BAB 9

Romance Completed 2027

Kehadiran kedua ibu dan bapa Abang Hayqal petang tadi lebih mengusutkan fikirannya. Kedua ibu dan bapa Hayqal datang meminta kepastiannya, tetapi tidak pun memaksa dia. Terlalu baik kedua orang ibu dan bapa Abang Hayqal terhadapnya.

“Derma, pakcik dan makcik tak pernah paksa kau untuk menerima Hayqal. Pakcik tahu, Hayqal tak seperti lelaki lain. Kau buatlah keputusan kau sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Pakcik nasihat kau beristikarahlah kepada Allah Taala, moga diberikan jawapan. Kami terima sahaja apa keputusan yang Derma buat.” Ujar Pak Cik Rahmat, ayah Hayqal, ada rasa simpati di wajahnya.

Sukarnya untuk Derma membuat keputusan. Antara Hadi dan Abang Hayqal. Kalau dia pilih Hadi, bagaimana nanti perasan keluarga Abang Hayqal dan apa pula kata orang-orang kampung. Kalau dia pilih Abang Hayqal, apakah dia benar-benar mencintainya, atau hanya kerana kasihan? Dia tidak mampu membuat kesilapan. Ini adalah masa depannya sendiri. Kalau tersilap dia akan menyesal akhirnya.

Dia memutuskan untuk menyerahkan segalanya kepada Maha Pencipta. Dicapai tuala yang tersangkut di dinding, lalu meluru keluar ke bilik air. Segera diputarkan kepala paip hingga air di dalamnya segera keluar, deras dan dingin. Dimulakan dengan bismillah, lalu dipasangkan niat, air yang sedia tercurah disapukan ke muka, kemudian satu persatu pulak diratakan air ke seluruh anggota wuduknya yang lain.

Selepas berwuduk, sejadah dihamparkan. Telekung putih bersih yang tersidai di penjuru katilnya segera dipakai. Dia ingin segera sujud dan memohon kepadaNya agar diberikan jawapan. Dia mahu menjadi seorang hamba yang redha dengan takdir. Takbir memuji kebesaran Allah dilafazkan. Dia mahu berbicara sepuas-puasnya dengan Maha Pencipta.

Walaupun pagi tadinya hujan telah turun agak lebat juga, namun telah reda menjelang tengahari. Majlis walimatulurus itu dapat dijalankan seperti yang dirancangkan. Ramai orang-orang kampung datang membantu. Adat di kampung sememangnya begitu, setiap majlis yang diadakan pasti ramai anggota kampung akan turut bersama membantu. Ada yang membantu memasak hidangan, ada yang menjadi tukang penanggah. Ada yang menjadi tukang bancuh air minuman. Malah setiap orang tahu mengambil bahagian masing-masing tanpa perlu disuruh. Kerjasama sebegini banyak meringan beban tuan rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience