Lama juga kami semua mahu mengetahui dari nenek tentang hal rumah itu. Seingat aku, nenek iaitu mak kepada mak Hafiz memang selalu ada yang menolong apabila dalam kesusahan. Yang datang menolongnya itu tidak pasti pula siapa dan hanya dikenali sebagai Tok Hadi.
Kehadirannya bukanlah seperti orang biasa. Dia hanya muncul apabila nenek dalam kesusahan dan terus hilang setelah keadaan nenek kembali pulih.
Setelah beberapa lama barulah nenek menceritakannya kepada kami semua mengapa Tok Hadi selalu datang membantunya.
Betulkah Tok Hadi itu dari golongan bunian?
“Bunian juga makhluk seperti kita,” kata nenek menceritakan kepada kami.
“Ada golongan yang baik, ada golongan yang jahat. Ada setengahnya mengganggu orang, dan ada setengahnya menolong. Samalah seeprti keadaannya manusia juga,” ujar nenek lagi.
Kadangkala aku mahu melihat masyarakat bunian ini. Tetapi bila mendengarkan cerita nenek tentang masyarakat bunian ini, hati aku jadi gementar.
Kata nenek, makhluk bunian ini adalah makhluk halus, manakala manusia biasa makhluk kasar.
Sebab itu apabila makhluk kasar diresapi oleh makhluk halus, mereka tidak berupaya melepaskan diri.
Share this novel