Langit diterangi sinar mentari yang membahang. Burung-burung terbang dengan riang menandakan bahawa hari ini adalah hari yang sesuai untuk semua keluar menjalani pekerjaan masing-masing. Di lorong kampung yang sempit, ramai orang lalu-lalang menuju ke destinasi masing-masing.
"Maaf, boleh hantar saya ke lokasi ni tak?" Seorang wanita berpakaian lusuh dengan rambut paras dada yang dibiarkan mengurai menunjukkan satu kertas kepada seorang lelaki yang berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta.
Lelaki bertopi itu merenung tulisan yang tercatat pada kertas yang dipegang wanita tadi, sebelum menggelengkan kepala. "Jauh tempat ni, cik. Saya tak hantar sampai ke situ."
"Oh, ya ke?" Wanita yang kelihatan berusia lewat 20-an itu tampak terkejut dan kecewa mendengarkan kata-kata lelaki yang merupakan pemandu kereta sewa itu. Dia membelek alamat yang tercatat pada kertas di tangannya sekilas sebelum kembali memandang lelaki bermisai tadi.
"Err…kalau macam tu, biasanya orang pergi ke tempat ni guna apa ya?"
"Naik kapal atau perahu, cik. Ada kapal yang berhenti pada pesisir dekat bandar-bandar berhampiran. Bila kamu dah turun kapal, boleh lah cari kereta sewa untuk bawa ke alamat ni." Terang lelaki tadi sambil menunjuk kepada kertas yang dipegang oleh wanita itu.
"Tempat yang kamu nak pergi ni duduknya di bandar, kira-kira dua bandar daripada bandar yang kamu selalu pergi. Memang kena guna jalan laut lah."
" Begitu ke..." Wanita itu menganggukkan kepalanya perlahan-lahan, seperti keliru. Lelaki yang merupakan pemandu kereta sewa itu memandang wajah wanita tersebut, ada riak prihatin terpapar pada muka lelaki berusia lewat 50-an itu.
"Kenapa cik nak ke sana? Kalau dari yang saya lihat, cik nampaknya tak tahu pun tempat tu di mana? Bukan ke bahaya pergi jauh-jauh seorang diri?"
"Oh, sa…saya ada urusan sikit kat sana…" Wanita yang mengenakan skirt dan kasut lusuh warna coklat itu teragak-agak apabila melihat riak wajah lelaki yang tampak garang tetapi penuh keprihatinan itu. Dia menundukkan kepalanya.
"Semalam doktor tiba-tiba beritahu yang sakit ayah dah bertambah parah. Dia perlu gunakan ubat baru, dan ubat tu saya boleh dapatkan di lokasi yang saya tunjuk tadi."
Pemandu kereta sewa itu diam seketika, dia memerhatikan wanita yang berdiri di sisi keretanya itu. "Kamu…anak kepada Reiner, kan?"
Lelaki bertopi itu bersuara dengan perlahan, hampir tidak didengari oleh wanita berambut hitam gelap tadi. Wanita itu mengangkat mukanya dengan riak terkejut. "E…encik kenal ayah saya?"
Lelaki itu membuang pandang ke arah jalan yang sempit itu. Dia diam sejenak sebelum kembali berpaling ke arah wanita itu. "Ya, saya berkawan dengan ayah kamu dahulu. Dah lama saya tak jumpa dia."
"Ya ke? Kalau macam tu, encik datanglah melawat ayah. Dah lama ayah tak berjumpa dengan kawan-kawan dia. Pasti ayah akan gembira sangat. Cuma…" Perempuan berkulit sawo matang itu menundukkan kepala semula, kelihatan serba-salah.
"Ayah tak berapa sihat, jadi dia mungkin tak boleh berbual lama dengan encik."
Lelaki berambut coklat gelap itu sekali lagi diam. Dia kemudiannya membelek sesuatu yang berada di tempat duduk penumpang di sebelahnya. Selepas beberapa ketika, dia kembali berpaling sambil menghulurkan satu dompet kecil yang sudah lusuh keadaannya. "Ambil ni."
Perbuatan tiba-tiba lelaki itu membuatkan wanita tadi terdiam. "A…apa ni, encik?"
Lelaki itu merenung mata bundar berwarna hijau di hadapannya seketika, sebelum dia mengambil tangan wanita itu lalu meletakkan dompet kecil tadi di atasnya. "Simpan. Saya nak kamu beri ini kepada ayah kamu selepas kamu balik dari bandar nanti. Saya juga akan pergi melawat ayah kamu, tetapi dompet ni, saya tetap mahu kamu yang beri kepadanya."
Terdiam, wanita itu memandang lelaki bermisai itu dengan penuh tanda tanya. Perlahan-lahan, wanita berbibir kering itu menganggukkan kepala sambil tersenyum lembut. "Baik."
"Semua boleh bersedia di atas kapal! Kapal akan berlayar sekejap lagi!" Suara riuh-rendah memenuhi kawasan pelabuhan bersaiz kecil. Kapal-kapal yang berada di kawasan ini hanyalah kapal-kapal yang bersaiz sederhana kecil dan kecil serta kebanyakannya tidak menggunakan sistem enjin yang moden dan canggih.
"Maaf, boleh saya pergi ke alamat ni kalau naik kapal kalian?" Wanita berambut hitam tadi bertanya kepada seorang anak kapal.
Anak kapal yang sedang sibuk memunggah barang untuk dinaikkan ke atas kapal itu terdiam apabila disapa oleh wanita tersebut. Dia menjeling ke arah kertas yang ditunjukkan oleh perempuan berpakaian lusuh itu sekilas sebelum matanya merayap atas dan bawah tubuh perempuan tersebut. Satu sengih nipis terbentuk pada wajahnya. Lelaki itu lantas mengambil kertas daripada tangan perempuan tersebut. "Oh, kamu nak ke sini ke? Ya, kami ada berhenti untuk beli barang di sana."
"Kamu naiklah ke atas kapal. Kami akan beritahu apabila sudah sampai di sana nanti."
"Ya ke? Terima kasih ya encik." Wanita bertubuh kurus itu tersenyum gembira, dia mengambil kertas yang terkandung alamat dari tangan lelaki berkulit kesan terbakar dek bekerja bawah terik matahari itu.
Anak kapal itu menganggukkan kepala sambil tersenyum. Wanita tadi berpaling untuk naik ke atas kapal apabila seorang perempuan lain menghampiri anak kapal yang sama.
"Maaf, kapal ni boleh bawa saya jauh dari sini kan?"
Soalan tersebut menarik perhatian wanita berambut hitam itu. Sambil dia mendaki tangga menaiki kapal, dia memerhatikan perempuan berambut warna merah gelap yang bertanya tadi.
"Hoho, soalan apa ni? Cik nak pergi jauh dari sini? Lari dari rumah ke?" Lelaki tadi mengangkat sebelah keningnya dua kali sambil tersengih, tetapi wanita berambut panjang paras pinggang itu tidak menunjukkan sebarang reaksi sebagai tindak balas.
"Bukan urusan kau." Dingin. Suara wanita berambut merah itu cukup tegas seolah-olah mengarahkan lelaki tadi diam.
Anak kapal itu tersentak dengan kata-kata wanita tersebut, tetapi dia juga hanya bersahaja. Dia mengisyaratkan ke arah kapal dengan malas. "Naiklah."
Gadis berumur awal 20-an itu berpusing untuk menaiki kapal sebelum dia merasakan seperti dirinya sedang ditatap. Dia menjeling ke atas kapal. Matanya bertembung dengan anak mata hijau yang sedang memerhatikannya dengan penuh semangat. Namun, wanita pemilik mata hijau itu cepat-cepat berpaling dan berpusing sebaik pandangan mereka bertemu. Gadis berambut merah itu mengeluh perlahan.
Langit senja memancarkan sinar yang sangat indah di lautan nan luas itu. Sebuah kapal mewah dan besar sedang tenang di tengah-tengah lautan. Kapal tersebut tidak bergerak, kedudukannya tetap seolah-olah itulah tempatnya.
"Silakan minum." Seorang gadis berpakaian pelayan menundukkan kepalanya sesudah dia menghidangkan minuman di atas meja. Dengan santunnya gadis tersebut berjalan keluar daripada bilik, meninggalkan dua orang lelaki yang sedang duduk di meja tersebut.
"Ada sebarang balasan daripada mereka?" Lelaki berpakaian seragam bertanya sambil dia mencapai cawan berisi cecair berwarna merah pekat di hadapannya.
Matthew yang sedang duduk bertentangan dengan Zephyr turut mencapai cawan lalu menghirup airnya secara tenang. "Tidak. Rasanya…kita takkan dapat."
"Maksudnya mereka memang dah bertekad? Apa mereka tak terfikir yang keputusan mereka ni akan musnahkan semua yang kita dah usahakan selama ni?" Zephyr yang lengkap berseragam layaknya kapten kapal bersuara menahan amarah.
"Kau pun tahu, mereka tak peduli semua tu. Mereka hanya mengulang pendirian yang sama, iaitu-"
"Kita juga berhak, takde sebab untuk kita terus sembunyi." Matthew tidak sempat menghabiskan kata-katanya pabila dipotong seseorang . Seorang lelaki berambut hijau gelap sedang bersandar pada dinding di sisi tingkap sambil memandang dua lelaki yang sedang duduk di hadapannya itu.
Matthew terdiam. Dia memandang wajah lelaki itu seketika lalu menundukkan wajahnya yang tampak serba-salah. "Ya."
Zephyr memandang Matthew, sebelum dia kembali melihat ke arah lelaki berkulit putih yang sedang bersandar di dinding itu. "Kita tak boleh terus biarkan mereka macam ni."
"Kenapa?" Lelaki berambut hijau gelap itu membuat muka tidak faham.
"Mereka dah melampau. Dah macam-macam kerosakan. Kalau biar macam ni, semua akan curiga-"
"Itu…hak mereka." Sekali lagi, jejaki tampan berambut hijau itu memotong percakapan seseorang, kali ini giliran Zephyr.
Zephyr terdiam sejenak, lelaki bertubuh sasa itu menggertakkan gerahamnya. "Walaupun kita di air, mereka di darat, kita tak boleh biarkan mereka macam tu. Kau tak boleh terus bersikap begini!"
Zephyr bangkit dari duduknya, membuatkan Matthew terkejut dan turut bangun berdiri. Dada bidang Zephyr turun naik dengan laju apabila dia memandang lelaki yang masih tenang bersandar pada dinding kapal sambil berpeluk tubuh.
"Tunggu, bertenang. Kita akan selesaikan-"
"Selesaikan?!" Zephyr memintas kata-kata Matthew dengan suaranya yang lantang.
"Kalau dulu, ya, aku akan percaya bila korang cakap yang korang akan selesaikan. Tapi sekarang, aku tak kan sedikit pun ragu bahawa kita akan tetap macam ni! Sebab apa? Sebab dia ni. Dia sekarang cuma mahu duduk dan tengok semua benda berlaku, hanya sebab patah hati!" Lelaki berotot kekar berambut perak itu menunjuk-nunjukkan jari telunjuknya kepada lelaki berambut hijau.
Pemuda berambut hijau itu mengerutkan dahinya sambil bersuara dengan nada yang sengaja ditekan seperti memberi amaran. "Jangan melampau, Zephyr."
"Hah!" Zephyr tertawa sinis.
"Jangan melampau? Kalau tak, apa? Kau nak belasah aku? Kau takkan mampu menang dalam keadaan kau yang macam ni. Langsung tiada semangat!"
"Zephyr, berhenti." Matthew cuba untuk meredakan amarah lelaki yang dianggap seperti keluarga itu sebelum tiba-tiba sesuatu melayang melintasi dia dan mengguris sedikit lengan Zephyr.
"Ughh!!" Zephyr tiba-tiba melutut, tangannya memegang bahagian yang tergores tadi. Kesan goresan pada lengan Zephyr hanya sedikit, namun reaksi lelaki itu menunjukkan dia benar-benar kesakitan.
"Tak guna!" Zephyr menjegil ke arah lelaki berambut hijau tadi.
Matthew yang tergamam melihat ke arah benda yang melintasi mereka tadi. Sebilah pisau, kecil sahaja saiznya, terpacak pada kerusi di belakang Zephyr. Pisau tersebut berkilau dengan cantiknya.
Jejaka berambut hijau yang melemparkan pisau tersebut tidak bersuara. Dia seolah-olah langsung tidak peduli kepada Zephyr yang sedang mengerang apabila dia berjalan ke arah pintu bilik.
"Kau nak terus macam ni? Sampai bila? Kau sedar tak yang sikap kau boleh musnahkan segala impian ayah kau, harapan kau selama ni, hah?!"
Kata-kata Zephyr sepenuhnya tidak diendahkan. Lelaki berambut hijau itu berjalan keluar daripada bilik dengan bersahaja, menimbulkan rasa geram yang melampau dalam diri Zephyr membuatkan lelaki itu menjerit memanggil nama lelaki tersebut sekuat-kuatnya.
"Kaelen!!!"
Hai, ini kali pertama saya menulis. Saya masih kurang pengetahuan dalam bidang penulisan, tapi saya sangat meminatinya. Harap korang tak rasa terganggu dengan semua jenis kesilapan, dari segi pemilihan bahasa, jalan cerita yang berterabur, ataupun tetapan watak dan latar belakang yang tak sesuai.?
Share this novel