"Perlu ke saya uruskan mereka semua seperti biasa? Jumlah yang terselamat kali ni agak ramai." Wanita berpakaian pembantu itu menundukkan kepala, membuktikan betapa hormatnya dia kepada tiga lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu.
"Pelik juga, agak ramai yang selamat malam ni. Biasanya dua tiga orang je yang kau biarkan hidup." Matthew bersuara, keningnya berkerut memandang Kaelen.
Zephyr turut merenung Kaelen yang menundukkan kepala sedari tadi. "Kau…memang sengaja biarkan seramai tu yang hidup, kan?"
Pertanyaan Zephyr tidak mendapat sebarang jawapan. Kaelen menundukkan wajah, dia membelek-belek tangannya. Matthew serba-salah memandang lelaki yang dianggap seperti abang kandungnya itu, soalan Zephyr mengganggu fikirannya.
"Hah…" Kaelen mengeluh berat. Keluhan daripada lelaki berambut hijau itu seakan-akan membawa aura, mendiamkan satu bilik tersebut.
Kaelen kekal menundukkan kepala, bermain-main dengan jarinya sendiri. "Ini yang terakhir, jadi aku nak pastikan yang semuanya cukup untuk tempoh yang lama."
"Apa?!" Zephyr bangkit daripada duduknya. Dia memandang Kaelen dengan riak tidak percaya.
"Kau betul-betul…nak lepaskan semua ni ke? Macam mana dengan-"
"Aku pun dah tak tahu." Kaelen memotong kata-kata Zephyr. Perlahan-lahan, lelaki tampan itu turut berdiri dan merenung wajah Zephyr.
"Aku pun dah tak tahu, apa yang patut aku buat. Semuanya…serba tak kena."
Hening suasana di bilik itu. Mereka saling memandang. Wanita yang berpakaian seperti pembantu rumah tadi kelihatan tidak tenang, jelas tidak selesa apabila dia perlu mendengar pertelingkahan di antara para lelaki itu.
Zephyr membalas renungan mata Kaelen. Dia dapat melihat kepenatan dan rasa putus asa dalam mata lelaki yang telah dikenalinya sekian lama itu. Zephyr perlahan-lahan menghembuskan nafas berat. "Aku rasa, kau perlukan rehat."
Zephyr melihat ke arah Matthew melalui bucu matanya. Matthew yang sedar akan pandangan mata Zephyr lantas faham dan bersuara. "Buat sementara waktu ni, biar kitorang yang uruskan hal-hal kapal ni. Kau rehatlah, Kaelen."
Kaelen memandang Matthew sejenak. Tanpa bersuara, Kaelen menundukkan kepala. Dia mengangguk lemah, sebelum berjalan keluar bilik.
Ketiga-tiga individu yang masih ada di bilik itu hanya memerhatikan Kaelen berjalan pergi. Mereka semua senyap, mungkin terkesan dengan apa yang berlaku.
Di sebuah bilik mandi bersaiz kecil, air turun dari pemancur air membasahi tubuh Sycatt. Sycatt membelai-belai rambutnya yang basah. Mata wanita itu tertutup, rasa lega terpapar pada wajahnya.
Perlahan-lahan Sycatt membuka mata, dia merenung dinding ruang mandi itu yang dipenuhi dengan wap. "Hah…"
Satu keluhan terlepas daripada celahan bibir wanita tersebut. Anak matanya perlahan-lahan bergerak ke arah tubuhnya sendiri. Sycatt mengamati badannya yang dipenuhi luka. Hatinya berasa pedih apabila kenangan daripada memori silam kembali berputar dalam kotak fikirannya.
Memori-memori itu masih jelas. Dia seolah-olah dapat melihat dirinya yang agak muda sedang mengangkut kayu-kayan dari hutan ke pasar. Kemudian dia memikul barang-barang dari pasar untuk dihantar ke tempat-tempat tertentu mengikut pesanan.
Ingatannya menggambarkan pula dirinya yang masih kanak-kanak. Sycatt meraung-raung menangis di sisi satu pusara. Budak perempuan itu juga dimarahi oleh seorang lelaki yang dipanggilnya ayah, pada masa yang sama dia tidak henti-henti dibuli oleh seorang lelaki yang kelihatan sedikit lebih tua daripada dirinya.
Sycatt mengepal penumbuk, diletakkan tangan yang dikepal itu di atas dinding ruang mandi tersebut. Setitis air, mengalir keluar daripada kelopak matanya. Sekejap sahaja Sycatt berada dalam keadaan tersebut, dia cepat-cepat mengesat air mata itu. Nafas ditarik dalam-dalam, Sycatt menutup pemancur air dan bersedia untuk keluar dari bilik mandi.
Di bilik lain, Martina membelek-belek pantulan dirinya di cermin bersaiz manusia. Dia memastikan pakaian yang dipakainya terletak elok dan sesuai dengannya.
TOK! TOK!
"Masuklah." Martina lantas menjawab ketukan pintu bilik. Tetapi matanya masih tetap tertumpu pada cermin di hadapannya.
Pintu dibuka perlahan-lahan, seorang gadis muda berpakaian pembantu masuk dengan sopannya. "Maaf, tetapi saya datang nak pastikan kalau cik perlukan apa-apa lagi."
Martina diam sejenak, dia tidak lagi melihat ke cermin. Perlahan-lahan, perempuan berambut perak itu berpaling dan memandang gadis berpakaian pembantu tersebut. "Boleh tolong hubungi keluarga saya?"
Cara bercakap Martina kelihatan elegan, tetapi ada sedikit nada sombong. Gayanya berdiri menghadap perempuan berpakaian pembantu itu juga tampak penuh yakin, seolah-olah dia sudah biasa dengan cara pergaulan seperti itu.
Perempuan berpakaian pembantu itu pula kelihatan terkejut apabila mendengar pertanyaan Martina. Dia cepat-cepat menundukkan wajah dan mengelak pandangan mata Martina. "S…saya akan cuba tanyakan hal tu kepada majikan saya."
Martina terkedu melihat reaksi gadis muda itu. Dia berasa aneh melihat kelakuan gadis tersebut yang nampak serba-salah dan agak takut. Martina perlahan-lahan berjalan ingin menghampiri perempuan itu. "Jangan risau. Saya dah biasa berkomunikasi jarak jauh. Awak cuma perlu beritahu peralatan apa yang ada di kapal ni dan di mana ia berada. Saya boleh buat selebihnya sendiri."
Gadis berpakaian pembantu itu menjadi semakin gelisah apabila Martina tiba-tiba menghampirinya. Dia cepat-cepat berundur. "Y…ya. Nanti saya akan beritahu selepas saya maklumkan pada majikan saya."
Dengan pantasnya, gadis itu menapak keluar dari bilik tersebut.
"Eh, tunggu." Martina cuba ingin mengejar gadis tersebut. Tetapi, sebaik dia keluar dari bilik, dia mendapati dua orang lelaki sedang berjalan menghampiri.
Kelihatan Alex sedang berjalan bersama seorang lelaki yang merupakan pembantunya. Mereka berdua nampaknya seperti sedang berbincang tentang sesuatu sebelum Alex menyedari Martina yang sedang berdiri di pintu bilik.
"Martina?"
Martina tersenyum malu-malu. Dia hanya menganggukkan kepala perlahan-lahan untuk membalas sapaan Alex.
Alex dan pembantunya lalu berjalan ke arah Martina.
"Kau dah siap tukar pakaian?" Alex bertanya sebaik dia berdiri dekat dengan Martina.
Martina senyum lembut dan menganggukkan kepala. "Ya, baru siap."
Perlahan-lahan anak mata Martina bergerak, melirik ke arah lelaki yang berdiri di samping Alex.
Lelaki bermisai itu menyedari lirikan mata Martina. Dia cepat-cepat mengukir senyuman dan menghulurkan tangan kepada Martina. "Oh, maaf atas pengenalan diri yang lewat. Aku James. Pembantu peribadi Alex."
Dengan mulut yang ternganga, Martina menganggukkan kepala. Dia menghulurkan tangan bagi menyambut huluran salam James. "Aku Martina."
James merenung wajah cantik Martina, dia tersenyum ceria apabila bersalaman dengan perempuan bermata keemasan itu.
'Dia ni…' Martina turut tersenyum, dia merenung wajah lelaki yang kelihatan seperti seseorang yang dikenalinya itu.
Lama tangan Martina dan James saling berpegangan, mereka seolah-olah terkaku dengan fokus masing-masing tertumpu pada wajah individu di hadapan mereka. Alex mengamati dua orang yang saling bersalaman itu, dia berdehem lembut.
Martina agak terkejut, dengan pantas dia menarik tangannya daripada pegangan James apabila mendengar suara Alex. Begitu juga James, dia tersengih kekok sambil menggaru-garu bawah dagunya.
Martina ketawa malu, dia melihat ke arah Alex dan bertanya perlahan. "Korang berdua dari mana?"
Alex mengamati pipi Martina yang kelihatan agak kemerahan daripada kebiasaan. Entah kenapa, hatinya berasa kurang senang dengan situasi itu. Alex melihat James di sisinya yang masih tersengih-sengih memandang Martina, sebelum dia kembali menumpukan perhatian terhadap wanita di hadapannya itu. "Kitorang baru lepas ganti baju, dari bilik."
"Tuan nak jalan-jalan di sekeliling kapal. Dia kata dia rasa kurang senang dengan kapal ni." James menyambung ayat Alex.
Alex menjeling James sebaik lelaki bermisai itu bersuara. Jelas rasa tidak puas hati terpapar dalam jelingan Alex. James menyedari jelingan tajam Alex, dia lantas memahami maknanya. Cepat-cepat James mengunci mulut dan mengalihkan pandangan ke arah lain.
Martina dapat melihat situasi itu. Tenang sahaja riak wajah perempuan itu. Perlahan-lahan, Martina berjalan menghampiri Alex lalu berbisik di telinga Alex. "Ada sesuatu yang tak kena dengan kapal ni kan?"
Pipi Alex bertukar merah sebaik suara lembut Martina melalui celah lubang telinganya. Alex diam seketika, dengan tenang dia cuba bersikap bersahaja meskipun jantungnya kini berdegup lebih kencang daripada tadi. Lelaki berambut perang itu perlahan-lahan menggerakkan wajahnya ke arah wajah perempuan berambut perak di hadapannya. "Kau pun…ada perasan sesuatu ke?"
Kali ni giliran pipi Martina pula membahang. Jantungnya berdegup laju apabila mata biru Alex berada begitu dekat, betul-betul di hadapan wajahnya. Martina secara spontan menapak ke belakang, dia cepat-cepat menundukkan kepalanya. "A…ada beberapa benda yang buat aku terganggu. Tapi, aku pun tak pasti kalau ni cuma perasaan aku je."
Alex memerhatikan reaksi Martina. Pipinya masih merah kerana perbuatan Martina tadi. Alex dapat melihat pipi Martina yang turut berwarna merah. Dia juga tidak tahu kenapa, tetapi hatinya berasa senang dengan apa yang dilihatnya kini. Alex tersenyum kecil.
James yang berdiri diam sejak tadi dapat melihat senyuman kecil yang terukir pada wajah Alex. Dia tergamam dengan apa yang dilihatnya. James kemudian melihat ke arah Martina, pipi merah perempuan itu menjadi tumpuannya. James diam seketika, sebelum dia memuncungkan bibir seperti merajuk dan melihat ke arah lain semula.
Share this novel