Series
852
?Eh dik!? Bergema suara sorang perempuan 80-an itu melantun-lantun ke segenap perkarangan taman permainan Kampung Geliga Buyut yang sudah mulai gelap. Badannya bongkok ke hadapan. Tangannya pula bergerak-gerak, melambai ke arah seorang budak perempuan yang ralit bermain sendirian.
Budak perempuan itu mengangkat muka. Segala perbuatannya terhenti serta-merta. Dengan kening yang terjungkit tinggi, dia seakan membeku. Benaknya juga laju mencongak-congak siapakah gerangan wanita tua itu.
?Adik sini, dik," panggil wanita tua itu lagi.
Budak perempuan itu pun perlahan-lahan berdiri. Meskipun dia berasa penasaran namun langkahnya masih tertib merapati wanita tua itu.
?Adik ni nama siapa?? soal perempuan tua itu. Segenap raut wajah budak perempuan itu diperhatikan sebelum tertancap tepat ke dalam hitam matanya. Ada riak takut dan ada juga canggung.
?Da..Dania,? jawab budak perempuan itu. Takut-takut.
?Adik kenapa main sorang-sorang ni? Dah senja dah ni dik.?
Persoalan itu dibiarkan tergantung begitu sahaja. Dek dibelenggu perasaan bersalah atas kepetahannya, kini dia menekur tanah. Kakinya juga terkuis-kuis dengan mulut yang masih berat untuk memuntahkan sebarang jawapan.
Perempuan tua itu pun melutut lalu berkata; ?Nama nenek Ummu.?
Dania mengangkat muka. Dia membungkam memerhatikan Ummu yang setentang dengannya. Mata Ummu hitam namun kosong tanpa sebarang biasan cahaya. Rambutnya juga putih sepenuhnya dan diikat sanggul.
?Tak baik main senja-senja ni. Kamu tahu kan?? soal Ummu lagi. Suaranya agak serak kebasahan namun bersungguh.
Dania hanya mengangguk.
?Lain kali jangan main waktu senja lagi tau. Nanti kena sorok dengan hantu nanti baru tahu,? sakat Ummu. Puas hatinya pabila muka Dania mulai berubah pucat lesi dan gelisah.
?Da..Dania tak sengaja..? Akhirnya Dania membuka mulut. Matanya mulai berkaca. Entah kenapa baru ketika itu perasaan takutnya mulai menebal.
Ummu menggeleng perlahan. ?Tak apalah Dania.. mungkin kamu lalai. Tidak mengapa, lain kali Ummu akan pastikan perkara sebegini tidak akan berlaku lagi ya.? Kini wajah Ummu yang berkedut seribu dihiasi dengan segaris senyuman.
Melihatkan Dania yang kembali membisu, terus Ummu berdiri. ?Jom nenek hantar kamu pulang. Tidaklah nanti jadi apa-apa dekat kamu," ajak Ummu dalam nada yang memujuk.
Terus luntur riak mendung Dania mendengarkan pelawaan Ummu. Lega hatinya mendengar.
?Kejap ya nek, Dania nak amik mainan kejap.? Dia terus berlari dan mencapai anak patungnya yang terduduk kemas di atas sebuah batu tidak jauh daripada situ sebelum kembali ke sisi Ummu.
?Rumah kamu dekat mana ya?? soal Ummu sambil mereka sedang berjalan berpimpinan tangan.
.
Dania pun menunjukkan arah ke rumahnya tetapi apa yang pelik, semakin lama mereka berjalan, semakin mereka ke tengah hutan yang berhampiran. Namun perkara itu tidak disedari Dania.
.
Di matanya mereka semakin menghampiri ke perkarangan rumah tetapi jalannya seperti tidak berpenghujung.
.
Berjam-jam dia mencuba untuk tiba di perkarangan rumah yang berada di hujung jalan namun dia masih gagal. Semakin laju dia berlari, seakan-akan semakin rumahnya itu menjauhi. Akhirnya langkahnya mati. Bila ditoleh, Ummu pun telah lenyap. Kini tinggal dia terpunduk di situ, ditemani rembulan yang mengambang penuh di dada langit dan bunyi serunai daun kelapa yang saling bersahutan. Selajur tangisannya pun meledak.
Itulah hari terakhir mereka nampak kelibat Dania sebelum ghaib tanpa sebarang jejak. Sudah dikumpul semua laki-laki kampung itu dan beberapa anggota polis untuk pergi mencari sehingga ke kampung sebelah, namun apa yang ditemui hanyalah sebuah anak patung milik Dania yang tersekat di celahan dahan pokok hutan yang tinggi.
Share this novel