BAB 10 - BILA RINDU KIAN TERASA

Romance Series 1469

BAB 10 - BILA RINDU KIAN TERASA

Malam itu, Aqasha duduk di ruang tamu dengan fikiran yang masih berselirat. Sejak kejadian di majlis syarikat tempoh hari, dia tidak boleh menafikan bahawa perasaan trauma terhadap masa lalunya masih menghantui. Namun, sikap Nadhir yang sabar dan lembut membuatkan dia semakin selesa, meskipun ada ketakutan yang masih berbaki dalam hatinya.

Nadhir masuk ke ruang tamu dengan secawan teh panas. "Saya buatkan chamomile untuk awak. Boleh bantu tenangkan fikiran."

Aqasha tersenyum kecil sambil menyambut cawan itu. "Terima kasih."

Dia meneguk sedikit teh itu, membiarkan kehangatannya mengalir ke dalam tubuh. Namun, hatinya masih berat. Dia memandang Nadhir, yang kelihatan tenang di sisinya. Lelaki itu selalu ada, tidak kira dalam apa jua keadaan.

"Nadhir... Saya rasa saya masih takut," luah Aqasha perlahan. Matanya mula berkaca, tangannya menggenggam kuat cawan di genggamannya.

Nadhir menghela nafas dan mendekati Aqasha. Dengan perlahan, dia mengambil cawan itu dan meletakkannya di meja. "Saya faham, sayang. Saya tak pernah minta awak lupakan semuanya dalam sekelip mata. Saya cuma mahu awak tahu yang saya akan ada, tak kira apa pun."

Air mata Aqasha mengalir tanpa dia sedari. "Saya cuba, Nadhir. Tapi peristiwa dulu tu terlalu menyakitkan. Saya rasa seperti saya tak cukup kuat untuk hadap semua ni."

Nadhir mendekat, lalu menarik Aqasha ke dalam pelukannya. "Awak kuat, Aqasha. Kalau tidak, awak takkan sampai ke tahap ini. Saya tahu betapa susahnya untuk awak percayakan saya selepas semua yang terjadi, tapi saya akan tunggu. Saya akan buktikan yang saya takkan biarkan sesiapa lagi lukakan awak."

Aqasha teresak perlahan di dada Nadhir. Pelukan itu hangat, selamat. Sudah lama dia tidak merasai sebegini. Dia membiarkan dirinya berada dalam dakapan suaminya, membiarkan tangisan itu membawa pergi segala ketakutan yang berbaki.

Beberapa minit berlalu sebelum Aqasha mula terlelap dalam pelukan Nadhir. Melihat keadaan isterinya, Nadhir mengangkat Aqasha perlahan-lahan ke dalam bilik. Dengan penuh hati-hati, dia membaringkan Aqasha di atas katil dan menyelimutkan tubuhnya. Jari-jarinya menyelak rambut lembut isterinya yang menutupi wajah.

"Saya akan selalu ada untuk awak, Aqasha," bisiknya sebelum mencium dahi wanita itu.

Nadhir duduk di tepi katil untuk seketika, memerhatikan wajah Aqasha yang akhirnya kelihatan lebih tenang dalam lenanya. Dia tahu perjalanan mereka masih panjang, tetapi dia juga tahu bahawa cintanya kepada Aqasha lebih kuat daripada segala rintangan yang mereka hadapi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience