Bab 5

Fantasy Series 77

Angin bertiup kencang. Kilat sabung-menyabung menyinari langit malam yang gelita. Ombak bergulung-gulung mengganas di lautan yang jauh daripada jangkauan kebanyakan orang itu.
Verika berpaut seeratnya pada dinding kapal, mengerahkan segala daya agar mampu bertahan dalam keadaan genting itu. Rambutnya sudah kusut, bergerak-gerak ditiup angin yang kencang.
Perempuan itu kaku, pemandangan tiang layar yang marak dengan api terpantul pada mata hijaunya. Dia melihat bagaimana tiang itu dimamah api, lalu perlahan-lahan mula tumbang.
Pada waktu itu terbayang memori sebuah rumah yang marak terbakar di hadapannya. Kedengaran raungan penuh kesakitan dari dalam rumah tersebut. Di sebalik tingkap rumah itu, ada kelibat seorang wanita yang sedang mendukung bayi meraung-raung. Seorang lelaki bertubuh sasa berlari pantas, menerpa masuk ke dalam lautan api yang membakar rumah tersebut.
Bayangan memori membuatkan Verika kaku, sehingga tanpa disedarinya yang tiang layar itu sudah tumbang menghempas kapal betul-betul di sebelah dan menindih kakinya. Verika meraung kesakitan.
Impak daripada tiang tersebut menyebabkan kapal itu hancur, seolah-olah terbelah dua. Verika seakan ditarik turun ke laut melalui pecahan-pecahan kapal bersama tiang layar yang menghempap kakinya.
"Verika!!" Sycatt yang melihat situasi itu cuba mencapai Verika, tetapi Verika lebih pantas jatuh ke laut. Kapal yang hancur itu perlahan-lahan karam, menyebabkan Sycatt turut sama masuk ke dalam laut.
Alex dan gadis berambut perak itu terpempan dengan kejadian yang sedang berlaku di hadapan mata mereka kini. Alex sedang menekan luka di lengannya ketika itu, pada masa yang sama memeluk gadis tersebut.
"Tch!" Lelaki tampan itu sedar bahawa tiada jalan lain lagi untuk mereka semua. Dia tidak lagi mempedulikan lengannya yang kepedihan. Alex dengan pantas mendakap gadis berambut pendek itu lalu terjun ke laut sebelum kapal tersebut sempat karam.
Keadaan menjadi sangat huru-hara. Semua menjerit ketakutan. Ada yang meraung kesakitan kerana terkena api yang membakar. Ramai mula terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.
Menggunakan daya daripada sebelah tangannya sahaja, Alex berenang menjauhi kapal. Sebelah tangannya yang terkena tembakan tadi digunakan untuk memegang gadis bermata emas tadi dalam dakapannya. Gadis itu berpaut pada Alex, seolah-olah telah meletakkan seluruh harapannya untuk terus hidup pada lelaki tersebut.
Sycatt yang telah masuk ke dalam air berada dalam keadaan bergelut. Dia seperti tidak dapat berenang ke permukaan. Dia bergelut untuk mengatur pernafasan dan pergerakannya dengan baik, tetapi semuanya terasa begitu berat sehinggakan dia merasa seperti dirinya ditarik lebih dalam.
'Tak guna. Aku minum banyak sangat tadi, aku tak boleh nak atur pernafasan aku sekarang ni.' Sycatt menggertak giginya, dia memandang permukaan laut yang perlu dituju agar mampu bertahan hidup.
Pada waktu itu, satu tangan menariknya dengan lembut. Sycatt terkedu apabila mendapati Verika sedang mencuba menariknya. Perempuan berambut lurus paras dada itu dengan sedaya-upaya berenang ke permukaan, bersama-sama Sycatt yang ditariknya. Sycatt memerhatikan Verika di atasnya, jelas pergerakannya yang terbatas terutamanya sebelah kakinya yang kelihatan lebam dan nampak melecur.
Sycatt dan Verika menarik nafas dalam-dalam sebaik tiba di permukaan laut. Verika kelihatan mengah, seolah-olah akan pitam bila-bila masa. Sycatt yang menyedari keadaan Verika, melihat sekeliling bagi mencari sesuatu untuk berpaut.
Tiba-tiba, satu keping papan kayu dilemparkan betul-betul di hadapan kedua wanita itu. Verika dan Sycatt cepat-cepat memeluk kayu tersebut, menjadi tempat berpaut agar mereka mampu kekal terapung tanpa mengeluarkan banyak tenaga.
"Kamu berdua tak apa-apa?"
Sycatt berpaling ke arah suara lelaki yang bertanya itu. Kelihatan Alex yang berpaut pada satu papan bersama gadis tadi sedang berenang menghampiri dia dan Verika. Kehabisan nafas, Sycatt hanya mengangguk dan memberikan isyarat tangan kepada Alex. Alex akhirnya tiba dekat dengan mereka, lelaki itu nampak tercungap-cungap.
"Jadi, sekarang macam mana?" Alex bertanya sambil dia melihat sekeliling. Kapal yang mereka naiki tadi sudah lesap, yang tinggal hanyalah serpihan-serpihan kayu.
Sycatt turut melihat sekeliling, dia juga berasa bingung tentang nasib mereka kini. "Aku pun…tak tahulah."
Alex diam mendengarkan jawapan Sycatt. Lelaki bermata biru itu perlahan-lahan memandang Verika, jelas bahawa wanita itu telah kehabisan tenaga melihatkan naik turun dada dan kebisuan wanita tersebut. Alex kemudian melihat sekeliling lagi sekali, dia mencari-cari sesuatu. Hatinya berasa sedikit lega apabila dia dapat melihat beberapa orang anak buahnya yang terselamat.
Alex kemudian memandang gadis berambut perak di sebelahnya. Gadis itu diam, dia hanya merenung lautan luas yang dipenuhi serpihan kayu itu.
"Kau tak apa-apa?"
Gadis bermata warna emas itu memandang Alex. Pernafasannya tampak teratur dan tenang , teragak-agak dia menganggukkan kepala. "Ya. Terima kasih sebab selamatkan aku."
Alex mengangguk. Dia diam dan mengamati wajah anggun gadis tersebut.
Sycatt melihat tingkah-laku Alex, tetapi dia tidak begitu ambil kisah tentangnya. Sycatt memandang ke arah gadis tersebut.
"Weihh, korang berdua ni siapa? Apa yang sebenarnya berlaku kat kapal tadi?"
Alex dan gadis itu serentak melihat ke arah Sycatt. Alex lantas menjawab. "Tadi kat kapal, aku jumpa dia kena ikat kat satu bilik stor. Kemudian perempuan ni cakap yang kapal ni sebenarnya kapal penyeludup."
"Kena ikat?" Sycatt melihat ke arah gadis cantik itu, dia mengangguk.
Diam seketika. Mungkin kerana penat atau juga kerana tiada siapa pun tahu ingin berkata apa, jadi tiada sesiapa bersuara buat sebentar.
"Aku Sycatt." Sycatt tiba-tiba bersuara. Dia memandang gadis tersebut, kemudian dia berpaling ke arah lain dengan kekoknya.
Gadis tersebut diam, kelihatan seperti terharu dengan sikap prihatin Sycatt. Dia mengukir senyuman. "Aku Martina."
Sycatt hanya mengangguk, sebelum dia teragak-agak menjeling ke arah Alex.
Alex yang memahami maksud jelingan itu lalu menjawab. "Panggil aku Alex."
Sycatt mengangguk. Dia kemudian menunjukkan kepada Verika. "Ni Verika."
Verika nampaknya masih mengah. Dia hanya tersenyum kecil apabila Sycatt memperkenalkan dirinya. Alex dan Martina sama-sama mengangguk sedikit sebagai tanda sapaan.
Mereka semua kembali senyap, masing-masing merenung laut. Mereka keliru, tidak tahu bagaimana mereka dapat selamatkan diri dalam keadaan ini.
"Jerung takde kat sini kan?" Sycatt tiba-tiba bersuara, dia tersengih dalam keadaan penat.
Mereka yang lain terkejut dengan soalan Sycatt. Verika pula memaparkan riak takut di wajahnya. Mereka kemudian ketawa. Mereka tahu, Sycatt hanya mencuba menenangkan hari semua orang agar tidak begitu resah.
Pada waktu itu, kelihatan sebuah kapal yang besar menghampiri. Mereka semua menjadi kalut, mencuba menarik perhatian kapal itu dengan pelbagai cara. Harapan mereka hanyalah agar dapat keluar daripada keadaan sekarang. Nasib baik, kapal mewah yang besar itu sedang menuju ke arah mereka. Bahkan, kapal yang terukir frasa Lucian D'Ambrosio tersebut berhenti berhampiran mereka. Alex, Verika, Martina dan Sycatt mendongak melihat kapal yang tinggi itu. Dapat mereka lihat kelibat tiga orang lelaki sedang berdiri di dek kapal memerhatikan mereka semua.

"Semua dah naik ke?" Seorang wanita berpakaian pembantu bertanya dengan lembut sebaik beberapa orang naik ke dek selepas menggunakan perahu yang sedia terikat di sisi kapal. Lebih kurang 15 orang yang terselamat itu saling memandang, sebelum mengangguk lemah.
Wanita itu menundukkan badannya sedikit. "Sila tunggu sekejap, ya? Kami perlu sediakan ruang untuk korang berganti pakaian."
Wanita itu berjalan pergi, dan masuk ke dalam kabin kapal mewah itu meninggalkan mereka semua di sana.
"Wah! Aku tak pernah tengok kapal sebesar dan sehebat ni seumur hidup aku!" Seorang lelaki bersuara teruja.
Sycatt melihat ke sekeliling kapal, begitu juga Verika dan Martina. Semua mengagumi dan mengakui kemegahan kapal tersebut.
Alex diam, dia turut mengagumi kapal tersebut. "Aku tak pernah tengok kapal seperti ini sepanjang aku hidup."
Suara Alex bagaikan memegang satu kuasa, semua orang serentak berpaling ke arahnya sebaik dia berkata-kata.
"Aku teringin nak tahu siapa pemilik kapal ni." Alex memusingkan kepalanya dan melihat ke arah sekumpulan lima lelaki yang berada berdekatannya. Lima lelaki tersebut adalah pengawal dan pembantu peribadinya. Untungnya, kelima-lima mereka terselamat daripada kejadian tadi.
Lima lelaki itu saling memandang, mereka diam. Seorang daripada mereka kemudian bersuara. "Maaf, tuan. Tapi aku sendiri pun tak pernah tahu tentang kewujudan kapal yang macam ni."
Alex diam, begitu juga mereka yang lain. Kini, mereka sudah dapat merasakan betapa misterinya kapal mewah tersebut.
"Tuan." Pembantu Alex menghampirinya. Alex hanya memandang lelaki tersebut tanpa bereaksi.
"Luka tuan."
"Oh." Alex menjeling lengannya. Dia sudah pun lupa tentang luka tersebut. Alex kemudian tersenyum.
"Biarlah dulu. Bukannya kita boleh rawatnya sekarang. Nanti kita minta ubat daripada sesiapa di kapal ni."
Alex tenang sahaja. Sepertinya luka itu tidak begitu mengganggunya sekarang. Alex melihat sekeliling, membuat perkiraan tentang jumlah orang yang terselamat. Terdapat empat orang perempuan termasuk Sycatt, Verika, dan Martina. Lebih kurang sepuluh orang lelaki termasuk dirinya dan para pembantunya. Terdapat satu perkara yang terlintas di fikirannya sebaik mengamati muka-muka yang terselamat.
"Sekejap. Kapten kapal dan orang-orang dia…takde yang selamat?"
Semua terkedu apabila mendengar pertanyaan Alex. Mereka saling memandang. Benar. Tiada satu pun daripada kru kapal yang berada bersama mereka ketika ini.
Memang menghairankan apabila tiada seorang pun daripada mereka yang selamat. Selaku individu-individu yang sentiasa di laut, semestinya mereka mampu berenang menyelamatkan diri.
Verika memandang sekeliling selepas bermain mata dengan Sycatt. Sycatt juga menunjukkan riak curiga. Verika merasakan jantungnya sedang berdegup dengan begitu kencang. Entah kenapa hatinya kini hanya teringatkan satu kisah.
"Kapal yang menguasai seluruh lautan." Verika bergumam, tetapi mampu didengari semua.
Alex memandang wanita berambut hitam itu dengan riak serius. "Macam pernah dengar."
Verika membalas pandangan Alex. Dia teragak-agak, sebelum menggelengkan kepala. "Aku…tak pasti. Aku lupa."
"Kapal yang takde siapa pun tahu betul ke wujud. Tetapi, ramai percaya yang kapal tu betul-betul ada." Martina memberikan jawapan bagi soalan yang tidak mampu dijawab oleh Verika.
Alex diam, dia rasa dia sudah ingat tentang kisah tu. 'Tak mungkin. Mungkin ni semua kebetulan sahaja.'
"Maaf kerana membuat kamu semua menunggu." Satu suara menarik perhatian semua. Wanita berpakaian pembantu tadi sudah kembali.
"Sila ikut saya. Saya akan bawa kamu semua ke bilik untuk menukar pakaian."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience