Lima tahun kemudian…
Kelab malam itu berdenyut dengan muzik berat, rentaknya memukul dinding seperti detak jantung yang kehilangan jiwa. Cahaya neon merah dan emas berkelip di lantai marmar hitam, memantulkan bayangan manusia yang hanyut dalam dunia mereka sendiri. Asap rokok terapung di udara, bercampur dengan bau alkohol dan dosa yang berselindung di sebalik tawa liar.
Namun, dalam sekelip mata, suasana berubah.
Sebaik sahaja seorang wanita melangkah masuk, keheningan menyusup ke dalam ruang yang tadinya bising. Perbualan mereda, ketawa terhenti, dan mereka yang sedang menari memperlahankan langkah. Seorang lelaki yang bermain kad di sudut menjatuhkan segelas whiskey, tangannya menggigil. Seorang pelayan hampir tersadung, wajahnya pucat seolah-olah melihat hantu.
Nyx sudah tiba.
Dia berjalan perlahan, setiap langkahnya penuh kawalan. Sehelai jaket kulit hitam membalut tubuhnya, dipadankan dengan baju ketat berwarna gelap. Rambutnya panjang dan sedikit berombak, menyerlahkan kesan luka halus di lehernya, parut dari masa silam yang tak terlupakan.
Di belakangnya, Noira bersandar pada dinding dengan senyuman kecil. “Kau masih suka buat entrance macam ni, huh?”
Nyx tidak terus menjawab. Dia mengangkat vape ke bibir, menyedut perlahan sebelum melepaskan asap putih ke udara. Matanya mengimbas sekeliling. Semua tunduk. Semua diam. Bagus.
“Kau kena tunjuk siapa kau kalau tak nak orang lupa tempat mereka,” akhirnya dia bersuara, suaranya tenang tetapi, dingin.
Noira ketawa kecil. “Lima tahun, Nyx. Aku tak pernah salah pilih orang.”
Nyx hanya membalas dengan anggukan kecil. Tiada senyuman. Tiada reaksi. Jika dahulu dia seorang atlet yang mengejar kejayaan di trek, kini dia adalah seseorang yang menakutkan dunia gelap ini.
Arya sudah mati.
"Aku nak kau settlekan orang tua tu nanti ," Noira memuncungkan bibir ke satu arah.
Lagi-lagi Arya mengangguk.
.
.
.
Di dalam ruang eksklusif kelab malam itu, Nyx bersandar di sofa kulit, kakinya bersilang sambil sebatang vape di tangan. Matanya menatap lelaki gemuk bertubuh sasa yang kini merintih kesakitan di atas lantai. Mukanya lebam, bibirnya pecah, dan darah mengalir dari kepalanya yang dihentak tadi.
Nyx tidak berkata apa-apa. Dia hanya merenung lelaki itu dengan pandangan kosong.
“Kau fikir kau boleh guna nama Noira untuk lari dari hutang?” suaranya akhirnya kedengaran. Walau cuma perlahan tetapi cukup tajam untuk membuat lelaki itu menaikkan bulu roma.
“A-aku janji, aku akan bayar… Aku cuma perlukan masa—”
PAP.
Nyx mengangkat kaki dan menekan dadanya dengan tumit boot tinggi. Lelaki itu terbatuk kuat, darahnya meleleh ke lantai.
“Noira tak suka orang yang berjanji tapi tak tepati,” bisiknya, sebelum menyedut vape sekali lagi dan menghembuskan asap ke wajah lelaki itu.
Ketawa kecil kedengaran dari sudut bilik. Noira, seperti biasa bersandar dengan tenang, menikmati pemandangan seolah-olah ini hanyalah hiburan baginya.
“Bagus, Nyx,” puji Noira dengan senyuman yang mengandungi sesuatu yang sukar ditebak. “Aku suka bila kau buat kerja dengan bersih.”
Nyx tidak membalas. Hanya tangannya yang bergerak, mengeluarkan pisau kecil dari dalam jaketnya. Mata pisau itu berkilau di bawah lampu malap.
“Kau nak aku selesaikan dia sekarang?” soalnya, tenang seperti bertanyakan cuaca.
Lelaki itu tersentak. Matanya membulat, ketakutan terpampang jelas. “T-tolong… Noira, aku boleh bayar—”
Noira mengangkat tangan, menghentikan kata-katanya.
“Bukan sekarang.”
Dia bergerak mendekati Nyx, dan tanpa amaran, jarinya menyentuh dagu Nyx, mengangkat wajahnya sedikit. Sentuhan itu bukan untuk mengancam, tetapi seolah-olah mengingatkan.
“Aku ada tugasan lain untuk kau malam ni.”
Nyx tidak bertanya. Dia hanya mengangguk. Perintah Noira adalah mutlak.
Di luar bilik eksklusif itu, seseorang sedang memerhati.
Pandangan matanya tajam, penuh dengan emosi yang sukar ditafsirkan. Jemarinya digenggam erat, seakan cuba menahan perasaan yang berkecamuk di dalam dadanya.
Dia melihat segalanya.
Bagaimana wanita yang pernah dikenalnya dulu, kini sudah menjadi seseorang yang sangat asing.
Share this novel