Di kawasan dek kapal yang mewah, seorang lelaki berpakaian segak berdiri megah memerhatikan laut yang luas terbentang. Lelaki bertubuh sasa, mengenakan seragam yang menampakkan statusnya sebagai kapten kapal itu memandang laut malam seakan-akan dia sedang memandang medan perang.
"Dah lama kita hidup macam ni, kan?" Suara seorang lelaki menegur dari belakang.
Zephyr memusingkan badannya sedikit, melihat ke arah Matthew yang sedang berjalan menghampirinya.
"Jangan kau bercakap macam tu lagi. Kau tahu kan, soalan macam tu boleh sebabkan apa?" Zephyr menjawab sambil memusingkan kembali badan menghadap lautan.
"Aku tahu." Matthew berdiri di sisi Zephyr, matanya tampak sayu memandang lautan.
"Sebab aku sendiri yang dah buat silap tu."
Melalui anak mata, Zephyr memerhatikan riak wajah Matthew ketika lelaki berkulit pucat itu mengucapkan kata-kata tersebut. Dia dapat melihat penyesalan pada wajah Matthew.
Zephyr mengembalikan pandangannya ke lautan. "Kau masih muda waktu tu. Dah tentu kau akan buat silap."
Matthew perlahan-lahan tersenyum kecil, dia menggerakkan mata dan melihat ke lantai dek. "Tapi, silap aku tu-"
Tiba-tiba, kapal berpusing ke satu arah. Seperti digerakkan suatu kuasa yang kuat, kapal itu bergerak pantas ke satu arah.
Pergerakan tiba-tiba kapal membuatkan Zephyr dan Matthew sama-sama hairan. Mereka saling memandang, sebelum kedua-duanya berpusing. Dua lelaki tampan itu ingin mengorak langkah, tetapi terhenti apabila mendapati seorang lelaki berambut biru sedang berjalan ke arah mereka dengan kedua-dua tangannya berada di belakang badan.
"Kenapa kau pusingkan kapal, Kaelen?" Zephyr bertanya. Nada tidak puas hati jelas kedengaran dalam suaranya.
Kaelen diam sejenak. Dia perlahan-lahan mengalihkan wajah ke arah lautan, arah di mana kapal tersebut sedang menuju. "Ada yang tak layak sedang berlayar di lautan ni."
Ringkas sahaja jawapan Kaelen, tetapi cukup untuk difahami oleh Matthew dan Zephyr. Zephyr yang sebenarnya masih marah kerana perbincangan sebelum ini, perlahan-lahan menenangkan diri.
Bertentangan dengan keadaan yang bising di bahagian depan dek kapal, suasana di bahagian belakang agak lengang. Tiada kelibat sesiapa lalu-lalang di situ, mungkin kerana semua orang sedang sibuk menikmati keseronokan yang terhidang di bahagian hadapan.
Alex berjalan perlahan-lahan, melihat kegelapan malam yang indah di lautan. Bintang-bintang berkedip menyerikan malam. Cuaca yang baik dapat diagak dengan melihat keadaan langit yang sangat indah itu.
Alex menarik nafas dalam-dalam, perlahan-lahan dia menyandarkan belakang tubuhnya pada satu pintu yang terdapat di situ. Dia terus menatap langit, menikmati pemandangan tersebut.
"Akhirnya, semua senyap." Alex bergumam sendiri. Lelaki itu perlahan-lahan menutup mata indahnya itu, fikirannya berpusing tentang kehidupannya selama ini. Dia penat, berusaha sedaya-upaya menjadi yang terbaik seperti yang diharapkan oleh ibu bapanya.
Meskipun penat, dia tidak pula pernah berfikir untuk keluar daripada kehidupannya kini. Dia sedar, semua kemewahan yang dia nikmati sekarang adalah bayaran untuk apa yang perlu dia lalui selama hidup. Cuma kadang-kadang, Alex berharap agar dia diberikan sedikit waktu untuk berehat. Jauh daripada hal-hal diplomatik yang memenatkan.
Tup! Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti benda jatuh dari dalam bilik di belakang Alex. Alex bersikap tenang, masih bersandar pada pintu bilik tersebut. Dia hanya mendekatkan sedikit telinganya pada pintu usang itu. Matanya membulat sebaik telinganya mendengar bunyi.
"Umh…hiks…hiks…" Suara tangisan yang tersekat-sekat, kedengaran dari dalam bilik itu.
Alex tidak menunggu lama, dia lantas menendang pintu bilik tersebut dengan sekuat tenaga. Untungnya, pintu tersebut sudah agak usang. Pintu tersebut terbuka hanya dengan satu tendangan sahaja.
Alex berdiri di pintu itu, kaku kerana tersentak dengan apa yang dilihatnya di dalam bilik tersebut.
Seorang gadis, berambut pendek paras bahu sedang meringkuk di lantai stor yang kotor dan usang itu dengan tangan dan kaki terikat. Pita pelekat menutupi keseluruhan bahagian mulut gadis berambut perak dan beralis tebal itu. Tubuh kecil gadis itu menggigil. Anak mata cantik berwarna emas gadis tersebut memandang Alex, bertakung dengan air mata. Begitu juga wajah cerah kemerahannya, sudah basah berkemungkinan kerana telah lama menangis.
"Minum!!" Lelaki berjanggut menjulang tinggi cawan berisi arak di tangannya. Senyuman lebar terukir di wajahnya, seolah-olah dia sudah pun berada di syurga yang penuh keseronokan.
"Minum!!!" Orang ramai menyambut seruan lelaki berjanggut itu, melagakan cawan mereka antara satu sama lain. Suasana yang tadinya memang bising, kini bertambah riuh. Kehadiran lelaki berjanggut yang berkemungkinan merupakan kapten kapal ini seakan-akan memberikan semangat baru untuk para penumpang lebih menikmati malam ini.
Di sudut meja wanita, keriuhannya tidak kurang hebat. Bahkan ada dalam seorang perempuan yang sudah pun meletakkan sebelah kaki di atas meja sambil menjulang-julang cawan umpama trofi. Hanya Sycatt dan Verika yang masih duduk dengan tenang. Dua orang perempuan itu tampak asyik berborak, seperti hanya mereka yang berada di meja itu.
"Jadi, kau betul-betul lari dari rumah?" Verika bertanya dengan nada terkejut.
Sycatt mengangguk. Dengan rakus dia meneguk arak dari cawannya. Meskipun dengan cara minum seperti itu, wanita berambut merah panjang itu langsung tidak kelihatan mabuk. "Boleh kata macam tu. Aku lari dari rumah yang macam neraka tu."
Terdiam Verika mendengar jawapan Sycatt itu. Perempuan berambut hitam lurus itu berasa ragu-ragu. Dia ingin tahu akan sebab Sycatt lari dari rumahnya, tetapi pada masa yang sama dia berpendapat bahawa dia tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan peribadi kawan baharunya itu.
"Tapi, aku tahu yang diorang takkan kisah pun kalau aku lari dari rumah. Bukannya diorang pernah peduli pasal aku pun." Sycatt menghentakkan cawan di meja, dia bernafas lega selepas membuat satu tegukan besar.
Verika menjadi curiga apabila mendengar kata-kata Sycatt itu. Dia tidak lagi ragu-ragu, kerana jelas baginya bahawa Sycatt tidak berniat ingin merahsiakan kisahnya. "Kenapa…kau fikir macam tu? Diorang tu keluarga kau ke?"
"Heh." Sycatt tertawa sinis dek soalan Verika. Perempuan bermata heterochromia itu menyandarkan belakang tubuh pada kerusi.
"Keluarga…aku tak pernah rasa yang diorang anggap aku macam keluarga. Sebab dah jelas yang diorang tak pernah nak aku hidup pun."
Hilang kata-kata, Verika memandang wajah Sycatt. Entah kenapa, dia dapat merasakan satu kisah hidup yang pahit di balik perwatakan gagah wanita itu. Verika perlahan-lahan menghulurkan tangan, memegang tangan Sycatt. "Kalau kau perlukan seseorang untuk berkongsi cerita, aku sudi-"
"Pusing kapal ni, sekarang!" Tiba-tiba satu suara kedengaran lantang. Verika dan Sycatt sama-sama melihat ke arah suara lelaki tersebut.
Alex sedang berdiri berhampiran kabin kapal. Wajahnya tampak marah. Tangannya memegang satu tangan kecil. Pemilik tangan tersebut tidak kelihatan, tersembunyi di belakang Alex.
Lelaki berjanggut yang berpenampilan seperti ketua kapal itu tampil ke hadapan, berjalan dengan bongkak ke arah Alex. "Apa yang kau cakap tadi?"
Mendabik dada, lelaki berjanggut itu jelas kelihatan geram dengan permintaan tiba-tiba Alex yang datang entah dari mana.
"Aku nak korang pusing kapal ni balik ke tempat kita bertolak tadi." Alex langsung tidak kelihatan gentar dengan perilaku yakin lelaki berjanggut. Dia teguh berdiri, menyatakan permintaannya.
Lelaki berjanggut hingga ke paras dada itu tertawa kecil. "Pusing? Kenapa pula? Dan kenapa pula aku perlu ikut cakap kau? Aku kapten kapal ni."
Dengan sombongnya, lelaki berjanggut tersebut memusingkan badan dan melihat ke seluruh kapal. Orang ramai, terutamanya anak-anak kapal tersebut bersorak menyatakan sokongan atas pernyataan kapten mereka.
"Jadi, sekarang ni bagitahu aku. Apa sebab kau buat permintaan macam tu?"
Alex merenung lelaki tua gagah itu, langsung tidak kelihatan rasa gentar pada wajah Alex. "Ini bukan permintaan. Aku arahkan kau pusing kapal ni sekarang. Semua orang akan turun dari kapal ni."
Mata lelaki berjanggut itu terbuntang dengan keberanian Alex. Lelaki tua itu mengangkat tangan, menunjuk ke arah muka Alex. "Kau? Arahkan aku?"
"Berlagaknya dia ni. Dia fikir dia siapa?"
"Hei, kau! Kau sedar tak yang kau sedang bercakap dengan ketua kitorang sekarang ni?"
"Kapten! Biar kitorang ajar budak kurang ajar ni!" Beberapa orang anak kapal menyatakan rasa tidak puas hati dengan sikap Alex yang kelihatan seperti tidak menghormati pemimpin mereka. Terdapat beberapa anak kapal sudah berdiri dan bersedia dengan senjata di tangan masing-masing.
Namun tidak seperti dijangka, lelaki berjanggut itu kelihatan bersahaja. Dia bahkan tertawa sambil mengangkat tangan memberikan isyarat supaya semua orang bertenang.
Tiba-tiba, lelaki tua yang merupakan kapten kapal itu mengeluarkan sepucuk pistol. Tanpa berlengah, muncung pistol itu ditekan pada dahi Alex.
Tepat pada masa yang sama, bunyi kerusi-kerusi terheret kedengaran dari satu arah. Sekumpulan lelaki yang duduk bersama Alex tadi sudah berdiri, masing-masing memegang pistol dan semuanya dihalakan ke arah kapten kapal tersebut. Pada waktu itu juga, suara seorang perempuan menjerit perlahan kedengaran. Suara yang seakan terkejut itu datangnya dari belakang Alex.
Semua menjadi bingung dengan apa yang sedang berlaku. Terutamanya anak-anak kapal tersebut, mereka tidak pasti apa yang mampu mereka lakukan dalam keadaan begitu banyak pistol sedang menyasarkan ketua mereka.
Verika yang sedang memerhatikan sejak daripada tadi bertambah-tambah keliru. Dia perlahan-lahan mendekatkan diri kepada Sycatt dan berbisik. "Apa yang sedang berlaku ni?"
Sycatt diam sejenak, mengamati keadaan sebelum turut berbisik. "Aku rasa, ada suatu yang tak kena dengan kapal ni."
Tanpa bergerak sedikit pun, Sycatt melihat ke arah sekumpulan lelaki bersenjata yang bersama Alex melalui bucu matanya. "Yang pasti, lelaki tu berpengaruh."
Mendengar kata-kata Sycatt, Verika turut melihat ke arah yang sama. Dia barulah sedar bahawa sekumpulan lelaki itu, termasuklah Alex sendiri berpakaian mewah seperti bangsawan. Verika perlahan-lahan melihat ke arah Alex semula, matanya mencuba mengintai ke belakang Alex. Niat Verika kini hanya satu, untuk memuaskan rasa ingin tahunya tentang suara perempuan tadi.
"Jangan risau, cuba kau berundur ke belakang sikit." Alex bersuara perlahan, tetapi cukup jelas sehingga mampu didengari oleh semua yang berada di kapal itu.
Patuh dengan kata-kata Alex, gadis yang sedang berdiri di belakangnya perlahan-lahan berundur. Dia melepaskan tangan Alex yang dipegang sejak tadi. Wajah gadis itu akhirnya dapat dilihat oleh semua. Seorang perempuan bertubuh kecil dengan rambut berwarna perak yang sangat indah itu tampak takut-takut.
Share this novel