“Boo!” sergah lelaki bertopeng sambil menjengukkan kepalanya lalu memandang tepat ke arah Alias. Kepalanya tiba-tiba berasa berat dan dunia mulai hitam.
Perlahan-lahan Alias membuka kelopak matanya. Dengan pandangan yang sedikit kabur akibat wajahnya yang telah ditutup dengan kain guni, dia dapat melihat dirinya berada di sebuah bilik kecil yang hanya ditemani dengan sebuah lampu neon bersama sebuah meja komputer tidak jauh darinya.
Di hadapannya pula terdapat banyak skrin komputer tergantung di dinding yang sedang memaparkan pelbagai jenis manusia dari pelbagai rupa sedang diperhatikan melalui web cam. Lebih memeranjatkan adalah dia dapat melihat wajah sahabatnya, Mawi di salah sebuah skrin tersebut!
Alias terus menjerit-jerit memanggil nama temannya itu namun langsung tidak didengari oleh Mawi.
“MAWI! MAWI! TOLONG AKU MAWI!” namun jeritan itu gagal bersahut.
“Tap, tap, tap...”
Dia dapat mendengar derapan tapak kasut but berjalan ke sebelah kiri. Dengan pantas dia menoleh lalu terlihat dari celahan lubang akan kelibat lelaki bertopeng misteri sedang merenung tajam ke arahnya.
“Hi, Alias! Dengar cerita awak mahu mencuba sesuatu yang mencabar dan mengujakan, adakah awak sudah bersedia menjadi bahan ujikaji PANIC ROOM?”
Share this novel