Kawan Adik

Thriller Series 852

Tajuk: Kawan Adik
Penulis: A.Miruu
. "Adik! Mandi cepat! Kau ni mandi lama betul, cuci tandas ke? Membazir sajalah air tu." Suara ibu meninggi.
. Adik hanya mencebik mulut sebelum menghentak-hentak kaki ke lantai tandas tanda protes. Dia lantas keluar dengan bertuala sahaja.
. " Haa cakap sikit hentak-hentak kaki. Cakap sikit nak meradang," sindir ibu lagi seraya melihat tubuh kecil anaknya berlalu pergi
. Mana Ada membazir air? Baginya ibu tak paham dirinya. Di dalam tandas sahajalah dia dapat ketenangan bersama kawan-kawannya.
. Ada yang merangkak di siling, ada yang tinggal di dalam mangkuk jamban dan beberapa lagi memang selalu tidur di bawah singki. Meskipun rupa mereka tidak sempurna, tidak mengapa.
. Bagi adik, rumahnya ,rumah mereka juga. Kasihan mereka. Kadang-kadang adik juga ada bawa makanan untuk mereka, tak sanggup dia biarkan kawan-kawannya kelaparan.
. Semestinya tulang-tulang ayam dan lebihan nasi yang sudah basi adalah kegemaran mereka. Adik sudah faham sangat!
. Pada satu petang, ibu memasuki bilik adik untuk mengutip pakaian yang kotor. Namun perbuatannya terhenti apabila terdengar adik sedang galak berbual di dalam tandas.
. Meskipun belakang tengkuknya berasa cekang, perlahan-lahan dia merapati pintu sebelum dia memasang telinga.
. Membuntang mata ibu. Dia mendengar anaknya sedang mengadu perihal dirinya. Tapi apa yang melunturkan semangat adalah apabila ramai yang menyahut dari dalam.
. "Adik! Buat apa tu?" Ibu mengetuk pintu dengan kuat.
. Adik tergesa-gesa membuka pintu dengan muka pucat lesi.
. "Adik bercakap dengan siapa tadi?" Ibu merenung muka adik dengan riak marah.
. "Mana ada? Adik mandi je," jawab adik sebelum menutup pintu semula.
. Ibu tercengang tetapi apabila dia mahu beredar, dia terdengar suara riuh-rendah di dalam tandas. Meremang seluruh tubuhnya.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience