BAB 7 - MASA LALU YANG TERLUKA
Hujan renyai-renyai turun membasahi kota, membiaskan cahaya lampu jalan yang samar-samar. Tengku Aqasha berdiri di tepi tingkap biliknya, matanya kosong merenung jauh ke luar. Hatinya masih berserabut. Memori-memori samar datang dan pergi, seperti cuba menyampaikan sesuatu yang penting, tetapi semuanya terasa kabur.
Dia meraba dadanya yang terasa sesak. Saban hari, wajah lelaki itu sering muncul di fikirannya. Nadhir Othman. Suaminya. Tapi kenapa hatinya seolah-olah kosong setiap kali mendengar nama itu? Kenapa lelaki itu seakan terlalu penting, tapi dirinya tidak mampu mengingati bagaimana mereka boleh bersama?
Ketukan di pintu mengejutkan lamunannya. “Masuk,” katanya perlahan.
Mummy menjenguk dari balik pintu sebelum masuk ke dalam bilik. Wajah ibunya itu jelas menunjukkan kebimbangan. “Sayang mummy okay?”
Aqasha menghela nafas panjang. Dia berpaling dan duduk di birai katil. “Mummy… Aqasha betul-betul tak ingat. Macam mana Aqasha boleh jadi isteri Nadhir? Aqasha tak ingat langsung…” suaranya bergetar, penuh dengan kekeliruan.
Mummy tersenyum lembut, mengambil tempat di sebelah anaknya. "Qasha, kalau itu yang Qasha nak tahu, mummy akan cerita. Tapi janji, jangan paksa diri untuk ingat kalau belum bersedia, ya?”
Aqasha mengangguk perlahan.
Beberapa bulan sebelum kejadian hitam itu…
Hari pertunangan Aqasha dan Faris telah ditetapkan, tetapi hatinya tidak tenang. Entah kenapa setiap kali dia bersama Faris, ada sesuatu yang tidak kena. Senyumannya, sentuhannya—semuanya terasa salah.
“Aqasha, kita kena bincang.” Faris menarik lengannya sebaik sahaja majlis mereka hampir tamat.
Dia tersentak, namun mengikut langkah lelaki itu keluar dari dewan. “Sakit! Faris, awak dah kenapa ni?”
Faris menggenggam jemarinya erat. “Kita dah dah tunang, kan? Aku nak kau ingat satu perkara, Aqasha. Kau milik aku secara mutlaknya. Aku tak nak dengar apa-apa alasan lagi lepas ni.”
Aqasha meronta, matanya membulat melihat sisi Faris yang selama ini tidak pernah dia lihat. “Apa maksud awak? Kita baru tunang je Faris belum nikah lagi”
Faris tersenyum sinis. “Kau fikir aku tak tahu? Kau masih rapat dengan Nadhir. Kau masih ada hati pada dia kan?.”
Nama itu membuatkan dada Aqasha bergetar. Nadhir. Dia dan lelaki itu pernah menjadi kawan baik sejak kecil. Sehinggalah dia terpaksa menjauh kerana perkahwinan yang dirancang oleh keluarganya, bukan sengaja dia begitu tapi atas desakan Faris. Keluarga mereka terlalu rapat dan dia lebih selesa dengan Nadhir lebih dari 'tunangnya' itu.
“Saya… saya tak ada apa-apa dengan Nadhir, Sumpah Faris.”
Faris mencengkam pergelangan tangannya dengan lebih kuat. “Jangan cuba tipu aku la, Aqasha. Kau pikir aku bodoh macam kau ke sial?”
Malam itu, perasaan Aqasha bercelaru. Dia sedar sesuatu—dia tidak pernah benar-benar mencintai Faris. Tapi dia juga tidak pasti apakah Nadhir masih menunggunya seperti dulu.
Beberapa hari sebelum majlis pernikahan dengan Faris, Aqasha diculik. Dia tidak tahu siapa dalangnya, tapi satu perkara yang pasti—dia melihat Faris berbincang dengan seseorang sebelum itu.
Bila dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang berada di sisinya bukan Faris. Tetapi Nadhir.
Lelaki itu menggenggam tangannya erat ketika dia tersedar di hospital. “Aqasha, listen to me carefully…Aku takkan biarkan kau kembali kepada manusia jahanam itu lagi. That's my promise to you. Demi Allah, Aqasha”
Dan itulah detik di mana semuanya berubah.
Share this novel