Langit malam gelap, sesekali diterangi sinar petir yang membelah langit. Di laut luas yang gelita itu, sebuah kapal layar mewah berlayar megah meskipun dalam keadaan ribut yang diselangi guruh.
"Bagaimana keadaannya?"
Di dalam sebuah bilik yang sangat mewah, seorang lelaki berdiri di sisi seorang lelaki yang terbaring lemah di atas katil. Terdapat beberapa orang berada di dalam bilik tersebut, dan fokus semua kelihatannya tertumpu pada lelaki yang sedang berbaring itu.
Seorang wanita dengan anggun berdiri daripada duduknya di atas katil itu. Wanita yang kelihatan seakan-akan berusia belasan tahun itu memandang lelaki yang bertanya tadi sebelum perlahan-lahan menggelengkan kepalanya.
Seakan memahami makna isyarat perempuan cantik itu, lelaki itu berpaling ke belakang. Jejaka bertubuh tegap itu memandang ke arah dua orang lelaki yang berdiri berhampiran di belakangnya.
Dua orang pemuda, seorang berpakaian kemas bersut dan berkaca mata manakala seorang lagi berpakaian seragam pelaut zaman Victoria membalas pandangan lelaki tadi. Mereka berdua saling memandang.
"Mulakan persiapan." Lelaki berkaca mata berkata dengan suara garaunya. Hanya dengan dua patah perkataan itu, mereka yang memenuhi ruang bilik perlahan-lahan mula beransur keluar.
Lelaki yang berseragam tadi memerhatikan bilik yang semakin kosong. Apabila semua sudah keluar, dia berbalas pandang dengan lelaki berkaca mata sebelum mereka berdua melutut di sisi katil tadi.
"Tuan." Lelaki berseragam bersuara dengan suara dalamnya. Kepalanya tertunduk.
Sebaik mendengar suara pemuda itu, lelaki yang sedang berbaring di atas katil itu perlahan-lahan melihat ke arah mereka berdua. Wajahnya nampak muda sekitar 30-an, dengan hanya sedikit sahaja kedut di bahagian bawah matanya. Tiada langsung jejak seperti orang sudah berumur terpapar pada wajah yang tampan dan menawan itu.
Kedengaran lelaki itu tertawa, tersekat-sekat dan lemah. "Zephyr, kamu…memang sangat kuat. Tidak…terkalah…"
Lelaki bernama Zephyr yang berotot dan bertubuh besar itu memandang dalam mata lelaki yang terbaring. "Tidak, Tuan. Tuan lebih-"
"Terimalah permintaan…orang tua ini. Kapal ini…jagalah dengan nyawamu…" Lelaki yang kurus kering itu memotong percakapan Zephyr dengan suaranya yang tersekat.
Zephyr merenung wajah lelaki yang dihormatinya itu. Wajah lelaki berseragam itu tampak garang, namun ada kesedihan yang terselit padanya. "Tugas itu…akan aku lakukan walaupun tidak tuan arahkan."
Tersenyum lelaki yang terbaring itu sebaik mendengar kata-kata Zephyr. Dia senyap seketika sebelum memanggil suatu nama. "Matthew…"
"Tuan..." Suara lelaki berkaca mata itu kedengaran sayu, perlahan sahaja sehingga hampir tidak kedengaran.
Lelaki yang terbaring di atas katil itu hanya merenung siling. Dia mengangkat tangannya yang menggigil lemah lalu diletakkan di atas kepala jejaka bersut kemas itu.
"Matthew anakku...kamu, adalah sebahagian daripada kami. Kita, adalah keluarga…" Terketar-ketar suara lelaki yang sedang berbaring itu.
Lelaki berkaca mata, Matthew, kekal melutut dengan kepalanya tertunduk ke bawah. Tubuh jejaka berkulit pucat ini kelihatan menggeletar, tidak kurang juga suaranya apabila dia bersuara. "Tuan..."
"Panggillah aku…ayah…" Senyum yang lemah terukir pada wajah lelaki yang terbaring itu.
Mata Matthew membulat apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Menggigil, Matthew mengangkat wajahnya lalu memandang wajah yang tersenyum di atas katil itu. Perlahan-lahan, air mata mengalir keluar daripada kelopak matanya. "Ayah…"
Mendengar seruan Matthew, lelaki yang terbaring di atas katil itu perlahan-lahan menganggukkan kepalanya. "Senyumlah, anakku…"
Air mata Matthew lantas turun mencurah sebaik mendengar kata-kata lelaki itu. Matthew bangun. Sambil tersenyum, Matthew mengucup lembut dahi lelaki berpipi cengkung itu. "Ayah… ayah, terima kasih."
Dengan tangan menggeletar, lelaki yang sedang terbaring itu mengusap belakang tubuh sasa Matthew.
Suasana di dalam bilik menjadi sepi, dibiarkan dua individu itu melayan hiba masing-masing. Selepas beberapa ketika, Matthew menenangkan diri lalu menjarakkan dirinya daripada lelaki yang dianggapnya sebagai ayah itu. Pandangan lelaki itu perlahan-lahan teralih ke arah lelaki yang diam sedari tadi. Rambut biru lelaki yang sedang terbaring itu secara tiba-tiba berkilau apabila dia senyum kepada lelaki yang setia berdiri di sampingnya dari tadi.
Lelaki berambut hijau gelap, berdiri kaku memandang kosong wajah penat yang terbaring di hadapannya itu.
"Anakku…" Lelaki berambut biru itu mengangkat tangannya yang menggeletar, dan lelaki berambut hijau tadi dengan pantas mengambil dan menggenggam tangan tersebut.
"Ayah." Perlahan sahaja suara lelaki tampan berambut hijau itu. Anak mata berwarna hijau zamrudnya memandang sayu wajah bapanya yang sedang bergelut dengan keperitan menghampiri maut.
"Kamu…jagalah mereka semua. Dunia ini…ayah amanahkan kepada kamu untuk…pertahankannya." Lelaki bertubuh keding itu terbatuk-batuk.
Jejaka bermata hijau itu mengeratkan genggaman tangannya, seakan-akan tidak mahu melepaskan tangan itu pergi. "Akan aku usahakan, ayah."
Wajahnya tampak tenang seperti tidak berperasaan. Meski begitu, suaranya terketar-ketar. Anak matanya bergerak-gerak seperti tidak mampu untuk bertenang.
Lelaki yang terbaring lemah itu terbatuk-batuk lagi. "Kamu…pasti mampu lakukannya."
Anak lelaki itu tidak lagi bersuara. Dia hanya memandang ayahnya sambil menganggukkan kepala. Tangan yang sedang menggenggam tangan ayahnya itu menggigil hebat.
Nafas lelaki bermata biru muda itu mula menjadi tidak sekata. Dadanya turun naik dengan jelas sekali. Sempat dia mengukir senyum, sambil tangan lemahnya membalas genggaman tangan anaknya. "Ayah sangat…sayangkan kamu…ibu kamu…"
Lelaki itu berhenti berbicara tanpa sempat menghabiskan ayatnya. Tangannya longlai sebaik dia menghembuskan nafas terakhirnya. Tepat pada waktu itu juga, kapal mewah itu mulai bergegar seakan-akan ingin karam.
Zephyr dan Matthew saling memandang sebaik menyedari keadaan tersebut. Matthew menghampiri lelaki yang masih menggenggam tangan ayah angkatnya itu. Dengan lembut, Matthew meletakkan tangannya di atas bahu lelaki itu. Selepas beberapa ketika, Matthew lalu keluar dari bilik tersebut bersama Zephyr.
Kapal itu mulai runtuh, namun lelaki tadi langsung tidak berganjak. Dia langsung tidak peduli dengan apa-apa. Kapal yang hampir karam, mahupun ayat terakhir ayahnya yang tidak habis.
Hanya satu sahaja perkara yang bermain di fikirannya ketika ini. Ayahnya sudah tiada.
Lelaki itu kekal begitu buat suatu tempoh sebelum dia perlahan-lahan bangkit sambil mendukung tubuh kaku ayahnya.
Semua orang kini berada di atas perahu-perahu kecil. Mereka semua berkumpul di suatu posisi, bersebelahan dengan kapal yang sudah mulai karam itu. Mereka semua kelihatan menundukkan kepala, seperti sedang berkabung akan kehilangan seseorang yang sangat berharga.
Kepala semua orang kemudiannya terangkat. Mata mereka tertumpu pada satu arah, iaitu ketibaan individu yang mereka nantikan sejak tadi. Lelaki berambut hijau itu tiba dengan ayahnya di tangannya.
Lelaki bertubuh sasa itu berjalan dengan tenang di permukaan air. Dia berhenti di hadapan semua orang yang sedang menunggunya itu. Wajah mereka semua ditatap satu-satu. Tiba-tiba, lelaki bermata hijau zamrud itu masuk ke dalam air laut itu bersama mayat ayahnya.
Di dalam laut itu kini hanya tinggal lelaki berambut hijau dan mayat ayahnya sahaja. Jejaka itu menatap wajah ayahnya sekali lagi. Dia menggapai tangan lelaki berambut biru yang tidak lagi bernyawa itu lalu mengucupnya.
"…pun, sangat sayangkan ayah."
Sebaik sahaja lelaki itu berbisik, kawasan sekeliling mereka mula memancarkan sinar. Ombak laut menjadi ganas. Mereka yang berada di atas perahu tadi terpaksa bergelut untuk tidak terjatuh ke dalam laut.
Kapal layar yang besar dan megah itu dalam sekelip mata karam, seakan-akan disedut begitu sahaja oleh laut. Petir dan guruh berganti-ganti di langit malam. Tidak lama selepas kapal layar itu karam, tiba-tiba ombak terbentuk dari dalam dasar laut.
Perlahan-lahan, sesuatu yang lebih kurang besarnya dengan kapal layar tadi mulai timbul dari dalam laut. Beberapa perahu terbalik apabila sebuah kapal persiaran moden yang mewah dan canggih muncul di permukaan air pada posisi yang sama seperti posisi kapal layar tadi tenggelam.
Kapal persiaran itu, nampak megah dan mahal. Seakan-akan hotel bertingkat-tingkat dibina di atas kapal itu. Gaya binaannya juga menjadikan orang yang berada di perahu tadi seperti berada di zaman yang berbeza. Mereka semua terpegun melihat kapal yang baru sahaja timbul itu, bagaikan melihat sesuatu yang datang dari masa hadapan. Di dinding kapal tersebut, terukir satu ungkapan.
Lucian D'Ambrosio
Share this novel