BAB 1

Romance Completed 2027

Dipetiknya sekuntum bunga loceng kuning dari pepohon yang tumbuh meliar di tebing sungai itu. Dicium sepuas-puasnya sambil menghirup aroma segar kuntuman itu, kemudian diramas hingga bunga yang tadinya berkembang mekar hancur di tangannya. Bunga loceng kuning yang hancur itu dilemparkan ke sungai, lalu hilang bersama arus sungai yang mengalir deras itu. Sebagaimana hancurnya bunga itu begitulah hancur hatinya kini.

Ada kesayuan terpamer di wajahnya. Redup sepasang matanya pun bagaikan ingin menceritakan sesuatu yang membebankan tapi tidak terluahkan. Beban yang terpancar di wajahnya dan terpikul di hatinya. Matanya dipejamkan rapat-rapat, seraut wajah yang dirindukan itu datang semula menerjah membawa bersama-sama garis luka sebuah kenangan berwarna merah.

“Abang Hayqal, Abang Hayqal ! Aku nak buah mangga tu!” Ujar Derma, sambil tangannya menunjukan ke arah sepohon pokok mangga tua yang yang tegak berdiri di tebing sungai.

Hayqal memandang ke arah pokok mangga tua itu. Jelas terlihat buah-buah mangga yang masih hijau bergantungan pada dahan-dahan pokok mangga tua itu. Pokok mangga tua di tepi sungai ini memang telah terlalu tua. Sejak kampung ini dibuka lebih 15 tahun dulu, pokok mangga tua ini memang telah sedia ada di situ. Daun-daunnya yang rendang menjadi kawasan bawahan redup dan nyaman. Di bawah pohon mangga tua yang besar tersergam inilah menjadi tempat anak-anak kampung bermain-main.

“Pokok mangga tu tinggi sangatlah Derma. Lagi pun banyak kerengga. Macam mana nak panjat, duduk buahnya tinggi sangat. Aku tak beranilah.” Jawab Hayqal sambil menggaru kepalanya. Rambutnya yang pendek itu tegak sahaja seumpama duri-duri landak walaupun digaru berkali-kali.

Mata Hayqal tepat memandang ke arah pokok mangga tua itu lagi. Ada keraguan di hati Hayqal, risau juga melihat kedudukan buah-buah mangga di hujung dahan. Dahan-dahan pokok mangga tua ini bergoyang-goyang bila ditiup angin. Terlihat sepasang tupai berlari-lari di antara dahan-dahan pokok mangga.

“Alaa.., panjat aje la. Aku ni mengidam nak makan buah mangga. Kaukan laki aku. Pokok rambutan Pak Asbul kat hujung kampung tu pun tinggi jugak, tapi kau selalu panjat apa? Bolehlah!” Pinta Derma lagi sambil memegang perutnya yang memboyot.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience