“Lelaki tu ayah tiri aku.”
~ Flashback
“Irin,abang pergi dulu. Duduk rumah elok-elok tau.” Irfad membetulkan beg sekolahnya. Irin tidak ke sekolah kerana berasa tidak sihat. Ibu mereka pula tiada kerana bermalam di rumah saudara bagi membantu persiapan kenduri.
“Hmm” hanya itu jawapan Irin. Kepalanya sakit.
“Ayah! Orang nak pergi sekolah dah ni.” Laung Irfad sambil memandang sekeliling. Tiada balasan dari ayah tirinya.
“Ayah dah keluar kot.” Irin bersuara lemah. Dia seperti mahu menangis kerana badannya sakit.
“Irin jangan nangis ye. Kejap lagi ayah baliklah. Nanti Irin suruh ayah bawa pergi klinik tau,”pesan Irfad. Ikutkan hati dia malas mahu ke sekolah kerana tiada yang menjaga adiknya. Tapi,dia ada peperiksaan akhir tahun. Nak tak nak kena pergi juga. Adiknya pula tiba-tiba aje demam. Semalam elok sahaja.
“Abang pergilah sekolah” Irin memandang Irfad. Abangnya hanya mengangguk dan melangkah pergi. Irin memejamkan mata. Dia mahu tidur.
“Betul ke anak-anak tiri abang tak ada di rumah ni?” suara seorang perempuan kedengaran. Irin membuka mata. Terpisat-pisat matanya digosok. Kepalanya terasa berat. Suara mak ke?
“Betul. Budak berdua tu sekolah.” Suara Encik Mursyid pula kedengaran.
Selepas itu Irin mendengar suara gelak ketawa ayah tirinya dan suara perempuan. Biliknya hanya bersebelahan dengan bilik ibu dan ayah tirinya. Irin cuba bangun. Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Pintu bilik ayah tirinya sedikit renggang, Irin terus tolak kerana dia ingatkan suara perempuan itu adalah suara maknya. Dia mahu maknya sekarang! Kepala dan badan yang sakit tidak dihiraukan.
“Mak!” panggil Irin. Matanya memandang ayah tirinya dengan seorang perempuan sedang baring di atas katil. Irin terus menangis.
“Hoi! Kenapa kau ada dekat sini? Kau tak pergi sekolah ke?” jerkah Encik Mursyid. Makin kuat tangisan Irin. Ayah tirinya tidak pernah meninggikan suara seperti itu. Encik Mursyid bangun dan menarik tangan Irin.
“Aku tanya kau ni?” makin kuat suara Encik Mursyid.
“Ooooorang dededemam,”jawab Irin teresak-esak. Encik Mursyid menolak Irin ke atas lantai.
“Kau nampak apa,ha?” soal Encik Mursyid lagi sambil mencengkam pipi dan dagu Irin yang sedang menggeletar.
“Ooororang nak mmak,”ucap Irin dalam sendu. Air mata dan air liurnya sudah meleleh keluar.
“Aku tanya kau nampak apa,ha?” kali ini Encik Mursyid memukul kepala Irin. Makin kuat Irin menangis. Perempuan yang masih di atas katil hanya mendiamkan diri. Irin menggelengkan kepala berkali-kali. Mukanya sudah merah. Kepala terasa semakin berat.
“Kau jangan cerita pada mak kau. Faham tak?” Encik Mursyid menarik rambut Irin. Terangkat-angkat kepala anak kecil berumur 6 tahun itu. Irin masih menggelengkan kepala.
“Sssakit. kekepala orang sakit. Ayahorang sakit. Bbbadan orang sakit,”Irin meminta belas kasihan ayah tirinya.
“Kecik-kecik tak nak mampus! Dah besar nak menyusahkan orang.” Encik Mursyid mengheret Irin ke bilik anaknya itu. Badan Irin sekali lagi ditolak kasar di atas lantai.
“Duduk dalam ni. Tidur! Ingat,kau jangan cakap apa-apa pada mak kau. Kalau kau cakap,siap kau aku kerjakan.” Encik Mursyid terus berlalu dan menghempas pintu bilik. Irin merangkak naik ke tilamnya. Air matanya meleleh semakin deras.
“Tolong Irin,mak! Irin sakit!”rintihnya. Pandangannya semakin lama semakin kelam.
Share this novel