BAB 5 - RAHSIA YANG TERBONGKAR
Malam semakin larut, tetapi Aqasha masih belum mampu melelapkan mata. Perbualan dengan Nadhir sebentar tadi terus berputar dalam fikirannya.
“Sebab awak takut untuk ingat.”
Ayat itu menghantuinya. Takut? Dia tidak faham. Apa yang dia cuba lupakan? Atau lebih tepat, siapa yang membuatkan dia mahu melupakan?
Dia mencapai telefon sekali lagi, membaca semula mesej-mesej itu.
Nafasnya berat. Akhirnya, dengan hati yang penuh keraguan, dia menaip satu mesej terakhir sebelum menutup mata.
“Saya nak jumpa awak Nadhir.”
Esoknya.
Aqasha menunggu di sebuah kafe terpencil di pinggir bandar. Tempat ini sepatutnya memberi ketenangan, tetapi kali ini ia penuh dengan debaran dan hatinya penuh dengan tanda tanya.
Dia masih ingat bagaimana dia memilih tempat ini suatu masa dahulu. Kafe ini menjadi saksi banyak kenangan—atau lebih tepat, kenangan yang dia tidak pasti sama ada dia mahu ingat atau tidak.
Bunyi loceng pintu kafe berdering.
Aqasha mengangkat kepala. Nadhir berdiri di hadapannya.
Dia masih sama seperti hari itu—tinggi, tegap, dengan ekspresi wajah yang sukar dijangka. Namun ada sesuatu dalam matanya hari ini. Sesuatu yang lebih dalam.
Tanpa menunggu lama, dia terus duduk di hadapan Aqasha. Mata mereka bertaut, dan untuk seketika, dunia terasa sunyi.
“Apa yang awak nak tahu?” suara Nadhir akhirnya memecah kesunyian.
Aqasha menggenggam jari-jemarinya sendiri. “Segalanya.”
Dia mahu tahu siapa Nadhir dalam hidupnya, apa yang mereka lalui, dan mengapa lelaki ini terasa begitu dekat tetapi dalam masa yang sama, begitu jauh.
Nadhir menghela nafas. “Awak isteri saya yang Sah, Tengku Aqasha.”
Dada Aqasha bergetar. Dia mengerutkan dahi, cuba mencungkil ingatan yang kabur. “Tak mungkin… Saya—saya tak ingat.”
“Itu masalahnya.” Nadhir bersandar ke kerusi. “Awak tak ingat, dan saya tak pernah lupa dan takkan lupakan.”
Aqasha menelan liur. Hatinya makin resah.
“Kenapa saya boleh lupa?” soalnya, nada suara perlahan, hampir berbisik.
Nadhir menatapnya lama sebelum menjawab. “Sebab seseorang buat awak lupakan saya.”
Aqasha tersentak. “Siapa?”
Nadhir diam sejenak, sebelum akhirnya mengucapkan nama itu.
“Faris.”
Jantungnya seolah-olah terhenti.
Nama itu…
Satu imej muncul dalam kepalanya—sepasang mata yang garang, suara yang lantang, dan rasa sakit yang pernah menghancurkan dirinya.
Dunia di sekelilingnya terasa berpusing. Nafasnya sesak. Tangannya menggigil.
Faris.
Dia ingat.
Dia ingat semuanya.
Ya Allah...
Share this novel