Series
852
"Jangan keluar malam ni.. dia dah datang," tegas Nek Som memesan.
Merna dan Naim yang bersila di hadapannya hanya tekun mendengar dengan mata yang melotot. Riak bingung jelas melatari wajah mereka. Ketika itu hanya mereka bertiga sahaja yang berada di situ. Mereka duduk di dalam satu bulatan dan hanya ditemani sebatang lilin yang separuh terbakar dan remang bilik tidur Nek Som yang pekat.
Meskipun hati Nek Som berat namun tidak putus asa dia sedaya upaya cuba untuk memadam rasa bimbang dalam hati cucu-cucunya itu.
.
Bekalan elektrik sudah terputus sejak matahari ditelan ufuk barat. Melihatkan bangkai-bangkai kera yang kesemuanya mati bagai dibaham dan mengeluarkan darah hitam daripada mata bergelimpangan di sekitar kawasan rumah sejak 3 hari lalu, Nek Som tahu yang dia sudah dekat.
.
"Nek... Kita takkan jadi apa-pa kan nek?" Merna tiba-tiba bersuara seraya memandang ke seluruh bilik itu yang gelap. Matanya berkaca, air mukanya mendung.
.
Nek Som hanya memandang dalam wajah Merna sebelum menggeleng lemah. Mulutnya bagai berikat. Sesungguhnya dia sendiri tidak tahu akan kesahihannya.
.
Segera Nek Som membawa Naim dan Merna yang kedua-duanya baru berusia dalam lingkungan 6 dan 8 tahun ke dalam dakapan. Ditepuk lembut peha mereka sambil mulutnya sayup menyanyikan lagu jawa lama sehinggalah mereka terlena.
.
Buat beberapa jam mereka kekal berpelukan di situ. Meskipun kedua cucunya sudah dibuai mimpi, namun matanya masih celik. Takkan dia biar apa pun yang menyentuh cucunya.
.
Setelah beberapa jam berlalu, debar hatinya semakin kencang. Gelora di dalam hatinya semakin kuat. Segera dia mencapai bantal yang berdekatan dan melapikkan kepala kedua-duanya. Perlahan-lahan lutut tuanya cuba untuk berdiri meskipun pandangannya masih terpasak pada tampang mereka.
.
Nek Som membuka pintu bilik perlahan sebelum menjengulkan kepala. Gelap. Seisi ruang tamu di hadapannya ditelan gelita.
.
Perlahan-lahan dia melangkah keluar. Langkah demi selangkah disusun tertib sehingga ke tengah ruang rumah.
.
Namun dia tahu dia tidak keseorangan di situ, setiap langkahnya bagai diikuti bunyi berkeriang-keriut apabila lantai kayu rumahnya dipijak.
.
Setibanya dia di tengah ruang rumah, dia berdiri kaku. Matanya dipejam erat. Mulutnya laju terkumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Sebelum dia membuka pejaman dan membuka kekuda.
.
"Selagi kaki aku terpasak kukuh, gemuruh tidak menjengah walaupun sedikit." Orang tua itu menjerkah. Semena-mena cermin-cermin tingkap di ruang tamu seakan bergoncang deras sebelum bunyi retakan mula menjengah dan akhirnya pecah menyerpih ke seluruh ruang tamu.
.
" Kalau kau berani kau munculkan diri kau!"
.
Tiba-tiba muncul bunyi petir berdentum-dentam kuat di langit sebelum menyambar ke salah sebuah pokok yang berdekatan.
.
Terkinjat Nek Som dengan mata yang terpejam. Apabila mata tuanya dibuka perlahan-lahan, muncul sesusuk makhluk hitam sekaki di hadapannya.
.
Makhluk itu tinggi mencecah siling rumah. Tubuhnya gelap. Matanya pula merah. Di atas kepalanya pula terdapat dua tanduk seperti tanduk seladang yang panjang . Tiba-tiba menyergap bau hamis darah ke saraf bau. Kembang tekak Nek Som menahan.
.
Namun Nek Som masih kukuh di posisinya. " Kau nak apa lagi daripada aku haa syaitan! Aku dah tak ganggu kau," tempik Nek Som. Tampang bengis pekat di wajahnya .
.
" Kau dah bunuh tuan aku! " Balas makhluk itu.
.
Kali ini Nek Som hanya berdiam.
.
"Ditinggalkan dan meninggalkan hanya membawa erti yang sama iaitu kehilangan. Sekarang kau akan hilang segalanya argh!"
.
Tiba- tiba ada satu deru angin kuat menerobos masuk melalui sila tingkap yang pecah tadi dan terus menghentam tubuh Nek Som. Tercampak Nek Som menghentam dinding di belakangnya sebelum jatuh ke lantai rumah.
.
Lemah sekujur tubuh tuanya. Dia tidak mampu untuk bangkit. Kini tubuhnya hanya terbaring mati seperti daun yang gugur di lantai sambil terketar-ketar kesakitan.
.
Tanpa berlengah terus makhluk itu merapati seraya mencekik Nek Som. Mata merah makhluk itu menenung tepat ke tampang Nek Som yang sedang tercekik-cekik.
.
Semakin lama semakin membiru wajah Nek Som.Dadanya berombak-ombak deras mencari nafas sebelum akhirnya, semakin lama semakin perlahan..
.
Pandangannya juga semakin lama semakin kabur sebelum segalanya bertukar balam.
.
Keesokan harinya, seluruh kampung digemparkan dengan kematian Nek Som yang merupakan seorang dukun yang handal di Kampung Serati. Mayatnya dijumpai dalam keadaan yang ngeri, gantung terbalik pada jejurai pokok rambung setinggi 2 tingkat rumah yang terletak tidak jauh daripada rumahnya dengan darah hitam yang mengalir keluar dari mata. Kematiannya yang ngeri, meninggalkan tanda tanya kepada seisi warga kampung sehingga kini.
Share this novel