*Manis...*
Telefon yang berdering kuat itu dipandang lama. Nama mama
yang tertera di skrin telefon itu benar-benar meragut ketenangannya.
Esok dah start puasa. Dia sudah pasti agenda yang mama rancang untuk
dirinya esok. Agaknya sebab itu mama telefon. Dengan berat hati, telefon
Samsung SII itu mula dicapai.
“Assalamualaikum sayang...” Ceria sahaja suara mama.
“Waalaikumusalam..” Hambar. Langsung tidak menunjukkan
kemesraan.
“Esok dah nak start puasa... Mari balik berbuka sama-sama
dengan mama ya.” Ajak Puan Laila semangat.
“Tengoklah dulu macam mana... Manis tak dapat nak janji.
Kerja banyak sekarang!”
“Manis... Esok kan sabtu... Kerja jugak ke?” Suara Puan
Laila mula kendur. Tidak bersemangat seperti tadi lagi. Mungkin kecewa
dengan kelakuan anaknya yang seorang ini.
“Kerja bank mama... kerja tak pernah habis!”
“Ke nak mama pergi sana?” Tiba-tiba Puan Laila mencelah
dengan idea baru.
“Eh tak payahlah.... Okaylah mama... Manis ada kerja. Bye,
assalamualaikum!” Terus dia memutuskan talian. Bimbang nanti terpujuk
dengan kata-kata mama. Beginilah hubungannya dengan mama setelah mama
dan papa bercerai tujuh tahun yang lalu. Rasa marahnya masih belum suruh
apabila mengenangkan sikap mementingkan diri milik mama dan papanya. Dan
sekarang, dia cuba untuk membalas dendam pada mama dan papanya dengan
sikap keras kepalanya.
Sekali lagi, telefonnya berdering lagi. Kali ini nama papa
pula yang naik! Kebiasaanya selalu begini. Mereka pasti akan menelefon
dalam waktu yang terdekat! Firasat mereka selalu sama.. tapi sayang,
jodoh mereka tak panjang.
“Helo anak papa yang manis...” Riang ria raya sahaja suara
papa.
“Helo papa....”
“Esok teman papa buka puasa ya!” Sudah Manis duga akan semua
ini.
“Sorry.. Manis ada kerja. Tak dapat nak teman papa..” Tolak
Manis sekali lagi. Cuba yang bezanya, penolakan dari dua orang yang berbeza.
“Hmm... Manis nak berbuka dengan mama ke?” Duga Encik Murad.
“Tak..”
“Tahun lepas kan dah berbuka dengan mama.. Tahun ni dengan
papalah pulak!” Protes Encik Murad sedikit keras. Mungkin papanya
meragui jawapannya tadi. Jadi Encik Murad mula melahirkan rasa tidak
puas hatinya.
“Manis tak berbuka dengan mama pun! Manis pun tak mahu
berbuka dengan papa! Biar Manis berbuka sendiri sorang-sorang. Lagipun
Manis dah biasa sendiri-sendiri. Mama dan papa tak perlu nak sibuk-sibuk
hal Manis. Susah senang Manis, Manis dah biasa hadap sorang-sorang...”
Suara Manis sudah mula bergetar. Menahan rasa marah yang
mula mengamuk dalam jiwa. Terlupa yang dia sedang berhadapan dengan
papanya sendiri. Langsung tidak dipedulikan dengan suaranya yang agak
meninggi. Akhirnya terus diputuskan perbualan. Sudah penat berbalah
begini. Tak cukup-cukup gaduh dengan isteri, nak cari gaduh dengan anak
pulak ke?
Manis mula duduk di birai katil. Lafasnya dihela perlahan.
Menghalau pergi segala rasa amarah yang menyesakkan jiwanya. Entah
sampai bila semua ini akan berlarutan?
“Manis....” Panggil satu suara dari muka pintu.
Sedikit pun dia tidak menyahut. Hanya wajahnya yang
dipalingkan. Memandang Syikin yang sudah siap bertelekung. Mungkin ingin
menyambut malam ramadhan pertama ini di masjid yang berdekatan.
“Jom tarawih...” Ajak Syikin semangat. Masih belum mengesan
air muka rakannya yang keruh itu.
“Kenapa ni?” Kakinya mula merapat. Menghampiri susuk tubuh
Manis yang kaku itu. Perlahan-lahan dia memaut bahu Manis. Cuba
meredakan perasaan milik Manis. Apabila dia terpandangkan samsung SII
yang terdampar di atas katil, dia sudah mula dapat mengesan puncanya.
“Gaduh dengan papa mama kau lagi?” Tanya Syikin prihatin.
Sampai bilalah hubungan Manis dan kedua ibu bapanya perlu retak begini.
Kadang-kadang harus diakui yang semua ini berpunca dari sikap keras
kepala milik Manis. Dia seolah-olah cuba menghukum kedua ibu bapanya
sendiri.
“Kekosongan ni aku sorang je yang rasa Syikin... Jadi
adilkan kalau aku berkongsi kepedihan ni dengan dia orang?” Manis mula
menanyakan akan kewajaran sikapnya.
“Lari dari masalah, bukan penyelesaian yang baik Manis...
Mama dan papa kau cuba nak pulihkan hubungan korang, kenapa kau perlu
menidakkan?” Setiap kali awal ramadhan, pasti mereka akan bergaduh atas
punca yang sama. Manis terlalu bersikap keras kepala terhadap mama dan
papanya.
Lagipun, Syikin kenal benar dengan Encik Murad dan Puan Laila.
Kedua-duanya baik. Cuba berlembut apabila menghadapi kedegilan Manis.
Tapi seperti biasa, tak akan sesiapa pun yang mampu membidas kata-kata
Manis. Kalau Manis kata A, jangan harap keputusannya itu akan berubah.
Syikin tahu Manis kecewa. Dia sudah terlalu mengenal Manis. Di awal
perhubungan mereka dahulu, dia juga sukar menebak pemikiran Manis yang
lebih bersikap pendendam. Tapi apabila kebenaran terbongkar, dia sedar
yang Manis cuma terlalu pinginkan perhatian dari mama dan papanya yang
sudah berpisah. Dia sakit hati dengan penceraian mama dan papanya. Jadi
untuk berlaku adil, dia sengaja bersikap keras kepala dengan ibu bapanya
sendiri. Motifnya adalah kerana dendam!
“Kenapa aku tak boleh ada family macam orang lain?” Tanya Manis lirih.
“Manis.. jangan macam nih.. Tak baik persoalkan takdir.. Dan apa yang
kau lakukan sekarang seolah-olah kau nak menghukum takdir. Apalah yang
kita dapat bila berkeras dengan ibu bapa sendiri Manis? Kau rasa kau
menang ke? Tak kan... Sebab tak akan beroleh kemenangan kalau bertekak
dengan ibu bapa sendiri. Kita sebagai anak kena beralah.” Nasihat Syikin
lagi.
“Kalau dia orang boleh pentingkan diri sendiri? Kenapa aku tak boleh?”
Bentak Manis. Syikin mula mengeluh perlahan. Sudah ketandusan idea untuk
menasihatkan Manis. Ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Buat bazir
air liur sahaja...
“Dah lah Manis.. Sekarang kau tengah marah.. Pergi ambil air sembahyang.
Kita pergi tarawih dulu...” Ajak Syikin sambil menolak tubuh badan
sahabatnya itu.
“Sekalipun kau tak suka nak raya, tapi itu tak bermakna kau bencikan
ramadhan kan... Tak baik benci bulan mulia nih! Bulan ni lah kita kena
berebut meningkatkan amalan kita... Mengharapkan keampunan dan rahmat
daripada Allah...” Syikin rasa, dia sudah menggunakan clorox untuk
membasuh otak Manis. Kalau tak bersih-bersih jugak, mungkin terpaksa
guna berus besi pulak!
Bibirnya mula menguntumkan senyum apabila melihat Manis menapak ke bilik
air. Harapanya agar Allah menjadikan ramadhan dan aidilfitri kali ni
lebih bermakna dari yang lepas-lepas. Biar Manis sedar bahawa,
Aidilfitri itu bukan membawa kesedihan dan kecelaruan. Moga ramadhan
kali ni dapat membuka ruang pemikiran Manis yang sempit itu.
***
*Amirul...*
Hari ini hari pertama puasa! Ya, terasa begitu semangat sekali. Apatah
lagi sekarang dia sedang dalam perjalanan menuju ke bank! Untuk apa?
Motifnya adalah untuk menukar duit raya. Memang awal lagi.. Bukan apa,
dia malas hendak bersesak-sesak di hujung ramadhan nanti. Biarlah dia
selesaikan apa yang boleh selesai di awal waktu. Tetapi itu hanya alasan
sokongan sahaja, tujuan yang sebenar pastilah hendak bertemu dengan Manis.
Apabila sampai ke perkarangan Bank, kawasan sudah bertukar sesak. Mujur
sahaja ada parking yang sudah tersedia. Cepat-cepat dia memarkingkan
kereta Honda Civic miliknya. Dikerling jam yang berada di tangan. Sudah
masuk waktu zohor. Jadi lebih baik dia singgah di masjid dahulu sebelum
bergelumang di dalam bank yang dah berubah seperti pasar! Dari tingkap
cermin ini, keadaan bank tidak ubah seperti tin sardin! Padat gila!
Sesudah menunaikan solat, dia mula menyarungkan kasut di muka pintu
masjid. Namun matanya mula terpandangkan seorang gadis yang memakai baju
kurung merah jambu itu. Seolah-olah gadis itu sedang menekan perutnya
sediri. Mungkin diserang gastrik barangkali!
Tanpa berlengah, cepat sahaja Amirul mendapatkan gadis tersebut. “Dik,
awak tak apa-apa?” Bukanlah niat hendak menggatal di bulan puasa ini,
tapi hanya sekadar ingin membantu memandangkan tidak ada sesiapa pun
yang lalu lalang ketika ini.
“Saya okay...”
Mendengarkan suara tersebut, terus Amirul mencuri pandang. Macam
familiar je suara nih! Padanlah... Manis rupanya.
“Awak rupanya?” Amirul tersenyum sedikit. Haih... memang ada jodoh gamaknya.
“Kau lagi? Kenapa kat mana-mana pun ada kau?” Amirul menggeleng perlahan
menyambut respon dari Manis. Sakit-sakit begini, masih lagi sempat
menyakitkan hati orang. Manis...Manis.. Allah bayar kat dunia teruslah.
Baik awak berhenti dari menyakitkan hati saya.
“Awak kenapa nih? Senggugut ke?” Tebak Amirul. Biasalah kalau perempuan
sakit perut. Datang bulanlah tuh...
“Kalau saya senggugut, tak kan lah saya terpacak kat depan pintu masjid!
Agak-agaklah sikit. Cuba teka macam orang pandai sikit. Bodoh!” Itu
dia... Tak pasal-pasal dapat pangkat bodoh secara percuma!
Amirul mula menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Habis tu kenapa nih?” Tanya Amirul prihatin. Masih belum berputus asa.
“Sibuklah!”
‘Aik, kena marah lagi?’
“Awak ni kan, sakit-sakit pun nak sombong lagi kan? Jom pergi klinik.
Kat belakang TM tu je...” Kebetulan, memang terdapat sebuah klinik
berhampiran dengan masjid ini.
“Kalau aku nak pergi, pandai-pandailah aku pergi sendiri! Tak payah
sibuk-sibuk!” Marah Manis sambil mengerutkan dahinya. Mungkin sedang
menampung rasa sakit yang makin menggila.
‘Tak boleh jadi nih, aku kena buat sesuatu!’
“Jom pergi klinik! Sekarang awak pilih, nak jalan sendiri ke atau nak
saya dukung awak!” Kali ini, Amirul mula berkeras. Tak boleh nak layan
sangat keras kepala milik Manis ini.
“Kau jangan nak buat kerja gilalah Mirul!” Muka Manis sudah diserang
kemerahan. Mungkin menahan rasa marah yang sudah membentak di jiwa.
“Ya.. Aku memang tengah gila sekarang! Jadi, baik kau jangan duk duga
lagi kesabaran orang gila nih. Cepat jalan!”
Mata Manis mula merenung matanya. Mungkin ingin mengenal pasti tahap
keseriushan dirinya.
“Sekarang Manis...!” Tak pasal-pasal keluar terus suara jantannya! Kalau
tadi, dia mampu lagi untuk berlembut, tapi tidak untuk waktu sekarang.
Akhirnya bibirnya mula menguntumkan senyuman apabila melihat Manis sudah
mula menapak perlahan. ‘Berjaya jugak buat watak sengal ala-ala tentera!’
Kawasan di klinik tidak berapa ramai waktu ini. Jadi mudah sahaja tiba
giliran untuk Manis. Tanpa diajak, Amirul masuk untuk menemani gadis itu
walaupun dihalang keras oleh Manis.
“Kenapa dengan isteri saya doktor?” Tanya Amirul usai doktor lelaki itu
melakukan pemeriksaan. Sengaja ditekankan perkataan isteri itu. Tidak
suka dengan renungan doktor lelaki yang agak berlebihan itu.
Agak-agaklah sikit bro... Bulan puasa pun sempat lagi main mata!
“Oh... isteri encik tak apa-apa. Cuma hanya mengalami gastrik sahaja.”
Riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin tidak menyangka yang Manis sudah
berkahwin.
“Oh.. Alhamdulilah... nasib baik sayang tak apa-apa.” Dapat Amirul kesan
betapa tegangnya wajah Manis dikala ini. Kalau kena marah pun, Amirul
sudah tidak kisah. Yang penting, dia mahu melarikan anak mata doktor
yang bernama Zafril ini.
“Lepas ni, suruh isteri Encik jaga makan ya. Pastikan dia bersahur
setiap pagi. Kalau tidak, takut perut dia pedih dan tak mampu untuk
berpuasa.” Nasihat Dr Zafril lagi. Tangannya laju menulis di atas report
kad berwarna kuning itu.
Manis kelihatan seperti hendak bersuara tetapi cepat-cepat dipintas oleh
Amirul.
“Itulah sayang... Abang dah suruh sayang bangun. Nanti kena sahur tau!
Jangan degil-degil.” Amirul mula memalingkan badan. Lagak seperti
mengambil berat pada seorang isteri. Tapi, dia memang ambil berat pun
soal Manis.
“Okay.. Encik boleh ambil ubat dekat kaunter depan.”
Mendengarkan arahan doktor itu, cepat sahaja Amirul bangun. Dia cuba
membantu Manis, tapi dia sedar yang dia masih perlu menjaga batasnya
sebagai seorang lelaki yang bukan muhrim.
“Terima kasih doktor.” Ucap Manis sambil tersenyum.
Senyuman Manis itu mula membuatkan hati Amirul berdentum! ‘Hai, dengan
aku tak ada pulak nak senyum segala! Pilih kasih betullah Manis nih..’
“Amboihhh... kemain lagi senyum dengan doktor tu tadi kan?” Tegur
Amirul. Belum apa-apa, angin cemburu dan mula menjentik rasa.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba nak cemburu. Lepas tu pandai-pandai mengaku
jadi suami aku! Otak kau ni mereng gamaknya.”
“Otak aku memang dah sah mereng bila aku sukakan kau! Memang kena
mengaku jadi suami. Aku tengok doktor tu bukan main lagi menggatal!”
“Suka hati dialah kalau nak menggatal pun...”
“Memang.. tapi bukan dengan kau. Kau aku punya!” Ini betul-betul
statement berani mati. Tercengang Manis dibuatnya.
“Dah.. Tunggu sini kejap! Aku pergi ambil ubat!” Cepat-cepat Amirul
pergi ke kaunter apabila nama Manis dipanggil. Dalam pada masa yang
sama, dia ingin menyembunyikan rasa malunya kerana terlepas kata
sebentar tadi. ‘Apasallah mulut ni tak ada lampu merah!’
Share this novel