‘Allah..’
Wieyda meraup wajahnya dengan tangan. Tersedar dia telah lama terleka dengan lamunan yang menyakitkan. Berkali-kali dia beristighfar, berasa berdosa kerana hatinya masih rapuh dek cinta pada manusia. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik air. Berwudhuk untuk bersolat Isyak, dan kalau diizinkan, mengerjakan sekali solat sunat yang sudah menjadi kelazimannya sejak setahun yang lalu. Sejak kejadian malam itu. Hatinya yang terluka membawanya lebih dekat dengan Allah. Hanya Allah yang mengerti apa yang dia sedang rasakan saat ini. Sakit, pedih, kecewa..dan dalam masa yang sama, mengharap.
Hampir setahun kini Hazimi tidak dia temui, tapi dalam hatinya lelaki itu masih kukuh bertapak. Walaupun dia boleh saja berhubung di fac, tapi jarang sekali lelaki itu mahu menegurnya. Sesekali, itu biasa. Namun kadang-kadang yang sesekali itu tetap membuatkan dia mahu mengharap terus!
Air matanya berjuraian. Dia berteleku lama di sejadah pada dinihari itu. Sejak tadi, dia begitu. Telekungnya dibahagian depan sudah lama basah lencun dek air mata. Dia memandang ke langit melalui tingkap cermin di biliknya. Bulan sabit cerah memancar, cantik sekali. Hatinya tiba-tiba menangis lagi. Melihat bulan itu, mengingatkan dia pada DIA yang menciptakan bulan itu.
‘Mencintai manusia, atau apa saja makhluk bernyawa di bumi semuanya tidak akan ke mana. kerana mereka semua pasti akan mati, akan pergi meninggalkan kita. Cintailah DIA, Allah yang Esa. Hanya DIA yang kekal, yang akan selalu ada bersama-sama.’ satu suara berbisik padanya. Suara hatinya sendiri. Wieyda mengesat air mata. Betapa payah dia mahu menerima.
‘Lupakan dia.. Kehadirannya hanya sekadar satu cara Allah menguji hatimu. Setiap ujian itu andai dihadapi dengan sabar, pasti akan ada balasan bahagia di penghujungnya.’ Suara hatinya berbisik lagi. Wieyda memejam mata. Mengakui kata hatinya. Namun serta merta itu juga dia menangis. Kenapalah sukar sangat mahu melupakan padahal sudah jelas, dia sudah tiada harapan untuk mengharapkan semua angan-angannya menjadi nyata. Sudah beribu kali dia meminta agar Allah menarik kembali perasaannya itu, namun sampai kini rasa itu masih utuh di jiwa. Apakah yang sebenarnya? Kenapa dia masih berani mengharap?
Serta merta dia beristighfar. Betapa hatinya masih terlalu lemah biarpun berkali-kali mengakui cintanya hanya untuk Pencipta. Hatinya masih menangis hanya kerana manusia.
Allah.. Ampuni aku.’ Sejak mengetahui adiknya akan berkahwin, hatinya seringkali terganggu. Yang peliknya, wajah lelaki yang telah cuba dia lupakan itulah yang hadir menemaninya. Angan-angannya masih ada, untuk bergelar kekasih hati yang halal buat seorang lelaki bernama Ahmad Hazimi. Puas dipujuk agar pergi. Saat itu dia sedar, dia masih mengharapkan kehadiran lelaki itu sebenarnya. Dia masih mengharapkan Allah menumbuhkan rasa cinta di hati Hazimi untuknya. Oh Tuhan. Berikan aku kekuatan.
“Tuhan.. aku tak berdaya sedikit pun jua untuk melupakan semua ini. Bantulah aku memadamkan rasa ini andai benar dia sememangnya bukan untukku. Jangan pernah membiarkan aku mengharapkan apa-apa lagi wahai Tuhan Yang Maha Esa.”
Share this novel