Completed
10133
Bab 12
Di hadapan aku sekarang adalah seorang gadis yang dikenenkan oleh seorang Nizam. Jika masih ingat, hari tu Nizam ada cakap pasal benda ni. Pasal nak kenalkan aku pada seorang gadis yang wajahnya boleh tahan. Aku tak ingat masa tu aku jawab apa, tapi hari ni kami berdua sudah bersua muka. Hari ini, sehari sebelum majlis perkahwinan si dia berlansung.
Namanya Suraya. Dan ya, wajahnya indah, seindah namanya.
Aku ragu-ragu juga untuk berjumpa dengan dia pada mulanya. Semuanya atas beberapa faktor. Pertama, mata aku merah. Merah dia yang jika siapa-siapa lihat, sudah pasti syak yang aku ni baru lepas menyedut ganja, ataupun meletakkan air sabun ke mata. Semuanya akibat aku yang berterusan menangis tanpa kemahuan aku untuk melakukan perkara itu. Jujur, aku tak mahu pun menangis. Tapi air mata tu sendiri yang ambil keputusan untuk keluar tatkala malam menjelma dan kau dibaluti selimut yang tebal. Kedua, badan aku agak kurus. Atas faktor yang aku sudah hilang selera hendak makan. Badan aku ni memang sudah sedia kurus pun sebelum selera makan aku tu hilang. Maka, kau bayangkan betapa cengkungnya wajah aku tatkala ini. Tak kiralah atas benda apa atau kerja apa yang kau bakal buat, namun tidak ada siapa yang akan bantah jika kau katakan yang 1st impression untuk segala perkara itu adalah penting. Atas faktor itu aku dapat rasakan yang perjumpaan ini sudah pasti akan menemui kegagalan.
“Awak dengar tak saya cakap apa ni?” tanya Suraya pada aku yang sudah pun jauh membawa roh diri ke merata tempat.
Aku terpinga-pinga sebentar.
Suraya menarik mukanya.
“Masih belum move on dari kekasih lama?” tanya Suraya pada aku. Aku terkejut. Macamana dia boleh tahu ni? Dia sedang baca fikiran aku ke apa.
“Nizam yang bagitau la. Janganlah buat muka macam terkejut sangat.”
Aku lega.
“Saya ingatkan tadi awak ada psychic. Yang boleh baca fikiran orang. Risau saya. Sebab tadi masa saya pertama kali ternampak awak, berbakul-bakul juga kata-kata pujian pasal awak yang saya beri dalam kepala.”
Suraya tersenyum.
“Haih, kalau awak tengah in the mood nak kenal saya sekarang, mesti date ni jadi best.” Ujarnya.
Aku mula rasa bersalah. Kemudian, beberapa kata maaf aku beri padanya atas keterlanjuran yang telah aku lakukan. Dia sekadar menggeleng kepala sambil berkata tak mengapa. Kemudian, kami mula bercerita tentang siapa dia gadis yang menyebabkan aku tidak mampu move on, begitu juga dari sudutnya (rupanya kami mempunyai masalah yang hampir serupa).
Setelah selesai, kami berdua duduk bersandar sambil menghembus nafas ke udara. Membiarkan fikiran kami menerawang seketika ke tempat-tempat di mana memori paling menginginkannya. Terutamanya sekali ke lokasi “kalau aku tak begini, mesti begitu jadinya.” Kan ada banyak lokasi sebegitu di dalam kepala kita semua?
“Bukan senang nak move on kan?” ujarnya kemudian.
Aku mengangguk tanda setuju.
Kemudian dengan perlahan, aku menghirup kopi panas yang telah pun menjadi suam.
Pahit.
Share this novel