BAB 9

Thriller Completed 1007

Akibat terlalu terkejut, dia telah terjatuhkan penukul dari genggamannya lalu alat yang berat itu terus menghentam lantai sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat. Keadaan itu telah menyebabkan lelaki bertopeng terus menoleh ke arahnya!

Dengan pantas Alias terus berlari menyembunyikan dirinya di bawah sebuah sofa panjang di ruang tamu. Menggigil-gigil dia dibawah sofa itu sambil kedua-dua belah tangannya menutup mulut kerana bimbang jika dia mengeluarkan sebarang bunyi yang seterusnya dapat menarik perhatian lelaki itu.

Dia hanya membiarkan peluh jantan membasahi seluruh wajahnya sambil melihat sepasang kaki berkasut but hitam berjalan ke arah penukul yang telah dijatuhkannya tadi.

Lelaki itu kemudiannya dilihat telah mengambil penukul tersebut lalu mencampaknya tepat terkena TV buruknya sehingga pecah berderai! Terbeliak biji mata Alias melihat aksi yang tidak diduga itu.

“Mana kau Alias, hilang?” tiba-tiba lelaki itu bersuara memanggil namanya dengan nada yang mendayu-dayu diselangi dengan tawa yang dibuat-buat. Dia berjalan-jalan dengan selamba mengelilingi ruang tamu sambil menhayunkan pisau yang berkilauan di tangannya.

Alias hanya memerhati sepasang kaki itu yang semakin menghampiri sofa yang didiaminya.

“Tap, tap, tap,” bunyi but itu yang semakin kuat kedengaran sehingga akhirnya dia berhenti tepat di hadapan matanya. Lelaki bertopeng itu seakan tercegat agak lama di situ sebelum dia tiba-tiba melabuhkan punggungnya di atas sofa tersebut.

Alias terasa bagai mahu pengsan di situ kerana dia dapat merasa yang nyawanya seakan sudah berada di hujung-hujung tanduk. Dia tidak pasti apa yang sedang dilakukan lelaki bertopeng itu di atas sofa kerana dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi.

Tanpa dia sedar setitis air mata mula mengalir keluar dari matanya akibat terlampau takut. Tangannya semakin kuat menekan mulutnya supaya tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Tiba-tiba kaki lelaki bertopeng itu bergerak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience