Bab 8

Romance Series 2754

"Mak nak Mail berkahwin dengan gadis pilihan mak!".

" Tapi mak..,".

"Tak ada tapi-tapi Mail! Mak nak Mail kahwin juga dengan gadis pilihan mak dan mak nak Mail berkahwin tahun ni juga! ".

" Beri Mail masa sebulan mak. Jika Mei Mei masih tak dapat Mail jejak, Mail ikut sahaja kemahuan mak,".

"Baik, sebulan saja bermula hari ni. Habis tempoh sebulan, Mail lupakan Mei Mei. Keputusan mak muktamad!".

Perbualanku dengan emak pagi tadi berkisar lagi di fikiran. Entah di mana aku hendak mencari Mei Mei. Nampak sahaja kelibat Fizi masuk ke restoran aku terus mendapat idea. Ya, Fizi boleh membantu.

"Kau kena tolong aku. Tolong aku,".

" Kau apa hal? Aku belum duduk pun lagi kau terus je terkam macam nak makan aku,". Aku garu kepala yang tidak gatal. Lantas aku dudukkan Mail di kerusi berhadapan dengan kaunter. Port yang paling sesuai bagi aku sekarang ni.

"Kenapa?" Fizi bersuara pantas.

"Bagi aku nombor telefon Mei Mei,". Fizi mula angkat kening. Mungkin hairan dengan permintaanku yang satu ini.

"Pelik dan menghairankan".

" Pelik tak pelik, hairan tak hairan kau kena tolong aku. Please,". Fizi mencebik bibir sambil berfikir.

"Boleh, tapi bagi aku makan dulu. Aku lapar bro," Fizi sengih kemudiannya.

"Lepas makan, kau kena bagi aku tau,".

" Eh, hari tu aku dah bagi kan? Kau letak kat mana?". Aku angkat bahu. Entah di mana aku simpan kertas yang tertera nombor Mei Mei itu.

"Cuai! Patutlah Mei Mei tinggalkan kau,". Fizi menggeleng dan berlalu mengambil makanan. Aku menyebak rambut ke belakang, mengakui akan kecuaianku yang satu ini. Benarkah Mei Mei tinggalkan aku kerana kecuaian ini? Aku mengeluh.

* * * * * *

Bip.

Telefon digapai selepas mendengar bunyi menandakan ada mesej diterima masuk. Kotak mesej dibuka. Ritma jantung Mei Mei berubah rentak. Tidak menyangka Mail akan menghubunginya setelah sepuluh tahun lamanya kejadian itu berlalu.

#Hai, Mei Mei. Apa khabar? Aku ni Mail.

Mei Mei meletak kembali telefon di atas meja. Dibiarkan saja mesej itu tanpa sebarang jawapan. Fokus diberikan sepenuhnya pada kertas jawapan anak didiknya. Laporan penilaian ujian itu perlu dihantar kepada Penyelaras Matematik secepat mungkin untuk tujuan penambahbaikan.

Bip. Mesej masuk lagi. Ah, biarkan! Lain di hati, lain pula yang terzahir. Pantas saja tangan Mei Mei mencapai telefon pintarnya itu. Mesej dibuka.

#Ingat saya tak? Mail dua seringgit ni hihi

Tentu aku ingat kau, Mail. Hanya seorang Mail yang aku kenal. Jawapan itu hanya terlintas di fikiran. Tiada niat untuk membalas. Bip.

#Aku minta maaf atas apa yang telah berlaku sebelum ni. Aku sedar aku salah. Boleh kita berjumpa? Aku rindukan kau.

Mei Mei menarik nafas dalam. Terkenang peristiwa lepas. Kenangan sepuluh tahun lalu, peritnya jiwa apabila cinta dihulur tidak bersambut. Puas dia mencuba untuk mengatakan tidak pada perasaannya tika itu. Mail adalah cinta pertamanya. Cinta yang sebenarnya! Bukan cinta monyet seperti kata Mail. Lalu dia nekad meluah rasa namun jawapan yang diterima membuat hatinya remuk bila cinta zaman remaja itu tidak kesampaian. Mujurlah uncle Fong suami kepada adik mama bertegas untuk membawanya keluar dari kampung itu. Dapat dia mengubati sendiri luka hati biarpun agak sukar untuk dia berdiri semula.

Pantas Mei Mei melangkah ke tandas bilik guru. Kelopak matanya sedikit panas saat terpandang wajah sendiri yang terpantul dari cermin. Wajah inilah yang pernah ditolak oleh Mail! Pipi inilah yang pernah ditampar Mail! Saat tangan menyentuh bibir, air mata Mei Mei makin tidak tertampung. Mei Mei cepat sahaja membasuh muka. Saat diri sekali lagi terpandang pantulan diri di balik cermin, empangan air mata itu gugur jua.

Aku juga rindukan kau, Mail. Tapi tak mungkin kita akan bersatu.

Tangisan bisu berlagu sepi. Akankah terungkai rindu di hati ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience