Sunyi sahaja bilik yang sedang Verika diami. Wanita berambut hitam itu sedang berdiri di hadapan cermin. Dia kelihatan terpegun dengan pantulan dirinya sendiri di cermin itu. Verika berpusing berkali-kali, seolah-olah tidak puas melihat dirinya dalam persalinan yang disediakan oleh kapal tersebut.
"Baju ni…nampak mahal." Verika bergumam, terpukau dengan pakaian yang berada pada tubuhnya kini.
"Boleh ke aku pakai baju yang mahal macam ni?" Verika terpegun mengamati dirinya di cermin. Perlahan-lahan, perempuan itu tersenyum. Ketawa kecil, Verika mula berpusing-pusing di hadapan cermin itu seperti sedang menari.
Senyuman yang terukir pada wajah Verika tampak penuh kegembiraan. Dan perkara yang membawa kepada senyuman itu sudah jelas merupakan persalinan di tubuhnya.
Bagi wanita bertubuh tinggi itu, semua yang perlu dilaluinya sejak di keluar dari rumah untuk mendapatkan ubat ayahnya bukanlah apa-apa. Ini kerana, dibandingkan dengan semua kepayahan yang perlu ditempuhi, dia dapat merasakan pelbagai benda baharu.
Di kapal penyeludup sebelum ini, dia dapat menikmati pelbagai hidangan lazat yang belum pernah dirasainya. Dia melihat begitu banyak arak terhidang buat pertama kali, meskipun dia langsung tidak meminumnya.
Sekarang, dia dapat merasakan menaiki sebuah kapal yang sangat mewah buat pertama kali dalam hidupnya. Dia bahkan dapat memakai satu pakaian baharu, yang di matanya terlihat begitu indah.
Sejak kecil, Verika dan adik-beradiknya sudah terbiasa memakai pakaian-pakaian lusuh pemberian daripada orang kampung. Baju baharu yang mereka ada, hanyalah baju yang dijahit oleh Verika sendiri. Tetapi sudah semestinya baju-baju tersebut tidak layak dibandingkan dengan pakaian yang diperolehi daripada kedai.
Mereka tidak langsung berfikir untuk membeli pakaian baharu dan cantik, kerana wang yang ada hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupan seharian mereka. Kebanyakan wang yang diperolehi melalui upah menjahit, serta menjual tanaman di kebun kebanyakannya dibelanjakan untuk membeli ubat-ubatan ayahnya. Jadi, dapat memakai pakaian baharu yang cantik seperti ini sudah cukup membuatkan Verika bahagia. Meskipun baju tersebut sebenarnya hanyalah biasa sahaja.
Verika terus berpusing, sebelum perlahan-lahan dia kembali memandang cermin sambil tersenyum gembira. "Cantiknya baju ni…"
Perempuan itu diam sebentar, sebelum tiba-tiba berpusing ke arah kerusi di bilik itu. Kelihatan baju lusuh yang dipakainya tadi masih berada di situ. Verika cepat-cepat berjalan ke arah pakaian tersebut dan meraba-raba saku bajunya seperti mencari sesuatu. Dia kemudian mengeluarkan satu dompet kecil.
"Nasib baik tak hilang." Verika mengeluh kecil. Dompet tersebut basah kuyup.
"Macam mana aku nak bawa dompet ni kalau dia basah macam ni." Termenung sejenak wanita itu memikirkan tentang keadaan dompet tersebut. Dia sedar yang dia tidak boleh membawa dompet tersebut bersamanya kerana keadaannya yang basah, tetapi dia juga tidak sanggup meninggalkan dompet itu dek mengenangkan amanah yang diberikan oleh pemandu kereta sewa yang ditemuinya sebelum ini.
Verika kemudian membuka dompet tersebut, dia mengeluarkan satu-satu barang-barang yang terdapat di dalamnya. "Apa ni? Semuanya barang perempuan, kenapa dia suruh bagi kat ayah?"
Difikirkan berkali-kali pun, Verika tidak dapat menemukan punca kenapa lelaki yang ditemuinya itu ingin memberikan dompet berisi barang-barang perempuan itu kepada ayahnya. Antaranya ialah seutas rantai, klip rambut dan beberapa biji batu yang berkilau cantik.
"Hmm…" Verika merenung barang-barang tersebut. Semuanya kelihatan lama dan lusuh, tetapi keindahannya tetap terserlah. Tumpuan wanita bermata hijau itu tertumpu pada rantai bertatahkan batu permata itu. Dengan berhati-hati, Verika mencapai rantai tersebut, lalu membeleknya.
"Cantik." Bergumam sendiri, perempuan itu seolah-olah dipukau oleh rantai di tangannya. Di membelai lembut batu permata berwarna hijau itu. Bagaikan dikawal, Verika meletakkan rantai itu di lehernya.
Dia membelek dirinya sekali lagi di cermin. Entah kenapa, Verika sangat gembira apabila melihat rantai di lehernya itu.
TOK! TOK! Bunyi ketukan di pintu mengejutkan Verika daripada dunianya. Cepat-cepat dia membuka pintu bilik itu. Gadis yang tadinya dikejar oleh Martina kelihatan sedang berdiri di muka pintu.
"…ya?" Teragak-agak Verika bertanya.
Gadis muda tersebut tersenyum lembut. "Saya datang untuk pastikan kalau awak perlukan apa-apa lagi. Juga, saya nak kutip pakaian awak yang basah untuk dibersihkan."
"Oh, baju saya?" Verika melihat ke arah pakaiannya yang agak berselerak di atas kerusi sebelum kembali melihat kepada gadis tersebut.
"Err…takpelah. Saya boleh cuci sendiri baju saya."
Gadis berpakaian pembantu itu tersenyum lembut sahaja apabila mendengarkan kata-kata Verika. "Jangan risau, kami akan kembalikan semula pakaian awak semua."
Verika diam sejenak, dia berasa ragu-ragu kerana tidak pernah meminta sesiapa melakukan kerja untuknya. Teragak-agak dia menganggukkan kepala sebelum Verika mengambil pakaiannya yang basah dan memberikannya kepada gadis itu. "Terima kasih."
Gadis muda itu mengangguk lembut sambil mengambil baju yang dihulurkan oleh Verika. "Saya akan pulangkan baju ni kepada awak selepas siap mencucinya."
Verika memerhatikan gadis muda itu berjalan pergi. Dia kemudian kembali ke kerusi. Dompet dan isi dalamnya masih berada di situ. Perempuan berambut hijau itu cepat-cepat memasukkan klip rambut dan batu-batu kecil tersebut ke dalam saku bajunya.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi ketukan pintu. Cepat-cepat dia melihat ke arah pintu biliknya yang masih terbuka, tiada sesiapa di situ.
"Bunyi apa tu?" Senyap seketika, Verika teragak-agak berjalan ke arah pintu dan melihat sekeliling. Sekitar biliknya sepi seperti tidak berpenghuni.
TOK! TOK! TOK! Sekali lagi kedengaran bunyi pintu diketuk. Sayup-sayup sahaja bunyinya. Jantung Verika berdegup kencang, bunyi itu kedengaran menyeramkan baginya. Perlahan-lahan menelan liur, perempuan itu menapak ke arah suara tersebut.
"Lepaskan aku!" Semakin dia melangkah menghampiri bunyi ketukan pintu itu, Verika dapat mendengar suara . Perlahan sahaja suara tersebut, tetapi ia datang dari arah yang sama dengan bunyi pintu yang didengarinya. Mata hijau Verika tertumpu pada satu bilik di hujung sekali. Dia pasti, suara dan bunyi itu datang dari bilik tersebut.
Langkah kaki Verika terhenti. Dia tidak pasti jika dia patut memeriksa bilik tersebut. Ini bukan tempat yang dikenalinya, jadi dia juga ragu-ragu untuk membuat keputusan. Nafas ditarik dalam-dalam, Verika mengatur langkah sekali lagi. Tiba-tiba, lengannya direntap dari belakang.
"Apa yang ganggu fikiran kau? Boleh kau bagitau aku?" Sambil tersenyum kecil, Alex bertanya kepada Martina.
Martina diam sejenak, dia mengamati wajah Alex yang sedang tersenyum itu. "Kapal mewah ni…tak macam dari dunia ni. Kau faham apa maksud aku kan?"
Terangguk-angguk, Alex melihat sekeliling. Dia mendekatkan wajahnya dan berbisik di telinga Martina. "Kapal dari alam lain?"
Tersentak Martina apabila suara Alex kedengaran mengusik, lalu di celahan telinganya. Telinga wanita cantik itu memerah, dia cepat-cepat menutup telinganya menggunakan telapak tangan. "A…aku serius ni."
Alex tertawa kecil dan menganggukkan kepala. "Tahu, tahu. Kau nampak tegang sangat, jadi aku nak tenangkan kau sikit."
Wajah Alex yang tersenyum perlahan-lahan berubah biasa, tampak sedikit serius. "Aku dah banyak naik kapal selama aku hidup. Kebanyakannya kapal mewah. Tapi ni kali pertama aku naik kapal macam ni."
Alex berjalan menghampiri dinding, dia melalukan jari-jemarinya di sepanjang ukiran pada dinding besi tersebut. "Kapal ni…terlalu mewah."
"Seolah-olah dari alam lain?" Martina mengulang soalan Alex, tetapi nada suaranya kedengaran serius.
Alex tersengih, dia menggelengkan kepala sebelum matanya bergerak melihat kepada satu ciptaan yang berada di siling. Ciptaan yang tidak pernah dilihatnya itu berbentuk bujur, dikelilingi kaca seperti mentol lampu dan ada satu cahaya kecil sedang berkelip-kelip padanya. Alex berasa tidak senang dengan ciptaan yang dirasakan sedang memerhatikan mereka. Perlahan sahaja dia bersuara menjawab soalan Martina. "Seolah-olah dari masa depan."
Pintu dibuka perlahan-lahan, Sycatt melihat sekeliling. Sunyi sahaja kawasan di sekitar biliknya dan itu membuatkan dia berasa tidak selesa.
Sejak dari ketika pembantu tadi membawa mereka ke bilik berasingan untuk membersihkan diri, Sycatt sudah mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena. "Pelik betul. Kenapa mereka bawa kitorang bilik asing-asing? Jauh-jauh pula tu."
Wanita berambut merah itu berjalan keluar dari bilik dengan memakai persalinan baharunya. Kali ini, dia kelihatan anggun dan menawan dalam gaun yang dipakainya. Rambut panjang yang masih basah dibiarkan terurai, menyerlahkan kewanitaannya. Dia berjalan dan mendekati bilik-bilik di situ dan meletakkan telinga pada pintu bilik-bilik tersebut.
"Macam takde orang pun dalam bilik-bilik ni." Setelah lebih kurang lima buah bilik diperiksa ya, rasa curiga Sycatt bertambah-tambah.
"Jadi kenapa diorang tak letak kitorang dalam bilik berdekatan je?" Wanita berambut merah itu melihat sekeliling, dia teruskan berjalan. Baru disedarinya betapa luasnya kapal itu kerana dia masih belum melihat sesiapa pun walaupun sudah agak lama berjalan.
Klik klak klik klak…
Satu bunyi yang kedengaran menyeramkan menarik perhatian Sycatt. Jantungnya berdegup kencang.
Sycatt cepat-cepat mengikut bunyi yang didengarinya. Kerana ruangan yang lengang itu, bunyi tersebut bergema sehinggakan wanita berambut merah gelap itu tidak dapat memastikan arah bunyi tersebut. Dia cepat-cepat masuk ke selekoh lorong kabin. Ketika dia membelok di selekoh, satu hentaman mengejutkan berlaku—sesuatu yang keras dan berat.
Troli makanan terundur sedikit, bunyi roda berdecit tajam di lantai logam. Gelas-gelas berisi air bergoncang hebat sebelum salah satu daripadanya tergelincir—ting!—pecah di atas lantai. Terkaku Sycatt apabila dia melihat air berwarna merah gelap, bagaikan darah itu membasahi lantai.
Perlahan-lahan Sycatt mengangkat muka. Seorang pelayan lelaki berdiri terpaku di sebalik troli, wajahnya jelas terkejut.
Share this novel