*Manis*
Mereka sempat singgah di masjid berdekatan untuk menunaikan
solat maghrib selepas berbuka puasa di restoren Amirah Thai. Makin lama,
dia makin menyenangi perangai Amirul yang sememangnya sangat menyakitkan
hati dengan sikap lepas lakunya itu tapi dalam masa yang sama, sangat
menghormati pendiriannya.
“Nak singgah mana-mana lagi?”
“Tak nak...”
“Thanks Manis.. Sudi teman saya berbuka puasa.” Ucap Amirul
sambil tersenyum. Mungkin senang hati kerana dirinya menamani lelaki itu
berbuka puasa.
“Terima kasih jugak sebab sudi tolong aku tadi..”
“Wahhh...” Tiba-tiba Amirul menjerit kecil.
“Kau ni dah kenapa?” Hampir sahaja tergolek jantung Manis
mendengar jeritan Amirul itu.
“Macam bulan jatuh ke riba bila dengar kau ucap terima
kasih.” Manis mula mengigit bibir. Sempat lagi lelaki ini hendak memerli
dirinya.
“Tak payah nak perli-perli aku!” Marah Manis.
“Ini bukan perli... Ini puji! Sila pandang dari posisi yang
berasingan ya.” Ada sahaja ayat balas Amirul. Akhirnya Manis senyap.
Sudah penat untuk berbalas kata.
“Perut kau meragam lagi?” Tanya Amirul. Mungkin tidak senang
apabila kesunyian menemani perjalanan balik mereka.
“Dah okay...” Jawab Manis pendek.
“Lepas ni jaga diri...” Pesan Amirul.
“Memanglah... tak kan nak jual diri pulak!”
“Amboih jawapan... Kemain lagi.. Tapi kalau betul nak jual,
aku sudi je nak membeli...”
“Jangan mimpi!”
“Sombong....” Akhirnya Amirul memberhentikan pemanduan di
hadapan rumahnya. Manis melebarkan pandangan, bimbang jika ternampak
kelibat mamanya. Tapi nampaknya, mamanya memang tak ada dirumah sewanya
ini.
Fuh,.. selamat!
Amirul ikut sama keluar dari kereta apabila Manis mula
membukakan pintu kereta. Namun baru sahaja kaki Manis mencecah ke
tanah, matanya mula menangkap kelibat sahabat baiknya yang baru keluar
dari pintu rumah. Yang anehnya, wajah Syikin merah menahan marah.
“Kau pergi mana?” Tanya Syikin kasar. Rasanya selama mereka
bersahabat, inilah kali pertama Manis melihat Syikin sekasar ini.
Manis diam! Masih belum dapat mengenal pasti punca Syikin
jadi begini.
“Kau tahu tak mama kau datang tadi?” Tanya Syikin lagi.
Mungkin bengang dengan respon Manis yang sepi.
“Mak cik tadi mama awak ke Manis?” Tiba-tiba Amirul mencelah
perbualan antara Manis dan Syikin. Wajahnya juga ikut turut berubah.
“Jadi kau tahu yang mama kau datang? Jadi sebab tu kau
sanggup keluar dengan Mirul? Hei, apa nak jadi dengan kau nih... Kau
tahu tak mama kau tunggu kau berapa lama? Telefon langsung kau tutup.
Jadi memang menjadilah taktik kau untuk mengelak dari mama kau?” Syikin
terus melepaskan rasa marahnya.
Manis terus diam. Langsung tidak membalas kata.
“Betul ke mak cik tadi mama awak Manis?” Tanya Amirul untuk
kesekian kalinya.
“Penting ke untuk kau tahu?”
“Pentinglah... Kalau aku tahu mak cik tadi mak kau, tak ada
makna aku nak tolong kau. Mesti dia datang ke sini nak berbuka sama-sama
dengan kau. Tak baik kau buat dia macam tuh!” Kali ini giliran Amirul
pula yang melepaskan kemarahan.
“Dia mama aku, bukan mama kau pun!” Manis dan Amirul sudah
mula hendak bertikam lidah.
“Kau tahu pun yang dia mama kau... Tapi kau sanggup pulak
buat dia macam tuh?” Bidas Syikin geram.
“Habis tuh, dia boleh pulak buat hidup aku macam ni?” Mereka
berdua sudah mula beradu pandangan. Manis tahu yang Syikin hendak
menyalahkan dirinya. Tapi dia pun punya perasaan! Dia tak suka
dipermainkan seperti bola. Sekejap ke kiri, kejap ke kanan! Salah satu
pemain itu akan menang bila bola berjaya dijaringkan ke gawang gol. Tapi
apa yang ada pada dia? Dia akan kekal dipermainkan sampai bila-bila!
Bukankah itu kekejaman!
Syikin mula melepaskan keluhan. “Kau kena belajar terima
hakikat Manis.... Semua ni takdir yang berada di luar batas keupayaan
mama dan papa kau sendiri! Kau bukan budak kecik! Kenapa susah sangat
kau nak fikir?” Tangannya menggoncang kuat bahu Manis. Mungkin cuba
untuk mengejutkan Manis dari terus menyalahkan takdir.
“Apa yang sebenarnya dah belaku?” Sampuk Amirul lantas
menghangatkan lagi keadaan.
“Kau senyap! Kau tu orang luar. Pergi berambus sekarang!”
Tengking Manis kuat! Tercengang Amirul dibuatnya.
“Manis...” Syikin sudah mula menarik lengan Manis yang
seperti singa kelaparan itu. Berulang kali dia menolak kuat tubuh Amirul.
“Cuba bawa mengucap!”
“Aku dah bosan dengan semua ni Syikin... Aku betul-betul dah
bosan!” Hambur Manis lantas berlalu masuk ke dalam rumah. Air mata
berjuraian di birai pipi. Manis tahu, mungkin satu dunia hendak
menyalahkan dirinya tika ini. Biarlah... Dia langsung tidak peduli!
Masuk sahaja bilik, Manis terus mencari telefon bimbitnya.
Dibuka telefon bimbit yang sedari tadi ditutup. Berpuluh-puluh miscall
daripada nombor mama dan Syikin. Mungkin mereka kalut mencari dirinya tadi.
‘Mama... Apa perasaan mama sekarang? Sakit tak? Macam tulah
perasaan Manis dulu..’ Sangat menyakitkan bila diperlakukan seperti
watak yang tidak penting oleh orang yang kita sayang.
*Amirul*
Kepala yang berdenyut itu Amirul picit perlahan. Bingung
memikirkan perkara yang telah terjadi di depan matanya tadi. Kenapa hati
Manis sekeras itu. “Kenapa Manis jadi macam tu Syikin?” Amirul tahu,
hanya Syikin yang mampu memberikannya jawapan.
“Manis... Dia terlalu berdendam... Sampai dendam tu makan
diri dia sendiri!” Luah Syikin sambil mengeluh. Mungkin sudah penat
melayan karenah sahabatnya itu.
“Dendam? Dendam pada mama dan papa dia sendiri?” Duga Amirul.
Syikin hanya mengangguk. Membenarkan tekaan Amirul.
“Sebab?”
“Sebab mama dan papa dia dah bercerai... Sejak dari tu, dia
jadi macam ni. Macam nak salahkan mama dan papa dia...”
“Oh.. macam tu ke?” Terbit rasa simpati dalam diri untuk
Manis. Tapi Manis seharusnya berhadapan dengan semua ini. Bukan
bertindak seperti orang tak siuman yang terus menerus menyalahkan takdir.
“Maaf sebab Manis berkasar dengan kau tadi.” Pohon Syikin
mewakili temannya itu. Dia tahu yang Manis memang suka buat sesuatu ikut
kepala dia. Betul atau salah, dia memang kurang peka.
“Aku dah memang tahu yang Manis tu tak boleh dijangka. Kejap
macam okay.. kejap puting beliung.” Amirul angkat bahu. Dia sudah faham
sangat.
“Tapi apa sebab mak dengan ayah dia bercerai? Kau tahu?”
Amirul mula ambil sikap busy body. Bukan apa, senang sikit kalau dia
tanya dari Syikin. Kalau tanya dengan Manis, tahun depan pun belum tentu
lagi akan beroleh jawapannya.
Syikin senyap. Mungkin sedang berfikir sama ada hendak
membocorkan rahsia Manis itu ataupun hendak menceritakan segalanya
kepada Amirul.
“Dengan aku pun nak berahsia ke Syikin...” Pujuk Amirul halus.
“Tak ada orang tahu pasal hal ni Mirul...”
“Ya... sebab tu aku nak tahu sangat.”
Syikin memandang ke bahagian tingkap bilik Manis. Bibirnya
diketap perlahan. Akhirnya Syikin melepaskan nafas perlahan. Mungkin ada
baiknya jika perkara ini dikongsi dengan Amirul. Siapa tahu yang Amirul
punya cara untuk menghentikan kedegilan Manis.
“Mama dengan papa Manis bercerai sebab......” Syikin mula
berjeda.
“Ish... tak payahlah buat saspen-saspen... Sebab apa?” Gesa
Amirul tidak sabar.
“Sebab... berebut nak balik raya!”
“Hah!”
Amirul melopong. Kalau dia tengah makan sekarang, mahu boleh
mati tercekik. Jadi sebab berebut nak balik raya? Hanya sebab itu mereka
bercerai?
Share this novel