Completed
10133
Bab 11
Sekarang ni, aku sehabis boleh cuba untuk mensibukkan diri sehabis baik. Kerana bagi aku, teorinya adalah begini. Otak kau banyak sangat nak buat kerja kerja mengingat kembali kekasih lama ni takde lain. Semuanya kerana otak kau dah takde benda lain yang dia boleh fikir. Makanya, jika kau sibukkan diri kau, buat kerja-kerja yang bagi manfaat dan faedah, enjoi pada benda-benda yang membawa kegembiraan duniawi, secara teorinya, segala percubaan otak kau untuk kembali memikirkan kekasih lama akan hilang.
Itu secara teorinya.
Sebab yang aku tengah hadapi sekarang bukan lagi teori.
Dan masa 4 tahun bercinta dan berkasih sayang tu bukannya sekejap. Lama.
Lama yang sampai tahap dia semua benda yang kau lihat di depan mata, akan membawa kau kepadanya. Otak kau akan gunakan semua itu dalam percubaannya untuk bawa kau mengingat semula si dia dalam keadaan kau yang tidak bersedia.
Perlukan contoh?
Macam sekarang aku sedang berjalan menuju ke bank. Ada urusan melibatkan kewangan yang perlu aku lakukan. Di sebelah bank tu, ada KFC. Dengan pantas, otak aku membuat kerja-kerja mengimbas kenangan.
*******
Aku dan dia sedang beratur seperti yang lain.
Pelanggan yang ada di dalam kedai makan ayam segera kali ni tidaklah ramai. Tetapi, kaunter yang dibuka cuma satu. Atas sebab tu walaupun yang nak makan ayam aku lihat cuma ada 3 orang (termasuk kami berdua), namun masa menunggunya agak lama. Kalau kena masa aku tak bertenang, mahu aku bertumbuk dengan mana-mana dinding. Tapi, ianya amatlah mustahil. Di depan gadis yang kau sayang cinta, mana mungkin hati kau mudah nak marah. Sebab sekarang ni, kau lebih mudah nak senyum. Lebih mudah nak rasa bahagia dan ketawa. Walaupun pada benda-benda yang tak berapa kelakar. Sebab hati tengah senang.
Sampai giliran kami.
“Hai, selamat datang ke KFC. Makan sini ke bungkus?”
“Tak, tak. Tak makan dekat sini. Makan dekat meja sana,” ujar dia dengan wajah habis bersahaja sambil menuju ke meja yang disediakan dalam kedai makan ayam segera itu.
Aduh, kalau tak memikirkan yang aku sedang bersama seorang gadis yang aku sayang, mahu aku berdekah dekat situ jugak. Tapi, air muka kena jaga. Aku cuma tersenyum sambil melihat cashier itu seolahnya terpinga-pinga pada jawapan dia.
Ah cashier kau ni lembab la. Takkan lawak-lawak simple macam ni kau tak faham.
Dan hari itu berlalu dengan kami menceritakan semula detik-detik di kaunter kedai makan ayam segera itu berkali-kali.
Bahagia.
*******
Kau lihat tu, dalam keadaan aku sedang berusaha tak mahu ingat semula memori lama pun dia boleh datangkan juga memori tu dalam kepala.
Celaka.
Share this novel