Bab 10

Short Story Series 469

"Aku ikut kau."

Noira tersenyum lebar. "Bagus, Arya. Aku tahu kau akhirnya akan buat keputusan yang tepat."

Dia melangkah ke hadapan, mengangkat dagu Arya dengan satu jari. Mata mereka bertentangan. "Tapi kalau kau nak ikut aku, kau kena buktikan diri kau dulu."

Arya tidak membantah. Dia membiarkan sahaja dirinya diangkut oleh bawahan Noira.

.
. .

Dia dimandikan, lukanya disapu ubat. Tubuhnya masih terasa sakit, tetapi Arya sudah terbiasa. Kesakitan bukan lagi sesuatu yang asing.

Noira memberinya sebuah bilik suram, kecil, dan sepi. Ada sebuah tingkap di dinding, tetapi hanya sebesar tapak tangan. Arya merenung pantulan dirinya di cermin yang retak.

Pucat. Matanya kosong. Rambutnya kusut.

Dia tidak mengenali dirinya sendiri lagi.

"Kau dah siap?"

Arya tidak menoleh. Suara itu sudah menghantui dirinya berbulan-bulan.

"Kau.. kalau nak jadi bawahan aku, kau kena kuat." Noira mendekat, suara lembutnya mengandungi ketajaman. "Aku tak ada bawahan lemah."

Arya tahu maksudnya.

"Hari ni kau akan berlatih ."

Berlatih? Dengan keadaannya seperti ini ?

Tangannya ditarik paksa. Dia berdiri di tengah bilik gelap, hanya diterangi cahaya malap dari lampu gantung yang berkelip-kelip. Tangannya diikat di atas kepala. Di hadapannya, seorang lelaki bertopeng berdiri tegap, memegang cambuk.

"Setiap kali kau buat silap, kau akan dihukum." Suara Noira bergema di ruangan itu.

Cambuk pertama menghentam belakangnya.

Arya menggigit bibir, menahan jeritan.

Cambuk kedua.

Kakinya mula longlai, tetapi dia bertahan. Terlalu awal untuk menyerah.

"Bagus," puji Noira, suara penuh kepuasan. "Tapi Arya... itu baru permulaan."

PAP. PAP. PAP.

Arya menjerit di dalam hati. Luka lama kembali berdarah. Setiap kali cambuk itu mengenai kulitnya, setiap kali tubuhnya dihumban ke lantai, satu bahagian dalam dirinya semakin pudar.

Hari-harinya menjadi mimpi ngeri.

Dia dipaksa bertarung tanpa senjata, dilempar ke dalam bilik sejuk tanpa makanan. Dipaksa berlari sehingga kakinya luka berdarah. Tidurnya hanya beberapa jam, dan setiap kali dia hampir rebah, suara Noira akan berbisik di telinganya.

"Kau kena kuat. Kau bukan budak lemah lagi. Ingat dendam kau."

Sakit itu semakin tidak terasa.

Pukul. Tampar. Tendangan. Hentakan. Semua itu hanya bunyi. Deria rasanya semakin mati.

Dia tidak lagi menangis.

Tiada lagi rintihan.

Ada satu malam, ketika dia dipukul, dia mula perasan sesuatu.

Dia tidak lagi berasa takut.

Sakit itu sudah menjadi perkara biasa. Dan dia menyedari satu lagi perkara...

Dia tidak lagi marah.

Dulu, dia benci Noira. Benci orang-orang yang mencederakannya.

Tapi sekarang?

Sekarang, dia mula faham apa yang Noira selalu katakan.

"Dunia ini bukan untuk orang yang berharap."

Mungkin Noira betul.

Mungkin selama ini dia hanya bodoh kerana berharap pada sesuatu yang takkan datang.

.
. .

Malam terasa sepi, mencengkam tulang sum-sum nya. Arya terduduk di lantai biliknya, tangannya menyentuh perlahan luka di rusuk.

Matanya merenung ke hadapan, tetapi dia tidak melihat apa-apa. Tiada rasa takut. Tiada rasa sakit.

Hanya sunyi.

Lama-lama, dia mula faham.

Rasa sakit itu bukan hukuman. la adalah alat.

Dendamnya bukan beban. la adalah senjata.

Dia tidak akan jadi mangsa lagi.

Dia akan jadi pemangsa.

Dan bila saatnya tiba... dia akan balas sesungguhnya.

Arya bangun menuju ke bilik latihannya. Tangannya penuh dengan luka tetapi dia tetap mencengkam pisau kuat. Di hadapannya, ada satu patung kayu yang sudah dipenuhi calar dan torehan.

"Do it ," suara Noira bergema.

Arya menggenggam pisau itu lebih kuat dan menetak patung tersebut berkali-kali. Noira berdiri di belakangnya, mengawas setiap gerakannya.

"Kau nak balas dendam?"

Arya mengangguk.

"Kau nak mereka yang tinggalkan kau rasa apa yang kau rasa?"

Kepalanya terangguk lagi.

Noira tersenyum, menepuk bahunya.

"Bagus. Mari kita lihat sama ada kau betul-betul bersedia atau tidak."

Arya dibawa ke sebuah bilik lain. Kali ini, biliknya terang. Meja kayu di tengah ruangan itu penuh dengan senjata, pisau, pistol dan batang besi.

Noira berdiri di hujung meja, tersenyum. Di sudut bilik, seorang lelaki diikat pada kerusi. Mulutnya disumbat. Matanya merenung Arya, penuh ketakutan.

"Dia orang yang khianati aku," kata Noira perlahan. "Aku nak kau bunuh dia."

Arya berdiri kaku.

Noira mengeluh. "Kau ikut aku sebab kau nak kuat, kan?" Dia mencapai sebilah pisau dan meletakkannya di tangan Arya. "Kalau kau tak boleh buat, kau masih budak lemah."

Arya menggenggam pisau itu. Nafasnya perlahan.

Lelaki itu menggeleng kuat, cuba merayu walaupun suaranya disekat.

Noira mencondongkan badan, membisik di telinga Arya.

"Kalau kau tak bunuh dia, kau yang mati."

Jari Arya mengetat di pemegang pisau. Degupan jantungnya menghentam dada, tetapi wajahnya tidak menunjukkan apa-apa.

Dia pernah tunggu bantuan. Tunggu seseorang selamatkan dia.

Tapi tiada siapa datang.

Tiada siapa peduli.

Arya menghunuskan pisau itu.

Zap. Darah memercik ke lantai. Lelaki itu menggelepar sebelum tubuhnya terkulai.

Arya tidak berganjak. Dia merenung darah yang mengalir di hujung jarinya.

Dulu, tangannya penuh dengan luka. Sekarang, tangannya penuh dengan darah.

Noira tersenyum puas. "Sekarang, kau layak berada di sisi aku."

Arya mengangkat kepala, memandang Noira dengan mata yang sudah berubah.

Dia bukan Arya yang sama lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience