Bab 4

Fantasy Series 77

"Kali ni, apa sebabnya kita kena karamkan mereka? Perlu ke kita teruskan apa yang kita buat ni?" Matthew menghampiri Kaelen, dahinya berkerut.
Kapal mewah yang dinaiki oleh tiga pemuda tampan tersebut bergerak dengan kelajuan luar biasa, seakan-akan sedang mengejar sesuatu. Pergerakan kapal itu juga begitu mudah, bagaikan laut itu sendiri sedang membantu pergerakannya.
"Kenapa? Kau rasa kita patut berhenti ke?" Kaelen memandang Matthew. Wajah Kaelen tidak mempamerkan sebarang reaksi.
Matthew teragak-agak ingin menjawab. Lelaki berkulit pucat itu melihat sekilas ke arah Zephyr yang berdiri dekatnya. Matthew bersuara perlahan. "Aku…pun tak pasti. Cuma, aku rasa macam kita dah tak perlu cari orang lagi. Orang untuk untuk kita guna kat kapal ni macam dah cukup."
Diam sahaja Kaelen apabila mendengar kata-kata Matthew. Kaelen memandang ke langit, tenggelam dalam fikirannya. "Aku tahu…korang mesti dah penat dengan semua ni."
"Bukan tu yang aku maksudkan." Matthew melangkah ingin menghampiri Kaelen.
"Aku janji, ni yang terakhir untuk musim ni." Kaelen memandang Matthew, perlahan-lahan anak mata berwarna hijaunya bergerak melihat Zephyr.
"Lepas ni, terpulang pada korang untuk uruskan semuanya." Sejurus bersuara, Kaelen berpusing dan melangkah untuk masuk ke dalam kawasan kabin. Tetapi suara Zephyr menghentikan langkah kakinya.
"Kau ni…kau memang nak buat aku marah je kan? Kau tahu kan, semua takkan mampu ada kalau kau takde?"
Kaelen melihat ke arah Zephyr, dia hanya tersenyum kecil. Ada kesayuan pada senyuman lelaki tampan berkulit putih cerah itu. "Kau tahu kan? Sejak dulu, aku buat semua ni sebab aku rasa ni yang terbaik untuk kita."
Zephyr dan Matthew sama-sama mengunci mulut mendengar kata-kata Kaelen. Kaelen menatap mata kedua-dua individu yang sangat penting dalam hidupnya itu. Seperti ada kepenatan yang tersirat di sebalik tatapan mata Kaelen.
Perlahan-lahan, Kaelen kembali meneruskan langkah ke kabin sambil bergumam. "Tapi sekarang, aku rasa semua ni bukan lagi yang terbaik."

Pendedahan gadis cantik berkulit putih kemerahan itu membuatkan ramai tertanya-tanya. Bagi anak-anak kapal pula, mereka tampak terkejut dan ada beberapa yang menunjukkan keresahan. Verika dan Sycatt saling memandang, juga keliru.
Lelaki berjanggut itu diam, ada riak terkejut pada wajahnya tetapi sekejap sahaja. Dia kemudiannya tergelak besar. "Sekarang aku dah faham. Jadi sebab nilah kau nak turun dari kapal ni? Sebab kau baru sedar yang kau dah kena tipu?"
Kapten kapal itu dengan sengaja menekan suaranya ketika menuturkan ayat terakhir. Pernyataan itu membuatkan orang di atas kapal berbisik-bisik.
"Tipu? Apa maksudnya?"
"Apa sebenarnya yang berlaku ni? Sape perempuan tu?"
"Aku tak fahamlah, apa semua ni?"
Dalam desas-desus itu, lelaki berjanggut dan Alex kekal berdiri sambil menatap satu sama lain. Lelaki itu kemudiannya memusingkan badan untuk menghadap penumpang-penumpang kapalnya. "Untuk pengetahuan semua, aku takde niat nak bawa kapal ni ke tempat yang korang nak pergi."
"Apa?"
"Apa maksud kau?"
Oleh kerana kata-kata lelaki tua itu, suara bisik-bisik itu mula berubah kepada keriuhan.
Kapten kapal itu tersengih jahat, dia dengan bersahajanya bercerita secara penuh rancangan sebenarnya. "Aku dah bagi korang bergembira kan malam ni? Korang boleh berpesta arak sepuas hati korang. Jadi, korang kenalah bayar aku balik. Aku akan jual korang di pusat lelongan hamba nanti."
Tergelak besar lelaki tua itu apabila mampu mendedahkan rancangan jahatnya kepada semua orang. Pengakuannya itu membuatkan suasana menjadi riuh, rasa panik dan gelisah mula menguasai orang ramai di situ.
"Tak guna." Satu das tembakan dilepaskan daripada salah seorang lelaki yang bersama Alex. Tetapi, lelaki berjanggut yang menjadi sasarannya sempat mengelak bahkan berjaya mencapai seorang wanita berdekatan untuk dijadikan tebusan.
BANG! Lelaki berjanggut itu melepaskan tembakan di udara, memberi amaran. "Kalau tak nak sesiapa mati, baik korang semua jangan nak melawan."
Keadaan menjadi tegang serta-merta. Lelaki-lelaki bersama Alex juga langsung tidak bergerak kerana bimbang akan mencederakan orang lain.
Kapten kapal itu melihat sekeliling, mengamati wajah seorang demi seorang anak kapalnya. "Korang semua dapatkan seorang tebusan. Ikat diorang semua ni."
Sebaik lelaki berjanggut itu bersuara, anak-anak kapal tersebut mula bergerak mendapatkan tebusan. Keadaan kembali menjadi bising. Ada yang cuba melawan, ada juga yang merayu supaya dilepaskan.
Wanita yang menjadi tebusan kapten kapal turut melawan. Dia meronta mohon dilepaskan apabila seorang lelaki menghampiri untuk mengikat tangannya. Kapten kapal yang sudah rasa geram sejak tadi tanpa teragak-agak menembak kepala wanita itu.
Suasana menjadi lebih kucar-kacir apabila ada individu yang sudah terbunuh. Seorang lelaki menghampiri Verika. Dia merentap tangan Verika, menarik Verika untuk mengikatnya. Verika yang terkejut cepat-cepat meronta, wanita bertubuh tinggi itu tanpa teragak-agak menggigit tangan lelaki tersebut sehinggakan lelaki itu meraung kerana sakit.
Verika yang berjaya melepaskan diri melihat sekeliling. Sycatt kelihatan sedang bergelut dengan dua orang anak kapal. Sycatt cuba melawan, menyebabkan dua lelaki itu masih tidak mampu menundukkan perempuan bertubuh sasa itu. Verika cepat-cepat membantu, menghentakkan satu cawan besi pada kepala salah seorang anak kapal tersebut.
Lelaki yang dihantuk kepalanya oleh Verika berpaling, memandang Verika dengan penuh rasa marah. Tetapi belum pun sempat dia melangkah, tiba-tiba sahaja belakang kepalanya dihentak lagi. Hentakan kuat oleh tong berisi arak itu membuatkan lelaki itu langsung pengsan kali ini. Sycatt tersenyum, menepuk-nepuk tangannya seperti sedang membersihkan debu. Seorang lagi lelaki yang cuba mengikat Sycatt tadi kelihatan sudah terbaring kaku, entah bagaimana Sycatt menumbangkan lelaki tersebut.
Sebaik keriuhan itu mula berlaku, Alex dengan pantas mencapai tangan gadis berambut perak itu. Dia berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankan dirinya dan gadis tersebut daripada jatuh ke dalam usaha musuh.
Lelaki berjanggut tadi melihat-lihat sekeliling. Kegeraman jelas terpancar di wajahnya dek keadaan kapal yang huru-hara itu. Mata lelaki itu mendarat pada Alex, rasa geramnya bertambah kepada lelaki yang telah menghancurkan rancangannya itu.
Dalam keriuhan itu, dia mengangkat pistol dan mengacukannya ke arah Alex. Hanya dengan sedikit pergerakan jari telunjuknya, satu peluru meluru laju ke arah Alex. Nasib baik, tembakan itu tidak tepat dan hanya terkena sedikit di bahagian lengan Alex.
"Ahh!" Alex meraung apabila dia merasa kepedihan peluru yang bergeser agak dalam dengan kulitnya. Alex cepat-cepat menunduk, menarik gadis berambut perak untuk bersembunyi bersamanya di balik sebuah meja yang sudah terbalik.
"Tuan!" Bunyi pistol dan raungan seorang lelaki menarik perhatian semua melihat ke arah Alex. Dek kerana marah, lelaki yang ternampak kejadian Alex ditembak lantas melepaskan tembakan bertubi-tubi kepada kapten kapal tersebut.
Sedar dirinya menjadi sasaran, kapten kapal tersebut dengan pantas berselindung di belakang satu tong besar. Tiada satu peluru pun yang mengenainya.
Alex yang sedang bersembunyi dalam keriuhan itu dibasahi peluh dingin. Wajahnya berkerut menahan rasa pedih kerana tembakan tadi. Tangan Alex terketar-ketar apabila dia mengoyak sedikit bajunya dan menggunakan kain tersebut untuk menutup luka tersebut.
Gadis yang bersembunyi bersamanya diselubungi kerisauan. Suaranya terketar-ketar apabila dia menghulurkan tangan untuk membantu membalut luka di lengan Alex. "K…kau tak apa-apa?"
Alex memandang mata keemasan gadis itu. Jantungnya berdegup laju ketika itu. Mungkin kerana keadaan yang kucar-kacir itu. Mungkin juga kerana kesakitan yang dirasakan ketika ini. Dia juga tidak pasti kenapa.
Tiba-tiba, kapal itu teroleng-oleng dengan kuatnya. Gadis berambut perang itu lantas jatuh di pangkuan Alex. Alex yang menyedari keadaan kapal yang berayun itu dengan pantas merangkul gadis tersebut menggunakan sebelah tangannya, memastikan gadis itu tidak terumbang-ambing. "Apa yang berlaku?"
Alex melihat ke langit, semua yang berada di kapal juga melihat ke arah yang sama. Langit tampak menyeramkan. Langit gelap itu menjadi cerah kerana kilat yang sabung-menyabung. Ombak tinggi merempuh kapal tersebut berulang kali, sepertinya akan berlakunya ribut yang dahsyat.
"Tak guna! Macam mana boleh jadi ribut pula ni!" Seorang anak kapal bersuara keras, tumpuan mereka kini tertumpu pada langit.
"Angkat layar! Cuba hidupkan enjin kecemasan, tengok kalau kita boleh cari daratan!" Kapten kapal tiba-tiba sahaja keluar daripada persembunyian dan memberikan arahan.
Mendengar arahan kapten mereka, seorang anak kapal berlari ke arah tiang layar. Tiba-tiba, kilat yang menyabung menyambar tiang layar itu menyebabkannya terbakar.
Para wanita menjerit, keadaan menjadi semakin riuh apabila tiang layar tersebut dijamah api.
"Selamatkan diri."
"Tidak! Kita akan karam ke?!"
"Tolong! Tolong!"
Bukan sahaja para penumpang, anak-anak kapal turut dilanda resah. Mereka panik dan tidak mampu memikirkan cara untuk mengatasi keadaan berikut.
Ombak yang menjulang sejak tadi menjadi lebih ganas. Kapal terumbang-ambing dipukul ombak yang tinggi dan deras itu. Semua orang mencuba berpaut pada apa-apa sahaja yang mampu dicapai. Ramai yang terpelanting jatuh ke laut.
Tiang layar yang sedang marak terbakar tumbang ke dek kapal. Orang ramai cuba melarikan diri daripada menjadi mangsa tiang berapi tersebut. Namun, ramai yang menjadi korban tiang itu, ada juga beberapa yang melayang ke laut kerana gegaran daripada runtuhan itu.
Bagaikan ingin menunjukkan bahawa maut telah pasti bagi semua yang berada di kapal itu, kapal tersebut mulai hancur kerana tiang yang tumbang tadi. Api daripada tiang tersebut perlahan-lahan merebak. Maknanya, semua perlu selamatkan diri. Bukan sahaja daripada ombak yang menggila, tetapi juga daripada api yang membahang. Hanya satu sahaja jawapan bagi semua penumpang kapal itu, iaitu terjun ke laut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience