BAB 13 - KASIH ATAU KHAYALAN

Romance Series 1469

BAB 13

Aqasha duduk termenung di ruang tamu setelah Nadhir melangkah keluar. Hatinya dipagut resah yang sukar dijelaskan. Dia tidak tahu mengapa, tetapi perasaan ini seolah-olah memberi isyarat bahawa sesuatu akan terjadi. Dia cuba mengalihkan perhatiannya dengan menonton televisyen, namun fikirannya tetap melayang kepada suaminya.

Mana suaminya pergi? Kenapa Nadhir terus keluar tanpa tinggal pesan buat diri nya? Kenapa dia perlu tergesa gesa keluar?

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Sudah hampir satu jam sejak Nadhir keluar, tetapi masih tiada khabar darinya. Aqasha mencapai telefonnya, menaip mesej ringkas.

Aqasha: Awak pergi mana?

Namun, hanya tanda ‘delivered’ yang muncul. Tiada balasan. Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Mungkin Nadhir sibuk dengan urusannya.

Malam semakin larut, dan mata Aqasha mula memberat. Tanpa sedar, dia tertidur di sofa dengan telefon masih dalam genggamannya. Beberapa jam kemudian, dia tersedar apabila terdengar bunyi pintu dibuka perlahan.

Nadhir melangkah masuk, kelihatan sedikit keletihan tetapi masih dengan ekspresi tenangnya. Dia terkejut melihat Aqasha masih di ruang tamu, tertidur dengan wajah yang jelas menunjukkan kebimbangan.

Dia menghampiri dan berlutut di hadapan isterinya. Tangannya mengusap lembut pipi Aqasha, membuatkan wanita itu tersedar perlahan-lahan.

“Sayang... kenapa tak tidur dalam bilik?” suara Nadhir kedengaran lembut, penuh kasih.

Aqasha membuka matanya perlahan-lahan, sebelum mengerutkan dahi. “Saya tunggu awak... Kenapa lama sangat?”

Nadhir tersenyum tipis dan mengelus rambut isterinya. “Maaf, urusan tadi ambil masa lebih dari yang saya sangka.”

Aqasha duduk tegak, memandang Nadhir dengan penuh tanda tanya. “Apa sebenarnya yang awak buat?”

Nadhir menarik nafas dalam, seakan mempertimbangkan jawapannya. “Ada beberapa hal berkaitan syarikat yang saya kena selesaikan segera.”

Aqasha merenung suaminya, cuba mencari kebenaran dalam kata-katanya. Namun, dia memilih untuk tidak mendesak. Dia terlalu letih untuk berdebat.

“Saya risau, awak...” ujar Aqasha perlahan, suaranya hampir berbisik.

Nadhir menariknya ke dalam pelukan hangat. “Maaf sebab buat awak risau. Saya janji takkan biarkan awak tertanya-tanya macam ni lagi.”

Aqasha memejamkan matanya seketika, membiarkan dirinya tenggelam dalam kehangatan pelukan suaminya. Saat itu, dia merasakan betapa dirinya benar-benar mula menerima kehadiran lelaki ini dalam hidupnya.

Nadhir mendukungnya perlahan, membawa Aqasha ke dalam bilik tidur mereka. Aqasha hanya membiarkan dirinya dibawa tanpa protes. Saat dia diletakkan di atas katil, Nadhir menyelimuti dirinya dengan penuh perhatian.

“Tidurlah sayang, esok kita ada hari yang panjang,” bisik Nadhir sambil mengusap perlahan rambut isterinya.

Aqasha mengangguk kecil. Saat matanya hampir terpejam, dia merasakan kucupan lembut singgah di dahinya, membuatkan hatinya berdebar.

Namun, dalam keheningan malam itu, minda Aqasha masih bermain dengan pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya Nadhir? Dan apa sebenarnya yang sedang berlaku di sebalik urusannya malam ini? Perasaan ingin tahu itu terus berputar dalam fikirannya sebelum dia akhirnya hanyut dalam lena.

Keesokan paginya, Aqasha bangun dengan sedikit keletihan tetapi cuba untuk menyegarkan diri. Dia melangkah keluar dari bilik, melihat Nadhir sudah pun bersiap dan sedang menyiapkan sarapan.

“Pagi sayang,” tegur Nadhir dengan senyuman.

Aqasha membalas senyuman itu, tetapi dia masih belum dapat melupakan perasaannya malam tadi. Dia duduk di meja makan, melihat suaminya dengan perasaan yang bercampur-baur.

“Awak...” panggilnya perlahan.

Nadhir berpaling, mengangkat kening. “Ya, sayang?”

Aqasha menggigit bibirnya sebelum berkata, “Saya nak tahu sesuatu. Boleh awak jujur dengan saya?”

Nadhir menarik kerusi, duduk di hadapan Aqasha. Matanya menatap dalam ke dalam mata isterinya, seakan-akan cuba membaca isi hatinya.

“Saya takkan tipu awak, Aqasha. Tanya saja.”

Aqasha menarik nafas. “Awak ada masalah yang saya tak tahu, kan?”

Nadhir terdiam seketika, sebelum menghela nafas panjang. “Bukan masalah besar, sayang. Cuma beberapa perkara yang saya perlu uruskan sendiri.”

Aqasha masih memandangnya dengan ragu-ragu. Namun, sebelum dia sempat bertanya lebih lanjut, telefon Nadhir berbunyi lagi. Nadhir melihat skrin seketika, sebelum bangun dari tempat duduk.

“Saya kena jawab call ni” katanya sebelum melangkah ke luar.

Aqasha memerhati dengan debaran di dada. Perasaannya mula tidak enak. Ada sesuatu yang disembunyikan oleh Nadhir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience