BAB 4

Family Completed 233

*Manis...*

Akhirnya, Manis mengikut arahan Amirul yang hendak
menghantarnya pulang memandangkan Syikin terpaksa menghadiri mesyuarat
penting di pejabatnya. Menyesal pulak rasa menumpang orang! Kalau drive
sendiri kan senang.

“Senyap je?” Tegur Amirul yang sedang memandu.

“Banyak cakap, banyak dosa!”

Terus Amirul terdiam. Tangan lelaki itu mula menekan punat
radio. Sekali lagi telinganya naik bernanah apabila mendengar lagu raya
yang berkumandang. Tanpa banyak cakap, tangan Manis laju sahaja menutup
radio kereta Amirul.

“Eh, kenapa tutup? Lagu raya tuh...”

“Penat! Nak rehat! Sakit telinga!” Tipu Manis. Malas untuk
memanjangkan cerita.

“Balik ni terus makan dan jangan lupa makan ubat! Pastikan
awak makan sahur. Tak kanlah sepanjang sebulan ni awak tak nak puasa
Manis... Jaga diri sikit.” Nasihat Amirul lembut.

“Badan saya... suka hati sayalah! Lagipun sakit tu saya
tangung sendiri... Bukan kongsi dengan awak pun!” Jawab Manis kasar.
Tidak suka bila dibebel oleh Amirul.

“Saya cakap sikit je Manis..”

“Tak payah cakap langsung lagi senang!” Pintas Manis
cepat-cepat. Rasa senak di perut makin menjadi-jadi apabila berhadapan
dengan Amirul ini. Kalau macam ni, orang yang sihat pun boleh jadi
sakit! Susah apabila berhadapan dengan lelaki kuat membebel ini.

Tangan kanannya mula ditekan ke perut. Sakitnya bukan
kepalang lagi.

“Manis, awak okay tak nih?” Hampir-hampir sahaja Amirul
hendak menghentikan pemanduan di bahu jalan. Namun ditegah kasar oleh Manis.

“Saya nak balik! Tolong hantar saya ke rumah!” Arah Manis keras.

“Masuk kanan!” Arah Manis apabila pemanduan Amirul sudah
masuk ke dalam kawasan perumahannya.

Mata Manis mula membulat apabila melihat kereta yang
tersadai di hadapan rumah sewanya. ‘Mama....’ Dengan sedikit
menggelabah, terus Manis mengarahkan Amirul berhenti.

“Awak gila ke berhenti mengejut macam ni?” Tak pasal-pasal
dia pulak yang kena marah dengan Amirul.

“Mirul... Pusing balik. Aku tak mahu balik rumah.” Putus
Manis muktamad. Kali ini wajah Amirul pula yang terpinga-pinga.

“Kalau tak balik rumah, kita nak pergi mana?”

‘Argghhh... time-time macam ni pulak dia banyak tanya!’
Manis mula rasa hendak marah.

“Ikut jelah... Jangan banyak tanya boleh tak?” Marah Manis
geram. Dia tak mahu jumpa mama. Dia tak mahu berbuka dengan mama. Biar
mama sakit hati! Biar mama rasa apa yang dia rasa tika ini.

“Kau nak pergi mana? Kau sebenarnya tengah lari dari siapa
ni?” Mata Amirul mula mencuri pandang ke arah depan.

“Mirul.... Jom kita pergi tempat lain?” Kali ini, nada suara
Manis sudah bertukar lirih. Dia betul-betul tidak mahu berjumpa dengan
mamanya. Dia tahu yang Amirul pasti tidak akan memahaminya. Tapi dia
teramat mengharapkan pengertian dari Amirul.

“Apa aku dapat kalau aku ikut cakap kau?” Manis mula
mengetap bibir apabila mendengar suara Amirul itu. Lelaki itu
seakan-akan ingin menarik tali dengannya.

“Aku teman kau bukak puasa hari ni!” Putus Manis cepat.

“Lagi?”

“Kau nak apa lagi?” Tanya Manis sedikit keras. Geram pula
dengan sikap Amirul yang sengaja hendak mempermainkan dirinya.

“Teman aku shopping raya!” Cadang Amirul sambil
tersengih-sengih.

“Tengoklah dulu macam mana...”

“Kalau macam tu, aku nak keluar pergi jumpa dengan orang
yang kau nak lari sangat tuh....” Amirul sudah berkira-kira untuk keluar
dari perut kereta.

“Okay...okay... Aku teman kau shopping!” Boleh jadi gila
bila deal dengan orang GILA nih!

“Hmm....” Entah apa lagilah yang ada dalam kepala otak
Amirul tika ini.

“Apa lagi?”

“Jom raya sama!” Ajak Amirul sambil tersengih-sengih.

Manis mula mengetap bibir sambil tangannya masih lagi giat
menekan perutnya yang sakit.

“Kau nak kena bunuh ke Mirul?” Ini memang dah melebihi tahap
kesabaran nih! Bagi betis nak peha! Bagi pelempang, nak penerajang
sekali gamaknya.

“Yalah... aku gerak sekarang!” Amirul sudah memulakan
pemanduannya yang terhenti tadi.

“Tapi... kau kena cerita dengan aku! Kenapa kau lari dari
mak cik tuh..” Pinta Amirul serius.

Apabila kereta sudah mula menjauh, Manis mula melemparkan
pemandangan ke belakang. Melihat mamanya yang sedang bersandar ke
kereta. Sebelum mama menghubunginya, lebih baik dia mematikan telefon
bimbitnya. Kalau dia boleh memilih, dia tidak mahu berada di situasi
seperti ini. Pedih dan menyakitkan....

*Amirul...*

Sudah hampir setengah jam mereka berada di tepi pantai ini.
Namun sepatah perkataan pun masih belum keluar dari mulut Manis. Amirul
mula melebarkan pandangan ke sekeliling kawasan Pantai Teluk Cempedak ini.
Tak ramai orang yang berkunjung. Al-maklumlah hari ni hari berkerja.
Tambah-tambah pulak bulan puasa. Siapalah yang nak berkelah dekat tepi
pantai ini? Dia sahaja yang tak ada kerja dan tak ada idea untuk membawa
Manis yang seakan-akan terganggu emosinya itu. Jadi, akhirnya mereka
tercampak di tepi pantai ini. Mujur sahaja hari agak mendung dan cuara
redup. Dapat jugaklah mendamaikan perasaan.
“Okay... saya dah mula rasa sakit otak dengan kebisuan nih!” Suara
Amirul mula memecahkan tembok kebisuan.
“Aku tak terasa nak cakap apa-apa.”
“Benda yang menyakitkan, jangan simpan sorang-sorang Manis! Nanti awak
boleh jadi GILA!” Nasihat Amirul lagi. Memang susah nak betulkan otak
Manis ini. Dari tepi, Amirul mula menganalisa wajah Manis. Dalam
seriusnya wajah itu, Amirul dapat kesan seribu satu masalah yang
seakan-akan tidak mahu terungkai. Wajah kelat itu penuh dengan sesuatu
yang menjerut perasaannya sendiri. Apa sebenarnya yang menganggu fikiran
Manis?
“Siapa perempuan tua tu tadi?” Amirul mula memberanikan diri untuk bertanya.
“Tak menarik untuk diceritakan.” Jawab Manis tiada perasaan.
Amirul melepaskan keluhan sedikit. Sekurang-kurangnya dia tidak dimaki
dan diherdik oleh Manis. Itu pun dah cukup baik!
“Manis....” Seru Amirul serius. Kalau ikutkan hatinya, ingin sahaja di
menarik bahu Manis agar berhadapan dengannya. Tapi ada batasan yang
memagari hubungan mereka. Kalau buat jugak, memang ada kena sepak dengan
Manis sampai ke laut China Selatan.
Duduk berdua di bangku seperti ini pun boleh mendatangkan fitnah juga
sebenarnya walaupun hari terang benderang! Memanglah iblis dengan
syaitan dah kena ikat tapi nafsu masih lagi menerawang dalam diri setiap
manusia. Nafsu pasti akan lebih berusaha untuk menumpaskan manusia
kerana ketiadaan rakan karibnya si syaitan itu.
“Mirul... Tolong jangan paksa! Aku tak suka share perkara ni dengan
sesiapa pun! Biar aku simpan sorang-sorang.” Manis seakan-akan cuba
untuk memahamkan Amirul agar tidak lagi memaksa dia untuk bercerita.
“Tapi nanti hati kau akan sakit Manis...”
“Biarlah.... Hati ni dah terbiasa sakit Mirul. Aku dah biasa untuk hadap
kesakitan ni sendirian. Jiwa aku dah lali dengan kesakitan nih...”
Sambung Manis lagi. Matanya merenung jauh ke hadapan. Entah perkara
apalah yang diterokainya, Amirul sendiri tidak pasti.
“Kalau kau nak lebih lega, kau boleh menangis...” Cadang Amirul prihatin.
Cepat sahaja Manis berpaling ke arah Amirul.
“Untuk apa? Untuk memperlihatkan kebodohan aku dalam menghadapi masalah
yang serupa? Untuk menjadikan aku manusia yang tak berguna? Menangis
hanya akan membuatkan aku penat Mirul...”
Amirul menggelengkan kepalanya. “Menangis bukan tanda kalah Manis..
Menangis itu anugerah. Kau boleh ekspresikan emosi kau melalui air mata.
Sebab itu Allah kurniakan air mata tu pada manusia. Orang yang menangis,
bukan orang yang lemah atau bodoh! Sekolah mana yang ajar kau menangis
tu bodoh? Semua budak-budak pun menangis kot masa nak masuk sekolah..”
Sempat lagi Amirul buat lawak saat serius seperti ini.
“Tak kelakarlah...” Muka Manis kekal tanpa reaksi.
“Sakit kau dah okay?” Sebelum turun dari kereta tadi, sempat lagi Amirul
mengarahkan Manis untuk makan ubat. Gadis itu menyambut dengan muka
masam. Mungkin tidak suka dipaksa-paksa dan diarah itu ini.
“Dah....”
“Sakit tu penyembuh dosa.. Kadang-kadang melalui sakitlah kita bayar
kifarah dosa-dosa kita...” Amirul tersenyum sedikit. Macam bagus pulak
nak bagi ceramah dekat orang! Berkongsi apa yang kita tahu, itu tak
bermakna manusia tu nak tunjuk pandai.
“Kau okay tak ni?” Pertanyaan Amirul dijawab oleh dengusan kasar.
“Jangan treat aku macam budak-budak boleh tak?” Soal Manis garang.
“Memanglah... kau sedar tak kadang-kadang perangai kau macam
budak-budak. Degil memanjang.....” Giat Amirul sengaja.
Manis hanya senyap. Mungkin sedang melayan perasaan ataupun sudah malas
bertekak dengan Amirul. Ataupun dia sedang memikirkan sesuatu yang serius.
“Manis....” Panggil Amirul lagi. Tidak mahu Manis terus terpisah dengan
dunianya sendiri.
Perlahan-lahan Manis berpaling.

“Aku ni tak adalah pandai sangat nak nasihatkan orang...
Tapi aku nak share something dengan kau. Ayat ni pun akau cilok dekat
post kat FB jeh.. Tapi aku suka ayat tuh.. Kau nak dengar?” Pancing
Amirul sengaja. Otak Amirul mula cuba dijana dengan baik. Cuba
mengingati bait-bait ayat yang menangkap jiwanya dahulu. Siapa kata
online di fac tu membuang masa? Ada jugak faedahnya... boleh guna
status orang untuk pujuk hati Manis.
“Ayat apa?” Manis mula memberikan perhatian.
“Jika kita tidak mampu menjadi sebatang pensil untuk menulis kebahagiaan
orang lain, sekurang-kurangnya kita boleh menjadi pemadam lembut yang
mampu menghilangkan kesedihan seseorang....”

Manis diam. Amirul sendiri tidak pasti yang otak Manis dapat
menghadam atau tidak ayat tersebut. “Ada dua sebab aku bagi ayat ni pada
kau....” Kata-katanya terhenti seketika.

“Satu... mungkin kau ada masalah dengan seseorang.. Aku
dapat rasa yang kau sedang melarikan diri dari masalah itu. Jadi nasihat
tu bergunalah untuk kau. Dan yang kedua.... ehem... kata-kata tu memang
lahir dari lubuk hati aku Manis.. Mungkin aku tak mampu nak bahagiakan
hidup kau, tapi teringin nak jadi pemadam yang mampu untuk menghilangkan
segala kesedihan kau tuh.” Suara Amirul jelas kedengaran serius.

Cepat-cepat Manis melarikan pandangan ke arah depan.
Merenung ombak yang masih tidak jemu-jemu menghempas pantai. “Jangan
Mirul.... Kau tak akan mampu untuk membasuh kesedihan aku malah kau pun
akan terjebak sama dalam kesedihan ni..” Pertama kali, Manis menggunakan
bahasa yang lembut ketika berbicara dengan Amirul.

“Kenapa?” Balik-balik, ayat itu juga yang menjadi modal
Manis. Amirul mula rasa tak puas hati. Nak sahaja dia ambil parang dan
belah otak manis. Biar dia teroka apa yang ada dalam benak Manis saat ini.

“Kau tak memenuhi syarat untuk jadi suami aku!”

“Apa syaratnya Manis? Cuba bagi tahu aku...” Tekan Amirul
geram. Perempuan ini suka sangat berahsia!

“Aku hanya akan kahwin dengan lelaki yang sekampung atau
setaman dengan aku je!” Membuntang mata Amirul apabila mendengar
syarat-syarat Manis. ‘Apa ke bangang sangat syarat perempuan nih! Tak
masuk dek otak langsung!’

“Syarat tu tak relevan langsung Manis.. Dapat yang sekampung
atau setaman pun, itu bukan syarat untuk bahagia! Kau tak rasa ke kau
macam mendera diri sendiri..” Kutuk Amirul selamba. Ingatkan bombastik
sangat syarat calon suami idaman Manis.. Ingatkan nak calon suami pilot
ke? Nak muka ala-ala Remy Ishak ke? Rupa-rupanya hanya sekadar calon
sekampung! Haih, memang pemikiran macam orang kampung.

“Kau tak akan faham Mirul...” Keluh Manis sambil
mengelengkan kepalanya.

“Jadi, awak buatlah saya faham Manis... Saya betul-betul
sayang dan sukakan awak!” Ini yang buat Amirul hendak mengutuk kaum
perempuan. Depa selalu bilang kaum lelaki tak memahami, tapi kaum wanita
sendiri tak bagi perluang untuk lelaki faham keadaan mereka? Suka
berselindung dalam selimut penipuan ataupun menyembunyikan rahsia
kononnya. Dah tu macam mana? Nak salahkan lelaki jugak ke?

“Syarat aku tu bersebab... lagipun lama mana kasih sayang tu
akan bertahan kalau hubungan tu dipagari oleh rasa ego, cemburu, dan
sikap mementingkan diri sendiri! Saya terlalu bencikan orang yang
mementingkan diri sendiri. Orang yang macam tu hanya akan fikir pasal
diri mereka je. Tak fikir langsung pasal orang sekeliling yang turut
menanggung derita yang sama? Dia orang tak ada hak nak buat macam tu
Mirul... Tak ada Hak!”

Amirul merenung lembut wajah di sebelahnya. Nada suara Manis
penuh dengan emosi yang membuak-buak. Gadis itu seolah-olah ingin
melemparkan segala keperitannya, tapi keadaan seperti menahan Manis dari
melakukan meluahkan perkara yang terselindung.

“Awak tengah cakap pasal siapa ni?” Giat Amirul perlahan.
Sengaja mahu mencuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau Manis ringan hati
nak cerita sejarah silamnya. Semua sikap negatif tu tak ada kena mengena
dengan syarat calon suami Manis pun.

“Saya merangkumi semua... Tak ada highlight pada sesiapa pun.”

“Okay... masih nak berahsia..”

“Saya simpan apa yang sepatutnya saya simpan.” Lantang
sahaja Manis bersuara.

“Simpan buat pekasam lepas tu jadi masam! Lepas tu, semua
pun dah tak guna..” Balas Amirul berani. Sekarang dia hampir dapat
mengenal perangai Manis. Gadis ini seolah-olah telah hidup tanpa hati
dan perasaan. Sebab itu Manis bersikap beku dan bisu dengan keadaan
sekelilingnya.

“Susahlah cakap dengan awak ni Mirul....” Protes Manis
geram. Matanya membahang sahaja memandang Amirul. Seakan-akan ingin
menelan Amirul hidup-hidup. Mungkin marah bila didesak berulang kali.

“Tak payah cakap... Awak just angguk sahaja.” Ajaran Amirul
itu membuatkan Manis terpinga-pinga.

“Angguk untuk?”

“Jadi isteri saya!”

“Jangan harap!” Manis mencebik. Amirul ketawa. Suka hati
pulak bila dapat mengenakan Manis.

“Harapan akan ada dalam setiap doa manusia Manis...” Amirul
sudah mula tersenyum perli. Manis buat-buat tak dengar. Akhirnya mereka
sama-sama menghirup angin laut. Menenangkan hati yang mula kembang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience