Lama dia merenung adiknya yang kini sah bergelar isteri orang. Kemeriahan di perkarangan masjid malam itu terasa menyentak tangkai jantungnya. Betapa beruntungnya Ameena kerana sudah bergelar isteri di awal usia ini. Sedangkan dia sebagai seorang kakak, masih begini. Sedaya upaya dia menahan rasa hati dari menerawang kepada ilusi dan imaginasi bersama lelaki yang tidak pernah jauh dari hatinya.
Setiap kali dia mengingati lelaki itu, setiap kali itulah dia terasa matanya berair. Betapa dia masih belum mampu menjadi hamba yang benar-benar meletakkan cinta kepada Allah itu sebagai cinta utama seperti mana yang pernah dia janjikan pada diri sendiri dulu setelah kejadian malam itu. Sudah hampir setahun peristiwa di restoran itu berlalu. Selama itu juga dia hilang hubungan dengan Hazimi. Dia tidak lagi kerap menghubungi dan mengacau Hazimi seperti dulu. Hazimi juga sudah tidak menghubunginya. Dia tahu, Hazimi menjauhkan diri darinya demi kebaikan dirinya juga. Demi kebaikan mereka. Kerana dia pernah melihat status fac Hazimi yang berbunyi,
‘kadang-kadang kita perlu menjadi sombong untuk memelihara hati kedua-dua pihak..’
Dia faham maksud itu. Dan dia faham kenapa Hazimi mendiamkan diri dan tidak lagi cuba mesra dengannya seperti dulu. Watak seorang abang yang mesra, baik serta penyayang dan suka mengusiknya sudah makin kabur. Dia faham, lelaki itu begitu kerana mahu menjaga hatinya. Dia tahu Hazimi tidak mahu dia berharap.
“Wieyda..? Kenapa termenung sorang-sorang dekat sini? Jomla bergambar..nanti nak balik pula.” Ibu saudaranya, yang dipanggil Che Su, menepuk bahunya. Dia cepat-cepat mengukir senyum lantas bangun menuju ke arah mereka yang sedia untuk bergambar barang sekeping dua. Nak banyak-banyak tak boleh, Tok Imam dah mula nak padam lampu masjid tu, cara halus nak menghalau. Hahah.
“Nanti teruslah ke rumah ye. Makan dulu sebelum balik ke hotel.” Wieyda terdengar ibunya berbual dengan besan baru. Wieyda mendekati apabila wanita yang baru saja menjadi besan keluarganya itu memandangnya dengan senyuman.
“Wieyda … Hmm..cantiknya anak kamu ni Mah..” tegur wanita itu. Wieyda senyum saja.
“Sejuk mata memandang. Sejuk perut kamu Mah, dapat anak semua baik-baik.” puji wanita itu lagi. Wieyda senyum saja. Nak kata apa.
“Alhamdulillah la kak. Pemberian Allah.” Puan Zaimah memandang anaknya, Wieyda. Dia sedar, dulu Wieyda biasa-biasa saja. Namun sejak habis semester yang lepas, Wieyda balik dengan imej yang sedikit berubah. Jika dulu tudungnya biasa-biasa, hari itu dan sekarang tudungnya bidang 60. Baju yang tersarung dulu, iaitu baju T lengan panjang sudah tidak tersarung di badan setiap kali dia keluar, kerana badannya pasti akan ditutup dengan baju yang lebih sopan dan labuh. Tingkahnya lebih sopan, dan lebih pendiam dari dulu. Sedikit berubah daripada biasa, dan dia hanya menerimanya dengan rasa syukur. Cuma kadang-kadang dia bimbang bila Wieyda lebih suka menyepi diri.
“Sudahla kak. Marilah ke rumah dulu. Makan dulu sebelum balik. Semua orang pun tentu dah lapar ni.” ajak Puan Zaimah. Mereka kemudian berlalu ke kereta masing-masing. Wieyda menuju ke kereta abahnya. Dicari-cari abahnya. Oh, itu, sedang berbual lagi dengan besan baru.
“Pergi panggil abah kak ngah, dah lewat, kesian mereka nak makan ni..”
“Abah.. jom.. ajak semua balik makan dulu.. ibu dah ada kat kereta.” Wieyda bersuara perlahan setelah mencuit lengah abahnya. Abahnya mengangguk. Wieyda mahu berlalu namun sebelum kakinya melangkah dia sempat terperasan, sepasang mata redup sedang memandangnya.
Share this novel