Suasana di atas kapal riuh-rendah. Langit malam tidak menghalang kapal layar itu terus menelusuri lautan. Seolah-olah sedang berpesta, penumpang-penumpang kapal sibuk menikmati minuman dan makanan yang tiba-tiba dihidangkan kepada mereka tanpa disangka. Mereka saling melagakan gelas, mensyukuri arak yang enak sambil berdansa dalam keadaan mabuk.
"Dulu, aku ni pernah dilamar puteri dari negara jiran." Seorang lelaki, pakaiannya kelihatan sudah agak selekeh berdiri sambil menjulang tinggi cawan yang mengandungi arak.
"Puteri negara jiran konon, nenek sebelah rumah kau pun tak naklah pada kau." Lelaki lain membalas kata-kata lelaki tadi, menyebabkan ruang kapal menjadi riuh dengan suara ilai tawa para lelaki yang sudah khayal dek penangan air mabuk.
Sedang asyik para jejaka itu menikmati minuman yang terhidang, seorang pemuda bermata biru yang memikat hanya tersenyum tanpa turut serta dalam perbualan dan gurauan orang ramai itu. Dalam ramai-ramai lelaki di situ, dia kelihatan menyerlah kerana gayanya yang seperti bangsawan. Beberapa orang yang berada berdekatannya juga langsung tidak nampak selekeh. Tampaknya, hanya dia dan beberapa orang di sekelilingnya sahaja lelaki yang belum tenggelam dalam kemabukan arak. Lelaki itu bangun dengan anggunnya.
Seorang pemuda yang duduk di sampingnya pantas bertanya. "Kau nak ke mana, Alex?"
Jejaka bernama Alex itu memandang kawannya yang sedang duduk. "Aku nak ambil angin."
Mendengar jawapan Alex, lelaki yang sedang duduk itu ingin bangun daripada duduknya tetapi telah dihalang oleh Alex. "Jangan risau, aku pergi sekejap saja."
Lelaki yang sedang duduk itu teragak-agak. Dia kembali duduk kerana akur dengan kata-kata Alex. Alex hanya tersenyum, lalu berpaling meninggalkan kawasan pesta itu.
Alex melihat-lihat sekeliling sambil dia berjalan melintasi sekumpulan orang mabuk di situ. Dia asyik memerhatikan kumpulan tersebut, sehingga dia tidak menyedari langkah seseorang di balik dinding.
"Oh!" Tersentak lelaki bermata biru itu apabila tubuhnya berlanggar dengan satu tubuh sasa.
"Maaf, maaf. Aku tak perasan." Terdiam Alex sejenak apabila melihat bahawa yang berlanggar dengannya tadi ialah seorang wanita. Keterampilan wanita itu, berpakaian seluar jean ketat dan baju yang dimasukkan ke dalam seluar jelas menunjukkan bahawa dia bukanlah seorang gadis ayu yang mudah ditemui di mana-mana.
"Maaf, cik. Kamu tak apa-apa?" Teragak-agak Alex bertanya.
Perempuan berambut merah itu diam, sibuk menepuk-nepuk pakaiannya seolah-olah ingin membuang debu padanya. Perlahan-lahan wanita tersebut mengangkat wajah.
Alex terpegun apabila matanya bertembung dengan mata wanita tersebut. Anak mata wanita tersebut, sebelah hitam gelap manakala sebelah lagi berwarna kelabu.
'Matanya…' Warna anak mata yang belum pernah dilihat membuatkan Alex kagum. Namun, ada satu lagi perkara yang membuatkan Alex tertawan. Meskipun kedua-dua mata itu mempunyai warna yang berbeza, tetapi kedua-duanya bersinar cerah memaparkan betapa tinggi semangat yang wujud di balik wanita itu.
Perempuan berambut tocang itu memerhatikan wajah Alex. Dia dapat merasakan bahawa Alex sedang menilai penampilannya, terutamanya warna matanya menyebabkan dia mengeluh. "Hah…"
Keluhan berat yang keluar dari mulut wanita menyedarkan Alex daripada lamunannya. Pipi Alex merona, dia terbatuk-batuk kecil kerana berasa malu. "Oh, maaf. Aku-"
"Lain kali jalan tengok depan." Perempuan berkulit sawo matang itu berjalan pergi, membiarkan Alex yang masih terpana dengan penjelasan yang belum sempat dihabiskan.
Di suatu bilik di atas kapal itu juga, dua orang lelaki berpakaian anak kapal sedang duduk sambil minum-minum. Mereka kelihatan gembira, seolah-olah sudah mencapai kemenangan yang besar.
"Fuhh, berapa hari lagi untuk kita sampai?" Seorang lelaki tua berjanggut hingga paras dada tersenyum puas sesudah meneguk hampir secawan arak dalam satu tegukan.
"Lama jugak nak sampai tu, kapten. Rasanya dalam sebulan paling awal pun. Itu pun kalau cuaca kekal macam hari ni lah." Lelaki yang kelihatan lebih muda menjawab. Lelaki itu hanya memegang gelas di tangannya tanpa meneguk minuman yang terkandung di dalamnya.
"Takpe, takpe. Asalkan kita tak rugi." Lelaki tua itu tertawa gembira.
Lelaki muda itu menganggukkan kepala perlahan-lahan tanda setuju. "Budak perempuan tu macam mana?"
Lelaki berjanggut itu diam sejenak, sebelum ketawanya pecah. "Macam mana lagi? Macam tu lah."
Jawapan daripada kaptennya membuatkan lelaki muda tadi sekali lagi mengangguk tersenyum.
"Kalau mak bapak dia tak nak bayar untuk anak diorang, kita carilah duit guna cara lain. Macam-macam caranya." Lelaki tua itu mengangkat sebelah keningnya dua kali, bibirnya mengukir senyum miang.
"Kapten memang yang paling tahu." Lelaki muda itu menjawab, turut sama mengukir senyuman gatal.
TOK! TOK! Bunyi ketukan di pintu menarik perhatian dua lelaki itu. Mereka sama-sama memandang ke arah pintu tersebut.
"Semua sedang bergembira. Korang tak nak tunjuk muka langsung ke?" Suara seorang lelaki bersuara di balik pintu yang tertutup. Dua orang lelaki di dalam bilik tersebut saling memandang, sebelum kedua-duanya bangun daripada duduk.
Semua orang bergembira di meja makan yang dipenuhi makanan. Yang paling jelas terusik adalah tong yang berisi arak. Suasana di atas kapal tersebut sangat bising, riuh-rendah dengan kemabukan dan keseronokan para penumpangnya.
Di satu sudut, meja yang bersaiz lebih kecil menempatkan para wanita yang jauh lebih kurang kuantitinya daripada para lelaki di atas kapal tersebut. Suasana di meja wanita tidaklah seriuh di meja para lelaki, meskipun ada beberapa perempuan yang sudah mula meracau bahkan pengsan kerana terlalu mabuk.
Di meja tersebut, wanita berbaju lusuh sedang menjamu dirinya dengan makanan yang terhidang. Dia kelihatan asyik, mencuba satu demi satu makanan yang ada. Segelas arak ada di samping pinggannya, kelihatan belum terusik sedikit pun.
"Kenapa naik kapal ni, adik?"
Teguran wanita yang duduk di sisi membuatkan wanita berbaju lusuh itu berpaling. Dia dapat melihat muka individu yang menyapanya itu. Pipi merah-merah, dan matanya tidak fokus jelas menunjukkan bahawa dia sudah mabuk.
"Saya nak beli ubat untuk ayah, perlu naik kapal." Teragak-agak perempuan berbaju lusuh itu menjawab.
"Beli ubat…" Suara wanita yang menegurnya hanya dengar tak dengar di telinga wanita berambut hitam itu.
"Perempuan muda, cantik macam kau tak sepatutnya naik kapal macam ni sorang-sorang. Bahaya. Kalau aku…" Belum pun wanita tersebut menghabiskan kata-katanya, dia menghempaskan mukanya pada meja. Jelas, wanita itu sudah pun terlalu mabuk.
Perempuan berbaju lusuh tadi terdiam. Dia tahu, wanita tersebut hanya bercakap yang bukan-bukan kerana sedang tidak waras.
"Tepilah."
Suara kasar seorang wanita menarik perhatian perempuan berbaju lusuh tersebut. Dia melihat ke arah suara itu dan mendapati gadis berambut merah panjang sedang berjalan ke arah meja untuk wanita. Tanpa teragak-agak, lelaki-lelaki mabuk yang menghalang laluan ditolak ke sisi oleh perempuan itu.
Wanita bertubuh sasa itu kelihatan langsung tidak peduli dengan kata-kata tajam para lelaki yang ditolaknya. Bagaimana wanita itu berjalan dengan gagah dan berani, membuatkan semua terpegun.
Perempuan berbaju lusuh dengan kagum menatap gadis yang kelihatan lebih muda daripadanya itu, sehinggalah gadis tersebut duduk di sisinya.
Cepat-cepat perempuan berambut hitam itu meletakkan cawan arak miliknya di hadapan wanita berambut merah. "Hai."
Terangkat sebelah kening perempuan berkulit sawo matang itu, hairan dengan keramahan tiba-tiba daripada individu yang belum pernah dikenalinya. Walaupun begitu, dia perlahan-lahan mengangkat cawan arak tersebut dan meneguk sedikit minuman di dalamnya. "Hai."
Tersenyum wanita berbaju lusuh tersebut apabila sapaannya dibalas walaupun agak dingin. Dia memandang lama perempuan berambut merah itu dengan riak teruja sebelum bersuara. "Awak sangat cantiklah."
Tersentak perempuan berambut merah itu apabila mendengar pujian tiba-tiba tersebut. Arak yang sedang diteguk hampir sahaja tersembur keluar dari dalam mulut menyebabkan wanita berpakaian lusuh itu turut terkejut.
"A…apa? Kau perli aku ke?" Sambil mengelap mulut menggunakan belakang tangan, wanita berambut merah tersebut teragak-agak bertanya.
"Pe…perli? Kenapa pula? Saya cakap betul. Saya nampak awak petang tadi, dan saya rasa awak cantik." Bersungguh-sungguh cuba mempertahankan diri, wanita berbaju lusuh itu membulatkan matanya.
Perempuan berambut merah itu teragak-agak, dia memerhatikan muka wanita di hadapannya itu. Ketulusan jelas terbayang pada wajah wanita tersebut. Malu-malu, perempuan berambut merah itu memalingkan muka. "Mengarut."
'Eh? Dia malu ke?' Perbuatan tersebut membuatkan wanita tinggi lampai tadi terdiam. Sejak petang tadi, dia nampak wanita sasa di depannya seperti seorang yang sentiasa bersikap berani dan tenang. Tidak pula dia menyangka reaksi sebegini akan diberikan oleh perempuan itu hanya kerana sedikit pujian yang diberikannya.
Perlahan-lahan, wanita berbaju lusuh berambut hitam itu mendekatkan dirinya kepada perempuan berambut merah tersebut lalu menghulurkan tangan kepadanya. "Saya Verika. Saya rasa kita sebaya, jadi saya harap sangat yang kita boleh berkawan sepanjang kita di atas kapal ni."
Tangan perempuan bernama Verika yang terjulur itu ditatap lama oleh wanita berambut merah itu. Teragak-agak, dia mengangkat tangan dan menyalami tangan Verika. "Aku Sycatt."
Tersenyum gembira Verika sebaik tangannya dipegang oleh Sycatt. Sycatt melihat wajah Verika, perlahan-lahan turut tersenyum.
Share this novel