BAB 11

Other Completed 2518

Syed duduk di penjuru kafe Strabucks, Times Square sambil menghadap komputer ribanya. Dia gemar akan tempat duduknya di sini yang agak terlindung dari orang ramai. Di sinilah tempat dia selalu mencari inspirasi, menulis sajak-sajak dan cerpen-cerpen yang kemudiannya akan diterbitkan.

Tapi hari ini, Syed sangat berdebar-debar. Di kepalanya, cabaran yang diberikan oleh Zira ligat berulang-ulang, menguji keberaniannya. Mampukah dia meminta nombor telefon seorang wanita sedangkan untuk menegur pun dia tak berani.

Zira memaksa Syed untuk keluar dari zon selesanya. Selama ini, dek kerana terlalu malu, Syed hanya berkenalan dengan wanita hanya melalui laman sembang di internet.

Tak pernah terlintas di fikiran Syed suatu hari dia akan secara terus, berdepan dengan seorang wanita yang tidak dikenali, dan meminta nombor telefonnya lagak seorang hero tampan dalam filem-filem Inggeris.

Mungkin ada keberkesanannya cara yang dicadangkan oleh Zira ini. Lagipun, Zira seperti banyak pengalaman dalam hal-hal sebegini. Sedikit sebanyak, Syed dapat merasakan dia memang perlu membuat perubahan dalam hidup. Dia sudah dua puluh lapan tahun.

Hampir mencecah angka tiga puluh. Dia tak mahu mati kesunyian. Kalau ini yang perlu dilakukannya untuk disedari seorang wanita, maka inilah yang akan dilakukannya.

Sedang asyik Syed membayangkan apa yang perlu dilakukannya, tiba-tiba, seorang wanita cantik, berambut ikal mayang, berkulit putih mulus, dengan bentuk tubuh badan yang menggiurkan melangkah masuk ke dalam kafe itu.

Syed terpesona dengan wanita yang ada di depan matanya ini. Bukan saja dia, malahan, beberapa pelanggan lain di dalam kafe itu turut beralih perhatian kepada wanita itu. Wanita itu bagaikan bidadari. Cantik! Syed menggeleng-gelengkan kepalanya. Wanita ini di luar jangkauan aku.

‘Janji dengan saya, awak akan buat apa yang saya suruh.’ Ayat yang ditaip oleh Zira itu terbayang-bayang di mata Syed. Aduh, kenapalah dalam banyak-banyak wanita, mesti yang ini yang pertama tarik perhatian aku! Desah hati kecil Syed.

Syed masih berkira-kira dalam hatinya. Dalam masa yang sama, dia terus memerhatikan saja wanita itu duduk di sebuah meja bulat yang terletak di tengah-tengah kafe selepas membeli secawan besar kopi. Wanita itu kelihatan tenang membaca sebuah buku. Dia seolah-olah tidak menyedari yang dia telah mencuri hati Syed, malahan mungkin beberapa lagi hati lelaki lain yang ada di dalam kafe ini.

Syed menggenggam jari jemarinya. Dia tahu, kalau dia tidak bertindak sekarang, mungkin ada lelaki lain yang akan merampas peluangnya. Syed bangun. Kakinya terasa berat, namun digagahi jua untuk melangkah menuju ke arah wanita itu. Sedar tak sedar, wanita itu kini sedang memandang ke arahnya yang berdiri betul-betul di sebelah meja bulat di tengah-tengah kafe itu.

“Ya?” Dahi wanita itu berkerut, mungkin berfikir apa tujuan lelaki ini yang tiba-tiba datang ke mejanya.

“Tak.. ermm.. saya.. saya..,” Syed tergagap-gagap tika mahu memulakan bicaranya. Syed diam seketika. Dia mahu mengumpul keyakinan dirinya. Segala nasihat Zira terbayang-bayang di matanya.

“Begini, cik. Semalam, saya sudah berjanji kepada diri saya yang saya mahu membuat perubahan dalam hidup. Antaranya, saya mahu jadi lebih berani. Jadi, saya mahu bagitahu cik yang dari tadi, cik telah mencuri hati saya dan saya secara hormatnya mahu meminta nombor telefon cik.” Aduh, aku harap ayat aku tak terlalu skema, risau hati kecil Syed. Wanita itu yang wajahnya hairan dari tadi, tiba-tiba tersenyum.

“Oh, saya rasa berbesar hati sekali dengan permintaan awak. Tapi, sebenarnya, semenjak malam semalam pun saya sudah berjanji kepada diri saya sendiri, untuk setia kepada kekasih saya. Selalunya, saya tak kisah nak bagi nombor telefon saya pada orang yang saya tak kenal, tapi, malangnya, saya pun mahu buat perubahan dalam hidup saya,” Wanita itu dengan segera bangun dan melangkah keluar dari kafe Starbucks itu, meninggalkan Syed terpinga-pinga.

Syed dapat melihat seorang lelaki kacak sudah menunggu wanita itu di luar kafe. Syed sedar, dia bukan lawan lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience