Wieyda melangkah keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya yang basah. Sara mengerlingnya dengan ekor mata sambil tersenyum-senyum. Wieyda buat tidak tahu. Dia tahu Sara melihat dia ‘berpayung’ dengan Hazimi sebentar tadi. Kebetulan Sara sedang menutup pintu gelangsar dan melihat apa yang terjadi di bawah.
“Apa kau senyum-senyum ni mak cik? Ada sesuatu yang melucukan ke dalam buku tu?” Wieyda geram melihat mimik muka Sara yang masih mahu mengenakannya. Sara makin lebar senyumnya.
“Kalaulah aku ada kat tempat kau tadi kan Wieyda, tentu malam ni aku tak boleh tidur asyik terbayangkan dia. Aku tahulah, bukan main rapat lagi korang berjalan kan. Dia sengaja la tu ambil kesempatan tarik kau dekat dengan dia.” Sara mengenyit-ngenyitkan mata sambil berguling di atas katilnya. Saat ini mood untuk menyakat Wieyda lebih kuat daripada mood nak membaca buku. Wieyda menyikat rambut dengan muka selamba. Sara memang nak kena.
“Wieyda, tak kan kau tak rasa apa-apa bila dia ‘peluk’ kau? Aku taulah bos kita tu tak la handsome sangat, tapi dia tu ada aura, ada daya tarikan tau? Takkan kau tak rasa apa-apa?” Sara ketawa bahagia dapat menyakat Wieyda. Sengaja dia mahu melihat dan menduga reaksi Wieyda. Dia bukan apa, dia cuma kadang-kadang hairan juga bila sesekali melihat hubungan Wieyda dengan Hazimi agak mesra dan rapat. Bila dia menyuarakan hal itu kepada kekasihnya Zaiful, merangkap teman baik Hazimi, Zaiful tidak pula melayannya. Kata Zaiful, jangan fikir bukan-bukan. Hazimi sudah punya buah hati pengarang jantung di kampungnya.
“Malas aku nak layan kaula Sara. Aku tak rasa apa-apa, yang aku tahu sekarang ni aku mengantuk sangat-sangat dah.” Wieyda melompat naik ke katilnya dan mencapai bantal peluk kecil berwarna merahnya. Sebelum matanya dipejam sempat lagi dia melemparkan jelingan tajam kepada rakannya yang sedang memerhatikannya itu dengan senyuman mengusik.
“Tidurlah. Aku doakan kau dapat tidur lena malam ni ye.” Sara ketawa terkekeh-kekeh sebaik habis berkata-kata. Wieyda senyum disebalik bantal peluk yang digunakan untuk menutupi mukanya. Dia melepas keluhan kecil. Peristiwa tadi terbayang fikirannya. Wajah Hazimi menari-nari di ruang mata dan mindanya. Sungguh dia terkesan dengan kejadian tadi. Fikirannya menerawang kepada saat bermulanya perkenalannya dengan Hazimi.
Hazimi dikenali ketika dia berada di penghujung semester satu, setahun yang lepas ketika dia baru sahaja menyertai kelab RITMAS. Wieyda sedar perhubungan mereka agak rapat, kadangkala agak mesra. Hazimi lebih selesa membahasakan dirinya sebagai abang dan pada hakikatnya Wieyda juga selesa membahasakan diri lelaki itu sedemikian. Jika diikutkan Wieyda bukanlah seorang yang mudah memanggil seseorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan panggilan abang, tetapi dengan Hazimi, dia seakan tidak berkisah langsung.
Malah dia selesa dengan keadaan itu dan dia amat menghormati Hazimi seperti abang kandungnya sendiri. Dalam hatinya juga di menyayangi Hazimi sebagai abang. Walaupun kadang-kadang layanan Hazimi kepadanya membuatkan hatinya tidak keruan, tetapi dia tetap berusaha agar tidak menyayangi Hazimi lebih dari yang sepatutnya. Dia mungkin tidak layak untuk menyayangi lelaki itu lebih dari seorang abang. Dia tidak berani mengakui cinta terhadap lelaki itu biarpun kadang kala hatinya terkesan dengan layanan baik dan mesra Hazimi.
Wieyda mengeluh kecil buat kesekian kalinya. Mengingati kejadian sebentar tadi membuatkan nafasnya sesak. Terbayang betapa tadi adalah kali pertama dia sedekat itu dengan Hazimi. Dia resah sungguh bila menyedari hatinya tidak tenang sejak tadi. Mengapa harus hatinya begini sedangkan dia cuma menganggap Hazimi hanya sebagai abang? Tapi benarkah Hazimi menganggapnya cuma seperti seorang adik? Kenapa seringkali layanan lelaki itu terlalu mesra kepadanya? Alangkah indah jika…. Wieyda menepis perasaan yang datang menyerang hatinya. Tidak! Dia tidak boleh membiarkan dirinya melampau batas. Dia tidak mahu hatinya terluka nanti.
‘Memang seorang abang sepatutnya melindungi adiknya bukan?’ Wieyda terkenang kata-kata Hazimi. Dia senyum tawar. Sudah nyata Hazimi hanya menganggapnya sebagai adik dan mungkin menyayanginya pun hanya sebagai adik. Tidak lebih dari itu.
‘Wieyda, jangan melebihi batasmu sayang. Nanti hatimu akan terluka.’ Wieyda membisikkan kata-kata itu kepada dirinya sendiri. Dia bimbang hatinya akan mula berani menyayangi Hazimi lebih dari yang sepatutnya. Dengan kata-kata itu dia melelapkan matanya, mengusir bayangan Hazimi dari minda.
‘Ya Tuhanku..pemilik hati dan jiwa setiap hamba…Lindungi hatiku dari rasa cinta terhadap orang yang bukan untukku..’
Share this novel