Dari cerita nenek, Tok Hadi itu asalnya dari manusia biasa. Tetapi Tok Hadi tidak dapat balik semula ke pangkuan masyarakat manusia biasa, setelah dibawa lari oleh orang bunian.
Sebelum Tok Hadi dilarikan oleh orang bunian, dia seorang pemuda biasa dikenali dengan nama Abdul Hadi. Kerja Abdul Hadi ini mencari rotan, dan damar ke hutan. Setiap hari dia ke hutan, kadangkala hingga lewat petang barulah balik ke rumah.
Ketika itu di mana-mana pun kampung di negeri ini masih diliputi oleh hutan tebal. Perhubungan antara satu kampung dengan kampung yang lain amat sukar. Binatang-binatang buas juga berkeliaran hingga kadangkala tersesat masuk ke dalam kampung.
Pada suatu hati Abdul Hadi masuk ke hutan seorang diri saja. Sudah menjadi kebiasaan kepadanya masuk ke hutan dengan tidak mengajak kawan-kawan. Abdul Hadi juga suka bersendirian saja kalau membuat apa-apa kerja pun.
Hari tersebut dia masuk ke hutan tidak balik ke rumah hingga lewat malam. Orang-orang kampung menjadi bimbang kerana Abdul Hadi tidak balik.
Ketua Kampung menyuruh beberapa orang pemuda menjejaki Abdul Hadi ke tempat dia selalu mencari rotan, pada keesokan harinya.
Hinggalah tiga hari orang-orang kampong mencari Abdul Hadi, tetapi tidak juga bertemu.
“Kalau tak salah, dia ni disorok orang bunian,” kata bomoh memberitahu Ketua Kampung.
Lebih seminggu orang-orang kampung mencarinya, tetapi Abdul Hadi tidak juga ditemui. Sejak itu mereka semacam putus asa mahu mencari Abdul Hadi, kerana Abdul Hadi tidak lagi muncul-muncul.
Share this novel