau berilah kekuatan kepadaku untuk menempuhi segala cabaranMu ini. Amin Ya Rabbal Alamin.” Irin meraup tapak tangan ke muka. Telekung dibuka dan digantung. Rambutnya diikat kemas. Irin membuka perlahan pintu biliknya. Dia terjengah-jengah takut bertembung dengan Aakif. Takut kalau dirinya dijerkah kuat.
“Mengintai apa tu?” tegur Aakif. Irin pantas berdiri tegak. Mukanya hanya memandang lantai.
“Aku tak suka kalau aku tanya tak ada orang jawab. Macam aku cakap dengan tunggul!” marah Aakif. Sudah tidak ada lagi panggilan abang. Kini,hanya ‘aku’ dan ‘kau’. Mungkin Aakif sudah bosan terpaksa melayan isteri yang takut lelaki. Irin mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir.
“Kerjanya asyik nak menangis je. Bosan aku tengok! Aku sentuh sikit pun dah lari. Isteri apa kau ni,ha? Selalu sangat jauhkan diri dari aku. Aku bosan tahu. Aku ni suami kau. Ketua keluarga. Nak aje aku ceraikan kau dan cari perempuan lain dekat luar tu!” Aakif bersuara lantang. Tangannya menggoncang-goncang bahu Irin. Irin menggelengkan kepala. Entah kenapa ayat-ayat yang diucap Aakif itu membangkitkan kemarahannya.
‘Ketua keluarga! Cerai! Perempuan lain!’ Itu semua perkara dan kata-kata yang pernah dihemburkan ayah tirinya dulu. Irin menolak kuat badan Aakif. Dia membayangkan ayah tirinya yang sedang berada di depannya.
“Berani kau tolak aku!” Aakif berang. Dia mencabut tali pinggang dan dilibas pada lantai. Irin memegang telinga. Kenangan dulu seperti terlayar balik di depan mata. Dia dilibas dengan tali pinggang dalam keadaannya yang sakit.
“Ayah kejam! Ayah kejam!” jerit Irin sambil meluru ke arah Aakif. Dia memukul-mukul dada Aakif yang sudah terundur ke belakang. Lelaki itu langsung tidak membalas.
“Ayah kejam! Ayah pukul Irin waktu Irin tengah sakit. Badan Irin sakit tapi ayah tak endahkan. Ayah pukul Irin dengan tali pinggang. Ayah pukul kepala Irin. Irin sakit,yah. Sakit sangat. Ayah curang dengan mak. Ayah ceraikan mak yang selama ini dah banyak bantu ayah. Ayah kejam! Ayah tak tahu betapa sakitnya Irin masa tu. Irin kecik lagi. Sebab ayah,Irin takut pada lelaki. Sebab ayah,Irin takut dengan abang. Semuanya salah ayah.”Irin yang pada mulanya seperti singa mengamuk perlahan-lahan terduduk. Air mata merembes keluar tanpa henti. Dia terjelopok di kaki Aakif.
“Irin”panggil Aakif dan terus memeluk Irin. Tanpa banyak bicara Irin membalas pelukan Aakif. Dia menghemburkan tangisannya di dalam pelukan suaminya. Dia rasa selamat.
“Abang minta maaf. Abang bukan sengaja nak tengking Irin. Abang bukan sengaja nak buat semua ni. Abang cuma mahu Irin luahkan perasaan yang dah lama Irin pendam tu. Pukullah abang kalau itu yang boleh buat Irin rasa lebih baik. Irin bayangkanlah yang abang ni ayah tiri Irin. Pukullah abang sekuat hati. Marahlah abang.” Aakif bersuara sambil membelai rambut Irin. Pelukan semakin dieratkan.
Share this novel