Degupan jantung Alias semakin rancak sehingga rasa mahu tercabut keluar daripada tubuh akibat terlalu takut. Dia masih tidak percaya bagaimana mereka dapat tahu semua maklumat peribadi dirinya sehinggakan baju yang melekap pada tubuhnya ketika itu turut berjaya dikesan oleh mereka?!
Matanya terus meliar mencari sesuatu yang mungkin dapat membantu mereka mengesan identitinya. Akhirnya dia terlihat sesuatu!
Pantas tangannya menarik laci lalu menggeledah sesuatu. Habis berselerakan barang dari perut laci itu dikeluarkan hingga akhirnya dia menemukan apa yang dicarinya.
Dikeluarnya segulung pita pelekat bewarna hitam lalu terus dilekat pada web cam komputer ribanya. Dia percaya mereka pasti telah mengesan identitinya melalui kamera tersebut.
Sepatutnya dia bertindak lebih awal dengan menampal kamera tersebut terlebih dahulu sebelum melayari ‘web bilik panik’ namun sayang semuanya sudah terlambat.
Cepat-cepat dia mematikan suis komputer itu serta merta sebagai langkah terakhir lalu skrin terus bertukar menjadi gelap. Kedengaran sangat jelas bunyi nafasnya yang terputus-putus akibat degupan jantung yang sangat kencang sambil bahunya turun naik mengikut alunan nafas.
Dia terdiam sambil memandang kosong skrin komputernya yang hitam pekat namun jelas menampakkan sedikit pantulan wajahnya yang sangat cuak ketika itu. Perlahan-lahan dia menarik nafas sedalam yang mungkin bagi menstabilkan kembali degupan jantungnya.
Tiba-tiba matanya terpandang akan kelibat lelaki bertopeng sedang berdiri di belakangnya bersedia untuk menikam dirinya! Dengan pantas dia menoleh namun apa yang dilihatnya ketika itu cuma sebuah almari pakaian.
Rupanya dia cuma berkhayal. Mungkin kerana terlalu takut dan masih fobia dengan adegan tikam menikam tadi hingga ia terbawa-bawa ke dunia nyata.
Matanya tidak dapat dipejam. Dia masih lagi dihantui dengan kata-kata ugutan daripada admin web yang mahu menangkap dirinya kerana telah meninggalkan bilik ujikaji sebelum ujikaji tamat.
Share this novel