Bab 1

Romance Series 2755

Aku, Muhamad Ismail Bin Muhamad Mail. Ingat tak? Aku si peniaga kecil. Dengan fesyen rambut belah tengah dari kecil sampai sekarang ni. Bermodalkan wajah selamba tanpa reaksi untuk mengenakan rakan sekelas. Aku ni anak tunggal. Tak ingat juga? Emm..

"Dua seringit dua seringgit dua seringgit,".

Ha, dah kenal? Hehehe. Ya, memang aku lah yang popular dengan nama Mail dua seringgit tu. Teman sepermainan Upin, Ipin, Ehsan, Fizi, Jarjit, Mei Mei, Susanti dan kawan-kawan lain. Tapi aku paling rapat dengan mereka yang kusebut nama tu. Sekarang sahabatku masing-masing telah berjaya. Tercapai cita-cita mereka dan berkerja di kawasan bandar. Hanya aku dan Fizi yang masih setia di Kampung Durian Runtuh ni. Manakan tidak, Fizi yang bercita-cita sebagai pengutip sampah itu kini telah dinaikkan pangkat dan diberi kepercayaan sebagai Pegawai Eksekutif dalam Jabatan Alam Sekitar kawasan kampung ni.

Aku? Nak kata tercapai cita-cita tak juga. Nak kata cita-cita tak tercapai pun tidak juga. Kekal begini. Dari kecil sehingga dewasa aku tetap melakukan pekerjaan ini. Berniaga dan aku cukup bangga dengan pekerjaanku ini. Dalam agama Islam kita dituntut untuk berniaga kerana Rasulullah juga berniaga dan hasilnya diinfakkan ke jalan yang benar. Betul, kan?

Mewarisi tinggalan arwah ayah, aku mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka sebuah restoran makanan masakan MelayuCinaIndia atas permintaan emak tersayang. Dalam masa yang sama aku juga menternak ikan dalam sangkar selain ayam dan kambing. Alhamdulillah, rezeki makin bertambah apabila ada permintaan dari bandar untuk membekalkan bahan mentah. Abang Salleh yang banyak membantu. Selain dari kata nasihat, dia juga banyak membantu dalam mengembangkan perniagaanku ini. Zaman dunia tanpa sempadan, memang abang Salleh yang paling terror.

Hari ini aku dan Fizi berjanji untuk berjumpa di pondok tempat selalu kami berkumpul dahulu. Ingin mengimbau kenangan lalu katanya. Namun sudah setengah jam kelibatnya belum juga kelihatan. Aku tersenyum sendiri sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Di kawasan pondok ini kami selalu berkumpul jika ada masa terluang. Bercerita dan bermain bersama. Dan Mei Mei selalu bersendirian bermain di sini selepas Susanti kembali ke negara asalnya. Di sini juga ada kenanganku yang tersendiri. Kenangan pahit dan manis. Aku senyum lagi.

Dari kejauhan kulihat Fizi keluar dari kereta. Mataku sedikit mengecil apabila ada insan lain turun dari kereta yang sama. Lama ku amati. Alhamdulillah, sahabat kesayangan pulang ke kampung! Pelukan mereka sungguh erat memberi makna mereka juga merindui aku sepertimana aku merindui mereka. Penampilan mereka sudah banyak berubah tetapi gurauan mereka tetap sama. Air mataku bergenang. Sungguh aku sayang mereka.

"Relaks, Mail. Janganlah menangis. Tak macho bro,". Upin sudah mula mengusik. Aku hanya tersenyum lalu menggeleng perlahan. Sepuluh tahun tidak bersua bukan satu tempoh yang sekejap selepas masing-masing masuk ke sekolah berasrama penuh. Ada yang terus ditawarkan belajar di luar negara. Aku menyeka tubir mata. Kerinduanku pada mereka sudah tidak tertanggung lagi.

"Selepas ini Mail kena beli telefon baru. Senang kita berbual melalui group whatsapp saja. Ha, boleh juga memasarkan itu ternakan dan restoran melalui telefon. Takkan nak harapkan abang Salleh je. Betul tak kawan-kawan?". Aku senyum lagi. Saranan Jarjit Singh itu menarik perhatian dan menjadikan topik itu berpanjangan sehingga tiba-tiba saja Ehsan bersuara.

" Eh, Fizi! Kau kata ada orang hantar makanan nanti. Mana makanan tu?".

" Entahlah, kata tadi on the way,".

" Dekat sejam sudah kita di sini, kebulur kita macam ni. Aku lapar tau, makanan belum sampai lagi,"

" Ish ish ish, Ehsan ni. Masih juga perangai kau yang kuat makan tu," Ipin bersuara diikuti tawa sahabat-sahabat yang lain.

" Kita makan aje di restoran mak aku. Aku belanja. Marilah,". Baru sahaja aku mengangkat punggung, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah jambu menyapa pandangan. Perlahan-lahan seorang gadis bertudung litup keluar dari bahagian pemandu.

"Dah sampai pun," Fizi bersuara yakin. Gadis bertudung litup itu tersenyum manis. Dengan kaca mata kalis cahaya tersangkut di atas hidung mancung, gadis itu melangkah perlahan sambil membimbit bakul berisi makanan. Mei Mei? Ah, mustahil dia tetapi hatiku ini tiba-tiba berdetak pantas. Aku menggeleng perlahan. Tidak! Detak hati ini hanya untuk dia.

" Assalamualaikum. Apa khabar semua? Selamat berkenalan" pantas aku mengangkat muka. Terkejut mendengar suara itu. Suara yang hampir sama! Suara yang kurindu tiap saat. Kutatap lembut gadis yang masih tersenyum manis itu. Senyuman juga hampir serupa. Aduh, parah!

" Awak Mail, kan?". Sapanya sambil memandang tepat ke arahku.

" Kan saya dah kata, awak boleh teka mana satu dia, Mila, ". Fizi senyum penuh makna. Gadis bernama Mila menggangguk dan senyum lagi. Mila? Aku hairan, mengerutkan dahi sambil memberi isyarat mata dengan yang lain. Bahu diangkat tanda tidak tahu, hanya Fizi yang masih setia tersenyum.

" Awak kan selalu cerita pasal Mail. Jadi dalam ramai-ramai ni saya teka saja yang dia ni Mail,". Berkerut dahi semua mendengar patah bicara gadis molek itu.

" Dua tiga kucing berlari, Mail kenal dia ni?" Jarjit menyoal dalam pantunnya. Aku cuma tersengih. Menggaru kepala yang tidak gatal tanda tidak tahu. Mereka mentertawakan aku. Ah, pedulikan mereka! Aku cuma zahirkan apa yang betul. Aku memang tidak mengenalinya.

" Saya Nur Eismila. Mail boleh panggil saya Mila. Yang lain pun boleh panggil Mila ya,". Semua angguk dan spontan tangan kanan kuhulurkan ingin bersalaman tanda perkenalan.

" Maaf, Mail. Dalam agama Islam, apabila berlainan jantina dan bukan muhrim hukumnya haram untuk bersalaman. Jika nak bersalaman, awak kena salam tangan wali saya dulu, ". Mila tersipu malu dalam ayatnya yang penuh makna. Upin, Ipin, Jarjit, Ehsan dan Fizi serentak tertawa. 'Aduh, malu aku macam ni! Pertemuan pertama pula tu,'.

" Jemput makan semua. Ini mama saya yang masak. Saya tinggal dengan kamu saja ya. Tak manis saya berlama-lama di sini dengan kamu semua. Kalau dulu tiada masalah kita masih kecil, sekarang kita sudah dewasa. Saya pergi dulu ya,". Mila pamit dengan memberi sedikit kesan pada hati ini. Timbul pelbagai persoalan di dalam minda.

Kalau dulu? Aku kenal dia ka? Teman sepermainan kami ka? Siapa Mila yang sebenarnya? Soalan itu cuma berlegar-legar di minda. Langkahnya kusoroti, cuma belakang badannya sahaja yang kelihatan. Bila kupandang depan, Ehsan telah penuh mulutnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience