Hafiz menilik telefon bimbitnya sambil kakinya terus berjalan menuju ke kedai runcit berdekatan. Ibunya ada menyuruhnya membeli santan dan hanya Hafiz yang ada di rumah tadi, jadi dialah yang kena beli. Dua adiknya yang lain pula masih sekolah.
"Hafiz". Langkah Hafiz terhenti apabila dia terdengar ada suara memanggilnya. "Eh, Azmi. Lama tak jumpa". Tegur Hafiz sambil tersenyum apabila dia melihat Azmi yang menegurnya. Azmi pula tidak tersenyum.
"Kau okey tak ni Azmi?". Soal Hafiz prihatin tatkala melihat wajah sugul Azmi. "Duk sana dulu, kita borak jap". Pinta Azmi sambil jarinya menunjuk ke arah sebuah bangku yang ada berdekatan di situ.
Hafiz pula sekadar mengangguk dan mengikuti langkah Azmi.
"Ha, kau tak jawab lagi soalan aku, kau okey tak?". Soal Hafiz lagi apabila Azmi masih tidak menjawab persoalannya tadi. "Aku okey jelah. Kau sihat?". Soal Azmi pula. Bibirnya menguntum senyum sebaris.
"Alhamdulillah aku sihat je. Kau sekarang buat apa je?". Soal Hafiz. Wajahnya kelihatan teruja dapat bertemu dengan Azmi. Maklumlah mereka berdua ini sangat rapat sejak dari tingkatan 1 hingga 5. Namun selepas habis sekolah, hubungan mereka berdua sedikit renggang disebabkan kesibukan oleh komitmen masing-masing.
"Kau pun kan tahu aku buat apa sekarang ni. Aku tak sepandai macam kau. Dapat sambung belajar tinggi-tinggi". Jawab Azmi bernada perlahan. Wajahnya sedikit sugul.
"Hak eleh kau ni. Cakap macam aku ni dah sampai Phd. Diploma pun baru separuh jalan je. Kereklah kau ni!". Jawab Hafiz sambil disambung dengan tawa halusnya. Tercuit hati mendengar kata-kata Azmi itu.
"Yelah tapi sekurang-kurangnya kau ada education tinggi. Aku ni? Harap jadi rider dengan waiter jelah. Nak bagi anak orang makan pun tak lepas". Jawab Azmi lagi. Wajahnya tidak kelihatan dia sedang bahagia.
"Kau kenapa sensitif sangat ni Azmi? Aku kenal kau bukan macam ni. Kau ada problem apa-apa ke?". Soal Hafiz apabila menyedari Azmi kelihatan lain hari ini. Azmi mengeluh berat. Dia memandang sekejap wajah Hafiz. Hafiz adalah kawan rapatnya. Sejak dulu pun dia selalu berkongsi cerita dengannya.
"Aku buntulah Hafiz". Azmi mula meluah. "Buntu kenapa?". Soal Hafiz. "Aku nak cari bilik sewa. Aku dah try cari tapi tak jumpa. Ada dapat tapi jauh dan mahal". Ujar Azmi. "Bilik sewa? Hmm..bukan ke kau dah jumpa bilik sewa?". Soal Hafiz. Dia teringat Nadia pernah bercerita kepadanya tentang perkara Azmi ini.
"Mana kau tau aku dah jumpa bilik sewa tu?". Soal Azmi mengerutkan dahinya. Takkanlah Nadia yang cakap kepadanya.
"Nadia cakap". Jawab Hafiz ringkas membuatkan Azmi sedikit tergamam.
"Nadia cerita? Kau dengan dia rapat sangat ke?". Soal Azmi berbaur cemburu. "Ehh kau jangan salah faham. Aku dengan dia memang rapat tapi kita orang kawan je. Kau jangan risaulah, Nadia tu setia orangnya". Jawab Hafiz cuba meleraikan salah faham Azmi itu.
"Untunglah korang. Boleh selalu jumpa. Aku ni dahlah tak belajar, tak boleh selalu jumpa dengan Nadia tu. Entahlah apa dia buat dekat sana". Ujar Azmi dengan nada perlahan. Sebenarnya dia sedikit cemburu mendengar cerita Hafiz tadi. Mereka berdua seolah-olah sangat rapat. Azmi dapat bayangkannya walaupun dia tidak melihatnya sendiri.
"Dia baik-baik je weh. Eh kau ni jangan merepeklah Azmi! Walau macam mana pun kau, kau tetap sahabat aku tau. Dahlah kau jangan lemah semangat macam ni sangat. Kat luar sana ramai lagi yang tak bernasib baik. Kau sepatutnya bersyukur kau ada kerja. At least nanti kalau kau nak kahwin dengan Nadia, pun dah onz". Pujuk Hafiz sambil menepuk lembut bahu Azmi.
"Cerita pasal kahwin ni pun satu hal. Parents Nadia tu, masih tak restu aku dengan Nadia. Entahlah tiba-tiba aku rasa aku ni macam tak ada jodoh dengan Nadia". Ujar Azmi bernada lirih. Hampir menangis.
"Ni kalau Nadia dengar, boleh kecik hati dia. Kau ni kan aku dah cakap, jangan putus asa. Biasalah dugaan dalam nak menghalalkan hubungan, kena hadap supaya nanti kau dapat kemanisannya. Setakat parents tak restu tu, kau kenalah pandai pujuk hati diaorang. Aku yakin kau boleh punya". Nasihat Hafiz lagi.
"Kau cakap senanglah. Aku ni yang nak menghadapnya". Jawab Azmi acuh tak acuh. "Belum cuba belum tahu". Jawab Hafiz semula. Dia tahu Azmi sekarang sudah patah semangat, namun sebagai sahabat dia cuba sehabis baik untuk membangkitkan lagi semangat sahabatnya itu.
Share this novel