Wieyda melangkah laju ke bilik mesyuarat. Dia sudah terlambat lebih kurang 10 minit. Sara yang berjalan agak terkebelakang menjerit-jerit memanggil namanya. Wieyda berpaling lantas menghentikan langkahnya yang baru sahaja mahu mendaki anak tangga ke bilik mesyuarat di tingkat satu.
“Tingkatkan engkau punya speed boleh tak Cik Sara Adilla binti Sulaiman? Kita dah lewat sangat ni..” ujar Wieyda sambil membulatkan matanya. Sara tersengih. Wieyda memang suka memanggil nama penuhnya jika gadis itu tengah tidak senang hati dengannya. Sara bukan tidak mahu cepat namun kasut tibut tingginya itu yang menghalang. Dia perasan Wieyda sering mengerling pada kasut tumit tingginya itu. Dalam keadaan terkocoh-kocoh pun mereka akhirnya tiba di depan pintu bilik mesyuarat. Wieyda membuka pintu dengan hormat sambil anak matanya memandang kepada insan-insan yang sudah memenuhi ruang bilik itu.
Lima belas pasang mata memandang ke arahnya dan Sara tapi dia buat tidak tahu lantas mengambil tempat duduknya yang telah bertanda Penolong S/U Kelab Rakan Integriti Mahasiswa (RITMAS) dan Sara sebagai salah seorang AJK Biro Perpaduan dan Integriti. Kak Nissa yang bertindak sebagai S/U melempar senyum kepadanya sekilas. Wieyda bukanlah seorang yang selalu lewat. Ini kali pertama, dia tahu tentu ada masalah yang membuatkan gadis cekap ini kelewatan hari ini.
“Sorry bos. Ada problem sikit tadi.” Wieyda dengan wajah selambanya bersuara kepada Hazimi yang setia dari tadi memerhatinya dengan wajah yang tenang namun pandangan yang dilemparkan cukup tajam. Hazimi mengangguk lantas dia memulakan mesyuarat. Sebagai seorang presiden kelab yang baru dua tahun ditubuhkan ini, dia amat mementingkan disiplin ahlinya namun untuk memarahi Wieyda, rasanya tidak wajar memandangkan gadis ini tidak pernah kelewatan sebelum ini.
Keputusan telah dicapai dan perkampungan Orang Asli di Gombak, Selangor menjadi pilihan. Semua ahli kelab bersetuju untuk menjayakan program ‘Sehari Bertaut Kasih’ di perkampungan Orang Asli itu. Setelah hampir 1 jam 30 minit mesyuarat berakhir. Setiap jawatankuasa diminta menjalankan tugas dan peranan masing-masing bermula dari sekarang memandangkan program ini akan diadakan dalam masa sebulan dari sekarang, iaitu selepas peperiksaan akhir semester nanti.
“Wieyda, malam lusa tolong turun ke kafe pukul 9 malam, boleh? Akak ada hal, tak boleh turun, so, Wieyda gantikan akak jumpa bos ye?” Kak Nissa berkata sambil tersenyum. Hazimi sering diirujuk sebagai ‘bos’ bila dia mahu bergurau. Wieyda mengangguk. Memang dia biasa menggantikan Kak Nissa bila gadis itu mempunyai tugas lain.
“Baik kak. ‘Bos’ dah tau Wieyda yang akan gantikan?” soal Wieyda dan dia lega melihat Kak Nissa mengangguk. Setelah berbual-bual seketika, mereka berlalu meninggalkan bilik mesyuarat Kelab RITMAS dengan hati yang penuh keterujaan. Tidak sabar menanti tibanya hari mengunjungi perkampungan Orang Asli itu.
Share this novel