Langkah Arya tenang meniti koridor sekolah
Pandangan pelajar lain masih tertumpu ke arahnya lagi-lagi sejak kejadian tempoh hari. Ada yang memandang penuh minat, ada yang berbisik sesama sendiri namun tiada sesiapa yang berani menyapa dirinya.
Dia tahu.
Taringnya sudah terselah. Arya tidak peduli lagipun dia sudah terbiasa berjalan sendirian. Namun, hari ini terasa aneh.
Langkahnya terasa diawasi.
Arya memerhati sekeliling melalui ekor mata. Tap. Langkahnya terbantut.
Ada sepasang mata memerhatikannya dari jauh. Berdiri statik di hujung koridor yang bersebelahan dengan pintu dewan yang tertutup rapi.
Pandangan itu tajam, membuat dia berasa sesak lemas. Walaupun tidak menakutkan, cukup untuk membuatnya berasa gelisah.
Dia mengedipkan mata. Kelibat wanita itu sudah hilang.
Kosong.
Arya menarik nafas dalam, cuba mengabaikan perasaannya yang bersarang sebentar tadi. Dia meneruskan langkah ke bangunan asrama.
.
.
.
Rambut yang basah dikesat kasar. Arya merasakan malas menguasai diri.
Drrt. Drrt.
Telefon bimbitnya bergetar, nombor yang tidak disimpan terpapar di layar skrin. Lambat-lambat Arya angkat jua melawan perasaan malas.
Bunyi nafas perlahan di hujung talian, membisik di gegendang telinganya. Bunyinya seakan mendesir halus.
"Arya... Arya... "
Arya menggenggam telefon lebih erat.
"Siapa ni ?"
"Kau... bukan tandingan aku ."
"Tandingan apa pula ni ?" keluh Arya malas. Orang tengah penat-penat nak cari gaduh pula.
"Aku...boleh bunuh kau. Ayah kau. Adik-beradik kau... termasuk kesayangan Ezra kau ," satu-satu suara itu membisik, jelas berdenting di telinganya.
Tat. Skrin telefon sudah gelap. Tiada bunyi. Tiada sambungan.
"Orang gila mana ni ?" gumamnya sebelum meletakkan telefon di meja sisi.
Dia merebahkan diri ke atas katil. Baru sahaja mata mahi terkatup...
Drrt. Drrt.
Telefonnya bergetar sekali lagi.
Arya mendengus kasar dan menjawab dengan nada tegas. "Kau nak merepek apa lagi ?"
"Adik... "
Arya tersentak. Dia menjauhkan telefon seketika buat melihat nama pemanggil. Bukan gerangan sebentar tadi.
"Kenapa ?"
"Kakak kau hilang dik ," suara itu gelisah tiada tanda bergurau.
Arya terkaku. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang.
"Apa ?!"
"Dia tak balik, Arya. Hilang sejak dua hari lepas ,"
"Abang baru bagitahu adik sekarang ?!"
Tut. Lagi-lagi talian terputus.
Arya menggenggam telefon erat. Untuk kali pertama dalam hidupnya, dia merasakan jantungnya berhenti berfungsi.
Ini bukan kebetulan.
Dan pemanggil tadi, siapa sebenarnya dia ?
Satu perasaan aneh menyelubungi dirinya.
Dunia Arya terasa kelam. Dia tahu ini baru permulaan.
Share this novel