BAB 7

Romance Completed 11273

Pusat Asuhan Karissa menerima kunjungan lebih daripada jangkaan. Alhamdulillah. Para jemputan yang hadir mampu memberikan ketenangan jiwa kepada para pekerja pusat itu. Tidak menyangka sambutan ‘Malam Penyatuan Hati’ mendapat perhatian ramai. Kebanyakan yang hadir pernah menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan itu satu masa dulu.

Sudah hampir dua puluh enam tahun, Pusat Asuhan Karissa dibina. Anak-anak yang pernah menetap di situ juga, masing-masing sudah berjaya. Adakalanya, mereka membuat lawatan ke situ untuk menghargai jasa para pekerja yang sanggup menerima mereka dulu. Tidak terbalas usaha warga pusat asuhan itu untuk mengembalikan mereka kepada ahli keluarga kandung mereka.

“Qis, semuanya dah ready. Cuma, nak tunggu VIP jemputan kita aje,” kata Yanti, salah seorang tenaga pekerja di situ.

Balqis yang berdiri di pintu masuk dewan mengangguk kecil.

“Kejap lagi sampai kot. Siapa tetamu VIP kita, Yanti? Qis tak sempat nak usyar kad jemputan,” Sememangnya dia sibuk sepanjang minggu ini menguruskan kerjanya di pejabat.

Sehinggakan dia hanya sempat menghadirkan diri membantu persiapan majlis di saat-saat akhir. Nasib baiklah, para pekerja di situ memahami akan tugasnya. Tidaklah dia serba salah. Syukur juga kerana Tuan Wahid dan Puan Fatiah selamat tiba di Malaysia pagi tadi. Jadi, tidak perlulah dia yang merasmikan majlis malam itu. Mahu luruh jantungnya melihatkan betapa ramai jemputan yang hadir. Hampir penuh dewan Pusat Asuhan Karissa yang besar itu.

“Tak silap Yanti, Tengku Qalief Tengku Muazzam, salah seorang pengasas pusat kebajikan kanak-kanak di Malaysia,” Membulat mata Balqis saat mendengar nama tersebut.

Tengku Qalief Tengku Muazzam? Dia? Kebetulan sungguh. Kenapalah dia tidak perasan ketika membuat kertas kerja beberapa bulan lepas?

“Oh, okey…”

“Dia dah sampailah. Jom,” Yanti menarik tangan Balqis tanpa menunggu gadis itu menjawab.

Tuan Wahid dan Puan Fatiah terlebih dahulu menjemput tetamu jemputan mereka. Saat mata Qalief dan Balqis bertembung, hanya senyuman menjadi pengantara. Balqis terpaku pada Afinna yang comel dengan persalinan baju kurung cotton berbunga kecil. Rambut panjangnya disanggul tinggi dengan hair band bunga di kepala. Betul-betul menarik perhatian Balqis.

“Auntie!” jerit Afinna sebelum berlari mendapatkan Balqis di tangga dewan.

Balqis agak terperanjat dengan pelukan erat oleh Afinna. Namun, cepat sahaja dia membalas pelukan itu. Diusap perlahan belakang Afinna.

“Jomlah kita masuk. Boleh cerita panjang. Majlis pun dah nak mula,” jemput Tuan Wahid.

Tuan Wahid dan Puan Fatiah mengiringi tetamu mereka ke dalam dewan. Sementara Balqis dan Yanti mengekori di belakang. Bukan main seronok lagi Afinna berpimpin tangan dengan Balqis. Tidak mahu dipimpin Qalief ketika lelaki itu ingin memegang tangannya. Bijak sungguh Afinna. Ada chan dapat mummy baru. Eheh!

Semua hadirin yang hadir terpaku pada ketampanan Qalief. Sangka mereka, tetamu VIP yang dijemput adalah datuk-datuk. Rupanya, bakal datuk. Hehe.

“Alhamdulillah, tetamu VIP kita dah tiba. Bolehlah kot kita mulakan majlis,” Farhan, emcee majlis memulakan mukadimah. Setelah itu, ustaz yang dilantik sebagai penceramah tetap di Pusat Asuhan Karissa membacakan doa sebagai memberkati majlis.

Qalief memandang Balqis yang duduk di sebelah Afinna. Gadis itu tampak anggun dengan jubah moden labuh berona ungu lembut dan lilitan wide shawl bercorak bunga. Balqis kelihatan manis. Terpesona dia dengan kecantikan Balqis walaupun gadis itu hanya mengenakan mekap ala kadar. Afinna disampingnya juga nampak ceria. Becok lagi mulut dia berceloteh. Balqis pula hanya mendengar dan sesekali menyampuk.

“Dah lama ke anak Qalief kenal Balqis?” soal Tuan Wahid.

Dia terpegun dengan kemesraan Balqis dan Afinna. Puan Fatiah juga begitu. Seperti yang mereka tahu, Balqis memang sukakan kanak-kanak. Namun, tidak pula mereka tahu gadis itu mengenali VIP mereka. Lebih menghairankan, Balqis kelihatan rapat dengan anak VIP jemputan mereka itu.

“Taklah, uncle. Baru kali kedua bertemu. Hari tu terserempak dekat pasaraya. Terus Afinna suka. Hari-hari minta saya bawa jumpa Balqis. Saya manalah ada contact Balqis. Kebetulan, malam ni saya bawa Afinna, terjumpa pula dengan Balqis. Itu yang tak boleh berenggang,” Puan Fatiah yang mendengar mengangguk.

“Budak-budak, bila dah berkenan, payahlah. Macam tu jugaklah lelaki dan perempuan,” Qalief tersenyum.

“Jarang Afinna rapat dengan mana-mana perempuan, uncle. Kawan-kawan perempuan saya pun pernah nak berbual dengan dia, muka sombong dia tayang adalah,” Serentak Tuan Wahid dan Puan Fatiah ketawa.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan oleh bekas-bekas penghuni Pusat Asuhan Karissa sambil para tetamu yang hadir menjamu selera. Nyanyian penuh syahdu dibawa. Penuh dengan maksud yang berguna. Tuan Wahid dan Puan Fatiah sebagai pengasas, berbangga dengan pencapaian anak-anak mereka.

“Alhamdulillah, berbakat rupanya anak-anak Karissa ni. Mendalam sekali nyanyian yang dibawa. Terima kasih, ya kerana sudi membuat persembahan. Kini, tibalah saat yang warga Karissa nantikan. Tuan punya badan dah menolak tahap pergunungan Alps. Tapi, hasil pujukan mama Tiyah kita, dia bersetuju untuk menyampaikan sebuah lagu malam ni,” Kedengaran tepukan kuat dari para hadirin.

“Siapa lagi kalau bukan orang kuat Pusat Asuhan Karissa, Cik Balqis kita,” Balqis senyum nipis.

Mampus dia malam ni. Sejuk seluruh badan dia. Balqis tersengih. Siapa suruh setuju, kan dah kena. Haih, menambahkan lagi gundah, Afinna yang bersemangat menepuk tangan untuknya. Gaya faham saja apa yang disampaikan oleh Farhan.

Lambat-lambat Balqis melangkah ke atas pentas. Farhan memberikan mikrofon kepada Balqis. Setelah itu, dia meninggalkan Balqis dan turun ke meja makan. Qalief turut terpaku pada susuk tubuh langsing yang sedang berdiri di atas pentas. Goyah sebentar hatinya.

“Ehem, assalamualaikum. Dah lama tak naik pentas, gemuruh sikit,” Sempat lagi dia buat lawak. Disambut dengan tawa hadirin. “Disebabkan mama Tiyah kita dah memujuk, berdirilah saya kat sini malam ni. Terima kasih sebab bersusah payah memujuk ya, kak Tiyah,” Tiyah di meja yang sama dengan Balqis, tergelak.

“Saya diberi dua hari untuk menyediakan lagu untuk malam ni. Alhamdulillah, saya ditemukan dengan sebuah lagu yang saya tujukan khas pada idola saya, dari kecil sampailah ke besar. Orang yang mengajar saya susah senang hidup. Puan Fatiah Hassan, you’re the best mum ever. I love you very much. Terima kasih sebab lahirkan Balqis walaupun banyak dugaan yang hadir. I love you too, walid,” Terharu para hadirin dengan ucapan Balqis. Puan Fatiah sudah mengalirkan air mata.

Balqis menghela nafas perlahan. Dipandang screen di sebelah kiri pentas. Dia memberikan isyarat bahawa dia akan memulakan nyanyian.

Keanggunan yang terpancar darimu… muslimah

Ketegasan jiwamu bak perisai… nan indah

Kau hadirkan pesona… malu berbalut takwa

Laksana syurga di dunia

Keteguhan hatimu oh wanita… muslimah

Ketangguhan dirimu yang terbingkai… solehah

Perhiasan dunia… tunduk pada yang Kuasa

Sejukmu menenteramkan jiwa

Seiring lagu dan video yang menunjukkan gambar-gambar Puan Fatiah bersama dengan warga Pusat Asuhan Karissa. Tersentuh para jemputan mendengar lagu dan melihat tayangan video yang terpampang di sebelah kanan dan kiri pentas.

Engkau wanita syurga… bidadari dunia

Kehormatan kau jaga dengan penuh cinta

Engkau wanita syurga… bak permat berharga

Berbinar indah dalam kesucian jiwa

Merdu sekali suara Balqis mendendangkan lagu Wanita Syurga Bidadari Dunia nyanyian Oki Setiana Dewi. Hati gadis itu meruntun. Sungguh dia menyayangi Puan Fatiah sepenuh hati, ibu yang telah melahirkan dia ke dunia ini. Balqis menghabiskan nyanyiannya dengan iringan air mata. Namun, cepat diseka.

Qalief terpegun di tempatnya. Gadis yang disangka biasa, rupanya luar biasa. Tidak sia-sia dia menghadiri majlis ini. Patutlah, hatinya tertarik untuk menerima jemputan walaupun jadualnya padat. Sedikit sebanyak, hatinya tenang. Afinna di ribanya turut menyukai suara lunak itu.

“Terima kasih. I love you, ammi, walid. Lots of love from me to both of you,” Balqis mengakiri ucapannya sebelum turun meninggalkan pentas. Dia kembali ke meja dengan senyuman terukir.

Sempat dia menegur kenalan-kenalannya yang hadir.

“Nice song, sayang,” ucap Puan Fatiah tanpa tertangguh.

“Thank you, ammi. Tak sabar nak hug,” Puan Fatiah terjegil. Faham sangat dengan perangai manja anak tunggalnya itu. Nasib baik, jarak tempat duduk mereka menghalang. Jika tidak, pasti sudah diterpa anak gadisnya itu.

“Merdu sekali suara cik kak kita tadi. Terharu orang yang mendengar. Sempat saya perasan kakak-kakak kita di belakang tu dok lap air mata. Maaf ya kakak-kakak, gurau saja. Okey, last but not least. Saya nak jemput Puan Fatiah kita untuk memberikan sepatah dua kata. Tuan Wahid kita jual mahal malam ni. Asyik nak berkepit dengan Tengku Qalief,” Bukan main lagi Farhan mengenakan Tuan Wahid.

Meletus tawa Tuan Wahid. Ada pula dia dok berkepit dengan Qalief. Isterinya yang meminta untuk memberikan ucapan tadi. Lagipun, dia langsung tidak bersedia untuk memberikan ucapan. Lainlah Puan Fatiah yang boleh berucap tanpa teks. Puan Fatiah sudah naik ke pentas dengan iringan Tiyah, orang kanan Pusat Asuhan Karissa.

“Assalamualaikum, semua. Alhamdulillah, Allah masih memberi peluang kepada saya untuk berucap malam ni. Ucapan saya malam ni simple saja. Tak ada teks pun. Cuma, ucapan dari hati. Syukur kerana saya masih boleh berdiri teguh di pentas Pusat Asuhan Karissa. Terubat rindu saya nak jumpa anak-anak saya malam ni. Tahniah pada yang sudah selamat berumah tangga. Maaf kerana tak dapat hadir. Jadi, saya dan suami hantar wakil aje. Banyak sebenarnya terlintas di minda, tapi saya pendekkan saja. Takut sepuluh minit, jadi sejam pulak,” seloroh Puan Fatiah.

“Genap sudah dua puluh enam tahun Pusat Asuhan Karissa dibangunkan. Alhamdulillah, masih teguh berdiri sehingga sekarang. Saya dan suami bersyukur kerana sudah kurang penghuni Karissa berbanding dulu. Bermakna, masyarakat kita sudah ada kesedaran. Namun, Karissa masih menerima baik anak-anak yang dihantar ke mari. Tidak kiralah apa statusnya. Insha Allah, sama-samalah kita saling membantu. Besar pahalanya. Ramai sudah cucu-cucu Karissa. Cuma, Karissa saya dan suami saja masih bujang. Entah bilalah kami nak terima menantu…”

Balqis ketawa kecil. Tahu… Karissa itu adalah dia.

“Pusat Asuhan Karissa terhasil kerana hadirnya seorang Nur Balqis Karissa dalam hidup kami. Dialah puteri tunggal kami. Dah dua puluh enam tahun, anak ammi dan walid. Terasa cepat masa berlalu. Kenyataan hebat terpaksa kami terima apabila hanya Nur Balqis Karissa ditakdirkan untuk menjadi puteri kami. Saya disahkan tidak boleh hamil lagi setelah beberapa kali keguguran. Alhamdulillah, dengan adanya puteri kami, kuat impian kami untuk membantu anak-anak terbuang yang ketika itu sangat ramai. Kami harap warga Karissa masih teguh untuk terus berada bersama kami di Pusat Asuhan Karissa. Saya akhiri ucapan dengan jutaan terima kasih di atas kehadiran semua,” Tidak sanggup lagi dia ingin menyambung ucapan.

Air matanya laju sahaja mengalir di pipi. Balqis pantas menghampiri amminya di bawah pentas. Dipeluk wanita kesayangannya itu erat. Semoga hilang sedikit kesedihan Puan Fatiah. Bagi Balqis, Puan Fatiah adalah idola dan juga wanita besinya. Sejak kecil, dia amat menyanjung kerja murni Puan Fatiah sehinggalah sikap itu meresap ke dalam jiwanya.

“Ammi sayang Issa. Teruskan perjuangan ammi dan walid. Andai satu hari, kami sudah tiada, ammi nak Issa bangunkan Karissa sampailah ke akhir hayat Issa. Berikan kesedaran pada mereka yang masih hanyut. Insha Allah, Issa boleh,” Kata-kata itu meresap jauh ke lubuk hati Balqis.

“Insha Allah, ammi. Doakan yang terbaik untuk Issa. Issa tak boleh berjanji, tapi dengan izin Allah, Issa akan teruskan usaha ammi dan walid,” balas Balqis tulus.

Penuh dramatik sekali pengakhiran majlis. Para tetamu tidak lepas mengalirkan air mata melihat ketulusan hati pengasas Pusat Asuhan Karissa. Bagi mereka, Tuan Wahid dan Puan Fatiah merupakan insan yang terpilih untuk membela nasib anak terbuang. Niat murni mereka mampu sampai ke jiwa.

Farhan mengakhiri majlis dengan bacaan doa. Semoga hati para hadirin lebih tenang dan mendapat sedikit pengajaran. Walaupun tidak banyak, cukuplah sebagai tanda ingatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience