BAB 6

Family Completed 233

*Manis*

Kalendar yang berada di hujung meja mula dicapai. Setelah
ditilik dan dibelek, raya hanya tinggal lima hari sahaja lagi. Terasa
cepat benar Ramadhan hendak beransur pergi. Rasa sedih mula bersarang
dalam hati. Raya dah nak dekat...

“Oit... form cuti dah apply belum? Berapa hari kau mintak?”
Tanya Syaima. Rakan sekerja Manis.

“Aku tak apply.. Aku bercuti dengan cuti yang disediakan
kerajaan je..” Jawab Manis acuh tak acuh. Beberapa dokumen mula dicapai.
Malas hendak melayan karenah rakan sejawatnya ini. Bila masuk topik
raya, memang Manis tak berkenan sangat.

“Ish.. kau ni kan, setiap tahun mesti macam ni.. Kau tak
teringin ke nak balik kampung, beraya jumpa dengan sedara mara...”
Protes Syaima hendak tahu.

“Bagi aku raya tu tak perlu nak meriah sangat... Setakat
pergi sembahyang raya.. lepas tu bermaafan sesama keluarga. Sudahlah...
nak beraya sakan pun buat apa? Bukan dapat duit raya...”Bidas Manis
sedikit tak puas hati.

‘Menyibuk aje minah nih.. Suka hati akulah nak cuti ke tak?
Mulutnya berjalan dari tadi, kerja satu pun tak gerak!’ Manis mula nak
angin.

“Memanglah tak dapat duit raya. Tapi dapat jugak mengeratkan
silaturahim sesama umat islam kan.. sesama sedara.. Itulah fungsi hari
kemenangan. Bukan duk tercongok depan tv sambil makan rendang. Bukan itu
definasi raya yang sebenar.” Tambah Syaima lagi. Hendak mematah belahkan
hujah-hujah Manis.

Rasa marah sudah mula melonjak ke kepala. Berang betul
dengan sikat Syaima kali ini. Tak boleh ke minah ini duduk diam dan
hormat pendirian orang lain? Baru sahaja Manis ingin buka mulut, muncul
lagi sorang makhluk Allah yang seangkatan dengan Syaima.

“Manis.. kau belilah kuih raya yang akak jual nih... Murah
je.. Satu bekas dua puluh ringgit.” Sempat lagi Kak Munah menjual kuih
raya dengan rakan sekerjanya. Manis mula menepuk dahi. Serabut!

“Saya tak makan kuih raya kak...” Tolak Manis halus. Malas
hendak berkasar dengan officemate sendiri. Tak cukup-cukup nak gaduh
dengan roomate, dengan officemate pun nak cari gaduh jugak ke.

Sejak mereka bertekak dahulu, hubungannya dengan Syikin agak
menjauh. Tidak mesra dan baik seperti dahulu lagi. Jika Syikin tak ajak
berbual, Manis pun malas nak sibuk-sibuk bertanya itu ini dengan Syikin.
Nak kata dia bencikan Syikin, fakta itu memang salah sama sekali. Yang
ada hanyalah rasa kecil hati kerana Syikin memerahinya lantas melebihkan
orang luar berbanding dirinya.

“Aku peliklah dengan kau ni Manis.. Tak beli baju raya lagi,
tak ambil cuti raya, tak makan kuih raya, tak balik raya... Apa
sebenarnya makna raya pada kau?” Si mulut becok Syaima mula melontarkan
perluru soalan. Dan Manis langsung tidak berminat untuk menjawabnya.

‘Pada aku.... raya tu sesuatu yang menyakitkan.. Aku hilang
orang yang aku sayang disebabkan raya.... Kerana raya, manusia tak
matang dan hilang toleransi... jika aku menyambut hari raya, umpamanya
aku menyambut kedatangan kesedihan aku...’ Bisik Manis lirih.

Tiba-tiba telefon bimbit Manis berbunyi. Rasa lega mula
menyalur dalam hati. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari menjawab
soalan-soalan Syaima yang menyesakkan nafasnya. Namun nafasnya terasa
terhenti saat melihat nama Amirul yang tertera di skrin telefon.

‘Baru lepas satu bala... datang lagi satu bala...’ Setelah
kejadian tempoh hari, Amirul langsung tidak mencarinya. Jadi, apa yang
membuatkan Amirul menelefonnya saat ini? Dengan berat hati, diangkat
juga panggila tersebut. Semata-mata untuk mengelak dari soalan-soalan
maut rakan sejawatnya.

“Hello...”

“Assalamualaikum...” Sapa Amirul.

“Waalaikumusalam.... Kenapa call?”

“Saya telefon nak menuntut janjilah..” Ceria sahaja suara
Amirul. Arghh... Amirul mana pernah kenal erti sedih dan kecewa. Sebab
lelaki itu asyik diulit bahagia. Kadang-kadang dia sangat mencemburui
Amirul. Sedari dahulu Amirul kekal ceria sebegini manakala dirinya pula
kekal dihimpit dan dimamah perasaan sadis.

“Janji apa?”

“Lupa ke yang awak pernah berjanji untuk temankan saya cari
baju raya?” Berkerut dahi Manis untuk mengingati waktu dan ketika dia
melangsungkan janji.

“Bila?”

“Jadi tak payahlah susah-susah guna tenaga awak tu untuk
ingat bila waktu dan masa kita berjanji tu. Hari ni berbuka puasa dengan
saya okay? Saya ambil awak dekat depan bank nanti. Kalau orang tu tak
tunaikan janji dia, maknanya dia tergolong dalam golongan munafik! Jadi,
jangan nak lari pulak!”

Suara Amirul kedengaran lembut tetapi penuh ketegasan.

Belum sempat Manis menyampuk kata, Amirul sudah pun
memutuskan talian. Akhirnya Manis mula teringat sendiri. Kalau ikutkan
hatinya, boleh sahaja dia lari sekejap lagi. Tapi apabila teringatkan
perkataan munafik itu, terus dia telan liur.

‘Alah.. teman baju raya je pun! Belasah jelah....’

Manis menyerah! Tapi itu tidak bermakna dia kalah!

*Amirul*

Sedari tadi, senyuman simpul tidak lepas dari wajah Amirul.
Senang hati, suka hati, gatal hati, semuanya diadun bersama apabila
cinta hati berada di hadapannya untuk menemaninya berbuka puasa.

Tiga minggu dia berpuasa dari berjumpa dengan Manis. Ulang
kembali, tiga minggu! Mungkin nampak sekejap tapi lamanya macam tiga
tahun! Bukan senang nak halang kehendak hati yang terlalu rindukan
kemarahan dan kedegilan Manis. Tapi cuba disabarkan segenap pelusuk
rasa. Mengingatkan diri sendiri bahawa sesuatu yang baik itu akan
menuntut kesabaran yang bukan sedikit.

Bukan sengaja dia menjauhkan atau menjarakkan diri. Dia cuma
mahu Manis menyendiri dan belajar merindukan dirinya walaupun dia tahu
yang Manis langsung berbahagia dengan kehilangan dirinya.

Dalam pada masa yang sama, dia ingin Manis menghilangkan
ingatan dengan apa yang berlaku pada waktu terakhir kali mereka berjumpa
dahulu. Dia tidak mahu jika Manis berterusan marah dengan dirinya. Jadi
bila lama tak jumpa, mungkin rasa marah itu sudah hilang. Jadi mudahlah
dirinya untuk memujuk!

“Kenapa dari tadi duk tersengih je? Apa ingat handsome
sangat ke?” Perli Manis sambil mendengus.

“Lah... berdosa ke kalau senyum?”

“Aku tak cakap pun berdosa....”

“Habis tu salah ke?”

“Aku pun tak cakap salah.....”

“Dah tuh?”

“Sakit hati! Sakit mata! Tahu!”

Amirul ketawa mendengar ayat Manis. Tak ada maknanya dia
akan terasa dengan kata-kata Manis. Dia lebih suka Manis membebel dengan
kemarahan dari sunyi dan sepi tanpa sebarang suara. Itu lagi hukuman
yang mendera mental!

“Tapi saya senang hati tengok awak!. Sejuk je bila mata ni
pandang awak. Tahu!” Usik Amirul.

“Gila!”

“Makan cepat.. Lepas ni nak solat maghrib kat surau.” Amirul
mula ubah topik. Tidak mahu jika Manis dibaluti dengan suasana tidak selesa.

“Aku nak baliklah Mirul... Aku nak sembahyang tarawih.”

“Tak payah nak cari helallah Manis..”

“Aku bukan cari helah... Aku memang nak tarawih. Sayang
kalau tinggal!”

Amirul sudah mula membetulkan duduknya. “Kau ingat aku tak
tahu ke yang kau tak puasa hari ni..” Kata-kata yang keluar dari mulut
Amirul itu benar-benar berjaya membuatkan Manis melopong!

“Memandai je kau nih! Aku puasalah!” Rona wajah Manis sudah
mula berubah. Mungkin tidak menjangka yang akan ditebak sebegini rupa.
Manis tak tahu yang Amirul menebalkan mukanya sendiri untuk menggeladah
kisah hidup Manis pada Syikin. Syikin pun berat mulut je nak cerita.
Apatah lagi bila masuk bab-bab datang bulan nih. Isu sensitip kaum
perempuan tuh!

“Tengok muka pun dah tahu tak puasa.. Dah, jangan nak
kalentong aku... Jom teman aku beli baju raya. Aku pergi bayar kejap!”
Langkah kaki Amirul sudah mula bergerak ke kaunter pembayaran.

“Kau tak mahu pergi tarawih ke?” Muka Manis penuh dengan
rasa was-was. Mungkin berfikir yang dirinya bukanlah kaki masjid yang
berdiri di belakang imam untuk menunaikan solat sunat tarawih.

“Balik dari shopping karang aku buatlah...”

“Iyalah tuh...” Manis buat muka tak percaya.

“Eh... orang yang baik tak akan buka pekung keburukan orang
lain dan tak akan buka kebaikan diri sendiri.” Manis senyap! Mungkin
terkesan dengan kata-katanya tadi.

“Kau dah beli baju raya belum?” Sambil melangkah ke surau di
pusat membeli belah East Cost Mall ini, mulut Amirul sengaja diringankan
untuk bertanya.

“Tak beli pun..” Jawab Manis acuh tak acuh.

“Aik... tak nak raya ke? Kaulah perempuan pertama yang aku
tengok sangat tak excited sambut raya. Biasanya perempuan yang aku
kenal, depa memborong sampai habis stok! Sampai dah lega duit dalam bank
tuh..” Amirul cuba sedaya upaya mengajak Manis untuk masuk ke dalam
dunia cerianya. Nak harapkan Manis memulakan perbualan, memang tempat
tiket ke kubur dululah. Mulut berat macam ada jongkong emas!

“Ramai sangat ke perempuan yang kau kenal?”

“Aik.. cemburu ke?”

“Banyak cantik kau punya tapak kaki! Kejadah aku nak
cemburunya.” Muka Manis marah. Tidak suka dituduh cemburu gamaknya.

“Manalah tahu.. Malu tapi mahu!”

“Tak ada maknanya mahu....”

“Banyak maknanya... mahu disayangi.. mahu disayangi...”

Manis mendengus. “Boleh tak kau jangan suka hati nak
sambung-sambung ayat aku..” Marah Manis keras.

“Dan kau pulak boleh tak jangan suka hati nak sampuk-sampuk
ayat aku..”

Manis tepuk dahi. ‘Sebelum tanduk dekat kepala Manis tumbuh,
baik cepat-cepat aku sejukkan kemarahan dia..’

“Dah... dah... aku nak pergi sembahyang.. Nak doa
banyak-banyak sikit. Biar hati kau terang dan tenang sikit!” Perli
Amirul selamba.

“Baik kau doa aku mati je terus!” Bidas Manis sambil berlalu
manakala Amirul ketawa.

“Tak kanlah kita nak doakan benda yang bukan-bukan untuk
seseorang yang kita sayang kan.. Contoh kalau kita sayangkan mak ayah
kitalah... Sebenci mana pun kita pada mereka, kita tetap tak akan
mendoakan kecelakaan mereka kan..” Physcho Amirul perlahan. Matanya
dilirik sedikit ke arah Manis. Berdebar menantikan respon daripada Manis.

Lama Manis terdiam.

“Kalau doakan yang buruk jugak?” Tanya Manis polos.

“Mungkin hatinya dah mati sebelum ajalnya...”

Kata-kata Amirul itu membuatkan Manis menghentikan
langkahnya. Perlahan-lahan Manis berpaling namun Amirul terus melarikan
langkahnya menuju ke surau lelaki. Membiarkan Manis berfikir sendiri.
Bagi Amirul, Manis bukan paku yang sekali ketuk, sekali jalan. Manis
ialah dinding yang keras. Jika paku tersalah ketuk, silap hari bulan
dinding tu boleh retak. Dinding yang retak memang payah nak baiki. Macam
tu jugak dengan hati manusia. Lebih-lebih lagi hati Manis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience