“Wieyda, tolong ambil kotak ni dik.” Ujar Hazimi lembut sambil menghulurkan kotak berisi makanan. Wieyda tanpa bicara menyambut kotak dan membawanya ke dewan yang dibina untuk kegunaan masyarakat Orang Asli di situ. Hujan yang turun renyai-renyai telah lama berhenti namun melihat rumput yang basah agak tidak menyenangkan hati Wieyda. Dia melihat-lihat keadaan kasutnya yang sedikit comot. Sebetulnya dia bimbang jika ada binatang-binatang kecil yang menjadi ‘musuhnya’ sejak kecil melekat di kasutnya atau mungkin di mana-mana bahagian badannya. Hazimi yang perasan tingkah Wieyda itu tersenyum. Lantas ‘adiknya’ itu didekati.
“Don’t worry dear. Kat sini mana ada pacat.” Bisik Hazimi ke telinga Wieyda. Perlahan dengan tujuan tidak mahu membiarkan orang lain mengetahui ‘kelemahan’ Wieyda yang satu itu. Bimbang juga dia kalau-kalau akan ada nanti antara mereka yang berniat nakal mahu mengusik gadis ini dengan binatang alahan itu. Wieyda membuntangkan mata kepada Hazimi. Tidak percaya. Masakan di kawasan seperti ini pacat tidak hidup. Bukankah pacat suka benar kalau rumput basah begini?
“Abang nak kelentong Wieyda ye?” Wieyda tidak percaya. Hazimi gelak kecil. Dia tahu Wieyda memang takut akan binatang-binatang kecil itu. Pacat, lintah, ulat. Semuanya ‘musuh’ gadis itu. Wieyda boleh pengsan jika terkejut dengan makhluk-makhluk itu. Dia masih ingat kejadian ketika perkhemahan semester lepas. Wieyda menangis sambil memeluk lengannya tanpa sedar ketika kakinya terkena pacat.
“Tak ada sayang. Kalau ada pun seekor dua, dia takkan sempat nak naik atas kaki Wieyda, orang lain dulu yang pijak. Wieyda ni, daki bukit, gunung tinggi, semua boleh kan? Tapi tiba bab yang ni, lemah ye?” usik Hazimi untuk menenangkan Wieyda. Wieyda senyum malu. Hatinya terkesan dengan panggilan ‘sayang’ namun dia tidak mahu mengambil kisah dengan hal itu kerana dia sudah berjanji tidak akan membiarkan hatinya melampau batas dalam hubungan mereka.
‘Ah, lelaki memang suka bermulut manis. Kadang-kadang panggilan sayang itu tidak membawa makna apa-apa yang istimewa pun, perempuan saja cepat berangan dan perasan!’ bisik hatinya memberi amaran.
Hazimi menuju ke hadapan sambil memberi sedikit maklumat tentang perjalanan program hari itu. Mereka akan berada di situ sehingga pagi esok dan bertolak pulang sekitar jam 9 pagi esok. Mereka kemudian memasuki dewan kecil itu dan bersedia memulakan aktiviti. Tanpa lelaki itu sedar, ada sepasang anak mata sedang ralit merenung setiap tingkahnya. Tanpa lelaki itu sedar, ada sekeping hati telah jatuh sayang sungguh-sungguh kepadanya!
Share this novel