BAB 3

Romance Completed 2027

Bersekolah pun di sekolah yang sama. Derma dalam tahun satu, Hayqal di tahun tiga. Hayqal lah yang selalu menemani dia ke sekolah. Pagi-pagi lagi dia akan tercongok di hadapan rumah Derma, dan kemudian bersama-sama berbasikal ke sekolah. Hinggalah waktu pergi mengaji Al Quran di surau pada waktu malam, dia jugalah yang akan menemani Derma. Begitulah rapatnya dia dengan Derma. Malah ada masanya kadang-kadang dia juga menemani Derma menghantar kuih-kuih yang ibu Derma buat ke kedai makan tepi simpang jalan besar untuk dijual.

“Kau minta buah pisang dahlah. Kat kebun Mak Cik Samiha banyak. Boleh aku pergi ambilkan.” Ujar Hayqal semula.

Dilihatnya Derma hanya diam. Mukanya mencebek. Dia berlari-lari anak menuju ke rumah pondok-pondok mereka. Dia tahu Derma merajuk. Perasaan Hayqal serba salah. Pasti selepas ini Derma tak akan menegur dia lagi. Dia tahu sangat, kalau mereka bergaduh, dua tiga hari Derma tak akan menegur dia.

“Oklah. Ni ambil ni, Jaga lastik aku ni” Akhirnya Hayqal bersetuju juga. Lastik yang sering digunakan untuk melastik burung-burung di dalam hutan kecil di hujung kampung itu diserahkan kepada Derma.

“Terima kasih Abang Hayqal.” Sahut Derma kembali tersenyum sambil menerima lastik kayu Hayqal. Lastik kayu yang dibuat dari dahan pokok jambu laut itu dipegang erat. Banyak burung-burung hutan telah menjadi mangsa bedikan lastik Hayqal, malah kadang-kadang anak-anak ayam orang kampung juga turut sama menjadi korban lastik Hayqal.

“Ambil ni, bunga loceng kuning untuk Abang Hayqal, Derma petik dari pokok tepi tebing sungai tu. Abang Hayqal pakailah bila panjat pokok nanti.” Sekuntum bunga loceng kuning bertukar dari tangan Derma ke tangan Hayqal. Perasaan Hayqal kembali berbunga-bunga.

Hayqal mula memanjat pokok mangga tua itu. Mudah sahaja bagi Hayqal. Sekejap sahaja dia sudah sampai di pertengahan pokok mangga itu. Beberapa ekor kerengga mula merayap di kakinya. Hayqal segera menepis dengan tangannya. Sebelah tangannya dia terus berpaut dengan dahan-dahan pokok itu. Hayqal sudah hampir ke puncak pokok mangga. Dia perhatikan lagi, buah-buah mangga yang telah masak terletak di hujung dahan-dahan yang bercabang-cabang itu. Agak sukar juga untuk mencapainya. Namun Hayqal bertekad juga untuk mencari buah mangga yang masak sahaja untuk Derma.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience