BAB 3

Family Completed 7476

Jiran tetangga sekadar memekakkan telinga dan membutakan mata. Aku faham, mereka tidak mahu masuk campur. Aku cuba mengetuk pintu berulang kali untuk meminta bantuan, cukuplah sekadar tempat berteduh sementara. Air hujan masih membasahi bumi dan tiada tanda-tanda akan berhenti. Beberapa minit sudah berlalu walau tiada jam untuk melihat, aku mula tertunduk memandang kaki yang tidak beralas apa-apa. Aku mengalah, tiada siapapun sudi memberi pertolongan. Air hangat akhirnya gugur jua di pipi mulusku. Aku cuba berfikir positif, mereka tidak dengar mungkin ketukanku tadi. Tak apalah, aku akan melangkah pergi moga akan muncul sinar harapan di luar sana.

Hari ini dah masuk dua hari aku berada di surau yang berada di persimpangan jalan. Laungan azan menenangkan fikiranku yang kusut. Aku redha dengan apa yang berlaku. Menangis air mata darah sekalipun tak akan menyelesaikan masalah. Aku kena hadapinya. Mereka yang singgah di surau ada juga menegurku dan aku membalasnya sekadar senyuman. Aku lebih banyak mendiamkan diri dari bersikap ramah, bukan apa, aku masih trauma dengan apa yang berlaku. Apabila matahari mula meninggi hingga terpacak di atas kepala, aku keluar dari surau dan pergi duduk di perhentian bas. Aku sendiri tidak mengerti kenapa perhentian bas menjadi pilihanku. Mungkin melihat ragam manusia sedikit sebanyak mengurang kebosananku.

Aku tidak menghiraukan teguran, hinaan atau apa-apa. Aku hanya mahu berada di dunia ciptaanku sendiri. Dunia yang kududuki sekarang tidak berlaku adil padaku. Tiada sebab untuk aku terus berada di dunia yang nyata. Adik? Mana adik? Adik…akak keseorangan diri sini. Aku berpeluk tubuh sambil mata meliar ke sekeliling untuk mencari kelibat adik. Bau asap bas mula masuk ke dalam rongga hidung. Bersesak-sesak mereka masuk ke dalam bas. Aku sekadar duduk dan memandangnya berlalu. Tak tahulah nak buat apa sekarang walau dalam hati tidak putus-putus berdoa agar aku dijauhi dari segala musibah.

Kereta lalu lalang merentasi jalan raya tidak terkira bilangannya. Bunyi pula ada pelbagai jenis, dari bunyi hon penunggang motosikal nakal ke bunyi lagu Kuch Kuch Ho Tai yang berkumandang dari dalam bas menjadi halwa telingaku. Hampir setengah jam duduk tidak berbuat apa-apa di perhentian itu, perut mula terasa lapar. Angin berpusar-pusar di dalam perut sejak semalam lagi. Nak buat macam mana, duit tak ada nak beli makanan. Melihat burger di seberang jalan, kecur air liurku dibuatnya. Sabar sajalah, Lisa…dugaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience